Day: July 21, 2026

​SHAH ALAM , 19 Julai 2026 – Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan dijangka bakal memperlihatkan momentum politik yang berbeza berbanding pilihan raya terdahulu, hasil sokongan positif yang ditunjukkan oleh rakyat tempatan terhadap Barisan Nasional (BN).

​Ketua UMNO Bahagian Subang, Dato’ Dr Armand Azha Abu Hanifah berkata, kehadiran dan respons orang ramai sejak beberapa hari lalu memberikan isyarat jelas bahawa ‘eksperimen politik’ di negeri berkenaan akan menjadi titik permulaan kepada satu gerakan politik yang signifikan.

​”Jika kita lihat perkembangan mutakhir ini, Negeri Sembilan menunjukkan satu pendekatan yang cukup positif dengan kehadiran rakyat yang memberikan sokongan padu kepada Barisan Nasional.

​”Saya yakin PRN di Negeri Sembilan ini akan membawa momentum berbeza kerana ‘eksperimen’ antara dua parti politik Melayu-Islam terbesar akan menggambarkan satu gerakan yang berlainan,” katanya ketika ditemui media.

​Mengulas lanjut, Armand turut memetik kenyataan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengenai istilah ‘kepejalan dan keanjalan politik’ yang dijangka bermula dari Negeri Sembilan.

​Apabila ditanya sama ada gelombang serta strategi yang sama bakal dibawa ke negeri lain seperti Selangor atau Melaka, beliau menegaskan keutamaan buat masa ini adalah melepasi cabaran di Negeri Sembilan terlebih dahulu.

​”Pertama sekali, kita ‘don’t jump ship’ dahulu. Kita selesaikan Pilihan Raya Negeri Sembilan ini terlebih dahulu.

​”Setelah mendapat mandat dan keputusan daripada rakyat Negeri Sembilan, barulah kita akan lihat apakah strategi seterusnya untuk negeri-negeri lain,” pangkas beliau.

#PRNNegeriSembilan #PolitikMalaysia #BarisanNasional #ArmandAzha #BeritaAAC

JERAM PADANG , 20 Julai 2026 – Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini disifatkan sebagai satu kesefahaman politik demi memastikan kestabilan dan kemakmuran rakyat, bukannya sekadar gabungan formal semata-mata.

​Menurut Calon BN bagi DUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abd Kadir, pendekatan yang diambil membolehkan parti-parti politik utama bertanding dalam suasana yang lebih harmoni tanpa pertembungan yang memecahbelahkan pengundi.

​”Pegangan saya, kerjasama ini adalah atas dasar persefahaman atau understanding antara parti. Kali ini kita menempuh pilihan raya dalam suasana yang harmoni di mana tiada pertembungan yang tidak diperlukan,” katanya ketika ditemui portal Berita AAC.

​Beliau menambah, langkah tersebut memberi manfaat besar kepada penyatuan pengundi, di samping memperkukuh tekad untuk memastikan pentadbiran Negeri Sembilan terus stabil.

​Mengulas mengenai peluang kemenangan pada PRN ini, Mohd Zaidy menzahirkan keyakinan bahawa jentera parti yang bekerja keras akan membuahkan hasil positif menjelang hari penentuan kelak.

​”Saya yakin jika kita bekerja keras dalam tempoh kempen ini, insya-Allah kita akan mengecapi kemenangan. Kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pengundi Melayu, malah merangkumi seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum—sama ada Cina, India mahupun Siam,” jelas beliau lagi.

#BeritaAAC #PRNNegeriSembilan #DUNJeramPadang #MohdZaidyAbdKadir #BarisanNasional