
ULU TIRAM – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Dato’ Abdul Halim Suleiman mengariskan tiga agenda utama yang perlu diselesaikan segera demi kesejahteraan penduduk di kawasan berkenaan.
Beliau yang juga Ketua Bahagian UMNO Tebrau menjelaskan, fokus pertama beliau adalah melibatkan isu infrastruktur, terutamanya masalah kesesakan lalu lintas yang semakin meruncing akibat rancaknya pembangunan yang dijalankan oleh pihak pemaju di kawasan tersebut.
”Sekarang ini kesesakan lalu lintas berlaku kerana pembangunan yang lebih cepat daripada penyediaan infrastruktur. Kita tidak boleh menghalang pembangunan kerana banyak kawasan tanah lapang telah dibeli oleh pemaju besar,” katanya dalam satu temubual khas.
Menyentuh mengenai agenda kedua, Abdul Halim berkata beliau mahu memperkasakan peluang ekonomi dengan menyasarkan penetapan kadar gaji RM3,000 untuk penduduk Tiram, khususnya menerusi agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
”Kebanyakan penduduk di sini bekerja di Singapura. Hasrat kerajaan untuk menetapkan gaji RM3,000 itu harus kita lihat bagaimana untuk diusahakan supaya rakyat Tiram boleh mengecapi pendapatan tersebut melalui TVET atau pendidikan,” jelasnya.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan menjaga aspek sosial dengan mengekalkan karakter budaya dan tradisi tempatan sebagai identiti atau ‘trademark’ unik bagi DUN Tiram agar ia seiring dengan arus pembangunan ekonomi.
Ketika ditanya mengenai persaingan sengit dalam pertembungan empat penjuru yang menyaksikan beliau berdepan dengan tiga calon luar, Abdul Halim mengingatkan para pengundi agar tidak tersilap memilih berdasarkan emosi seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum tahun 2018.
”Saya khuatir pengundi mengundi mengikut emosi sehingga memenangkan calon yang akhirnya selama lima tahun tidak melakukan apa-apa.
”Bagi kita (BN), memang kita bertapak di sini, kita duduk di sini dan kita bertanggungjawab untuk melakukan apa juga usaha. Saya telah berada di sini selama 64 tahun dan tahu setiap inci masalah serta keperluan yang berlaku di Tiram,” ujarnya lagi.
#PRNJohor #DUNTiram #BarisanNasional #AnakTempatan #BeritaAAC
