Day: July 9, 2026

BENUT , 9 Julai 2026– Memasuki hari ke-13 kempen, maklum balas yang diterima oleh calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N53 Benut, Dato’ Mohd Sumali Reduan, dilihat semakin positif dan memberangsangkan daripada segenap lapisan masyarakat.

​Beliau yang mesra disapa sebagai ‘Atok’ berkata, sepanjang tempoh berkempen, beliau telah turun padang ke banyak kampung bagi menyantuni pelbagai kelompok masyarakat, termasuk golongan usahawan kecil, nelayan, dan belia.

​”Alhamdulillah, perjalanan sepanjang 13 hari ini berjalan dengan baik dan respon semakin positif. Ini menunjukkan sokongan kepada calon BN di DUN ini amat memberangsangkan. Kehadiran dan sokongan daripada anak muda terutamanya, amat menyentuh hati saya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

​Mengulas mengenai misinya sekiranya diberi mandat pada hari pengundian 11 Julai nanti, Dato’ Mohd Sumali menegaskan komitmennya untuk meneruskan legasi dan usaha yang telah ditinggalkan oleh pemimpin terdahulu.

​Selain itu, beliau juga berhasrat untuk membawa pembaharuan, khususnya dalam melihat keperluan golongan muda, memperluas peluang ekonomi, serta memacu pembangunan di DUN Benut agar kesannya dapat dirasai oleh seluruh masyarakat. Beliau juga merancang untuk bekerjasama rapat dengan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan demi merealisasikan agenda pembangunan tersebut.

Kelebihan Sebagai ‘Anak Jati’ Benut

​Apabila ditanya mengenai kelebihannya berbanding calon lain, beliau tidak menafikan statusnya sebagai anak tempatan memberikan sedikit kelebihan untuk beliau mendekati pengundi.

​”Mungkin ada sedikit kelebihan sebab saya anak jagung (anak jati) Benut. Lahir di sini, membesar, sekolah di sini, dan kawan-kawan sekolah serta saudara-mara pun ramai di sini. Malah, ada juga penduduk yang mengenali arwah bapa saya. Ini sedikit sebanyak memudahkan urusan kempen dan membina jalinan yang sedia ada,” kongsinya lagi.

​Walaupun ini merupakan kali pertama beliau bertanding, Dato’ Mohd Sumali menjelaskan bahawa beliau sudah lama aktif dalam arena politik dan sentiasa bergaul dengan masyarakat setempat tanpa mengira musim.

​Sesuai dengan slogan kempennya, “Benut Rumah Kita”, beliau menyeru agar seluruh warga Benut dapat memberikan sokongan padu dan bergerak bersama-sama beliau demi masa depan Benut yang lebih gemilang.

#PRNBenut #DatoMohdSumali #BenutRumahKita #BarisanNasional #BeritaAAC

JOHOR BAHRU – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N44 Larkin, Hairi Mohd Shah, meletakkan sasaran tinggi untuk menyelesaikan baki 20 peratus isu dan perancangan di kawasan berkenaan dalam tempoh lima tahun akan datang sekiranya diberikan mandat semula oleh rakyat.

​Bercakap dalam sesi temubual ‘Sembang Kopi’ bersama Dr. Azam Rauzan, Hairi yang juga merupakan bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor, menyatakan tahap kepuasan perkhidmatannya sepanjang empat tahun lalu berada pada kadar 80 peratus.

​”Saya tidak mahu mendabik dada. Sepanjang empat tahun ini, saya telah turun padang dan melihat sendiri pelbagai masalah rakyat. Jika diberikan peluang lagi, saya akan pastikan baki perancangan tersebut dapat diselesaikan sepenuhnya (100 peratus) dalam tempoh lima tahun ini,” katanya.

​Mengulas lanjut mengenai perancangan masa depan, Hairi menjelaskan terdapat banyak agenda pembangunan yang sedang dan bakal dilaksanakan, termasuk projek infrastruktur sukan di Stadium Larkin serta pembangunan komuniti di Kampung Melayu. Malah, kawasan Kampung Melayu juga telah disenaraikan di bawah Rancangan Khas (RKK) yang membolehkan penyusunan semula dan pengindahan kawasan dilakukan dengan lebih kemas demi keselesaan penduduk.

​Dalam sesi yang sama, Hairi turut mengingatkan seramai 76,662 pengundi di DUN Larkin agar bijak memilih kestabilan bagi memastikan kelangsungan kemajuan ekonomi dan kebajikan masyarakat setempat. Beliau turut menyentuh kepentingan memilih pemimpin tempatan yang fokus, berbanding calon yang bertanding di beberapa kerusi berbeza sehingga dibimbangi menjejaskan kualiti khidmat kepada rakyat.

​Sesi temubual tersebut diakhiri dengan seruan agar para pengundi di DUN Larkin menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian 11 Hari Bulan ini dengan memilih kestabilan masa depan Johor.

#PRNJohor #DunLarkin #KestabilanMasaDepan #SembangKopiAAC #HairiMohdShah