Day: July 2, 2026

JOHOR BAHRU – Gelombang sokongan anak muda yang semakin meningkat di DUN Larkin menjadi penyuntik semangat buat calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi N44 Larkin, Hairi Mohd Shah. Beliau menyifatkan sokongan padu tersebut sebagai satu amanah besar dalam memacu agenda pembangunan belia di Johor.

​Bercakap dalam temubual eksklusif Sembang Kopi bersama Dr. Azam Rauzan, Hairi yang juga merupakan Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif Negeri Johor, menegaskan bahawa agenda belia dan dirinya tidak boleh dipisahkan.

​Menurutnya, fokus utama beliau adalah memastikan agenda pendidikan anak muda di DUN Larkin dan seluruh Johor diperkasakan, selaras dengan nasihat dan titipan amanat daripada DYAM Pemangku Sultan Johor dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

​”Asas utama bagi belia-belia di Johor adalah pendidikan. Di bawah pentadbiran Barisan Nasional, kita telah melakukan transformasi menerusi penubuhan Sekolah Rintis Johor. Di DUN Larkin sendiri, dua buah sekolah telah dipilih iaitu Sekolah Menengah Tasik Utara dan Sekolah Kebangsaan Tasik,” katanya.

​Tambah Hairi, sasaran beliau adalah untuk melihat anak-anak muda daripada kategori M40 dan B40 di kawasan tersebut mendapat penanda aras (benchmark) pendidikan yang tinggi. Beliau mahu anak-anak Johor yang melanjutkan pelajaran ke luar negara, termasuk ke London, akhirnya kembali untuk berbakti dan menyumbang semula kepada tanah air mereka.

​Mengulas mengenai aspek ekonomi, Hairi menjelaskan bahawa kestabilan politik menjadi kunci utama kepada keyakinan pelabur, yang mana Johor telah berjaya merekodkan nilai pelaburan mencecah RM110 bilion.

​”Rakyat kini bijak memilih kestabilan berbanding mereka yang hanya pandai bercakap dan menjanjikan ‘bulan dan bintang’. Kestabilan ini membolehkan dasar-dasar negeri diurus tadbir dengan baik oleh pemimpin yang dipilih rakyat,” ujarnya lagi.

#SembangKopiAAC #PRNJohor #KestabilanMasaDepan #AnakMudaJohor #LarkinBangkit

ULU TIRAM – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Dato’ Abdul Halim Suleiman mengariskan tiga agenda utama yang perlu diselesaikan segera demi kesejahteraan penduduk di kawasan berkenaan.

​Beliau yang juga Ketua Bahagian UMNO Tebrau menjelaskan, fokus pertama beliau adalah melibatkan isu infrastruktur, terutamanya masalah kesesakan lalu lintas yang semakin meruncing akibat rancaknya pembangunan yang dijalankan oleh pihak pemaju di kawasan tersebut.

​”Sekarang ini kesesakan lalu lintas berlaku kerana pembangunan yang lebih cepat daripada penyediaan infrastruktur. Kita tidak boleh menghalang pembangunan kerana banyak kawasan tanah lapang telah dibeli oleh pemaju besar,” katanya dalam satu temubual khas.

​Menyentuh mengenai agenda kedua, Abdul Halim berkata beliau mahu memperkasakan peluang ekonomi dengan menyasarkan penetapan kadar gaji RM3,000 untuk penduduk Tiram, khususnya menerusi agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

​”Kebanyakan penduduk di sini bekerja di Singapura. Hasrat kerajaan untuk menetapkan gaji RM3,000 itu harus kita lihat bagaimana untuk diusahakan supaya rakyat Tiram boleh mengecapi pendapatan tersebut melalui TVET atau pendidikan,” jelasnya.

​Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan menjaga aspek sosial dengan mengekalkan karakter budaya dan tradisi tempatan sebagai identiti atau ‘trademark’ unik bagi DUN Tiram agar ia seiring dengan arus pembangunan ekonomi.

​Ketika ditanya mengenai persaingan sengit dalam pertembungan empat penjuru yang menyaksikan beliau berdepan dengan tiga calon luar, Abdul Halim mengingatkan para pengundi agar tidak tersilap memilih berdasarkan emosi seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum tahun 2018.

​”Saya khuatir pengundi mengundi mengikut emosi sehingga memenangkan calon yang akhirnya selama lima tahun tidak melakukan apa-apa.

​”Bagi kita (BN), memang kita bertapak di sini, kita duduk di sini dan kita bertanggungjawab untuk melakukan apa juga usaha. Saya telah berada di sini selama 64 tahun dan tahu setiap inci masalah serta keperluan yang berlaku di Tiram,” ujarnya lagi.

#PRNJohor #DUNTiram #BarisanNasional #AnakTempatan #BeritaAAC