Day: July 25, 2026

AMPANGAN , 25 Julai 2026– Kerjasama di antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai langkah taktikal (tactical move) bersifat sementara mengikut keperluan negeri, bukannya gabungan kekal secara menyeluruh.

​Penganalisis politik / pemerhati, Dr. Azam Rauzan menegaskan bahawa bentuk kerjasama sedemikian merupakan apa yang dihajatkan oleh rakyat, khususnya masyarakat Melayu yang mahukan kesatuan dan ukhuwah dalam perjuangan politik.

​”Ia bukan satu gabungan atau kolaborasi kekal, tetapi satu tactical move—kerjasama sementara atas dasar negeri ke negeri. Inilah sebenarnya yang diharapkan oleh rakyat Malaysia dan orang Melayu, iaitu kesatuan ukhuwah,” katanya dalam sesi temubual Sembang Kopi.

Chennah Bakal Buat Kejutan

Mengulasmengenai suasana kempen pilihan raya di Negeri Sembilan, Dr. Azam yang sempat turun ke perkampungan Orang Asli di Kampung Toha, Chennah meluahkan rasa optimis terhadap moral serta jentera kerja BN dan PN di kawasan berkenaan.

​Beliau meramalkan DUN Chennah yang kini disandang oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH), Anthony Loke, berpotensi menampilkan kejutan hasil kesepakatan jentera BN-PN.

​”Dengan semangat dan jentera kerja antara BN dan PN yang mula berputik, saya rasa Chennah akan membuat satu kejutan,” katanya.

Elak Tamak dan ‘Puji Diri’

Dalam pada itu, Dr. Azam turut mengingatkan para pemimpin dan jentera parti agar tidak bersikap tamak, mementingkan diri, atau terlalu megah dengan peranan masing-masing dalam membina kerjasama tersebut.

​Beliau menegaskan bahawa niat utama dalam politik sepatutnya berteraskan perjuangan dan takdir, bukannya semata-mata mengejar posisi sebagai calon atau menteri.

​”Jangan tamak, jangan puji diri sendiri kononnya kita jadi ‘jambatan’. Orang tak suka. Yang penting ialah kejujuran, keikhlasan dan menjaga tutur kata. Siapa yang dapat menjaga mulut dan berdisiplin, mereka yang akan berjaya,” tambah beliau.

#BeritaAAC #SembangKopi #PRN2026 #PolitikMalaysia #BNPN

SEREMBAN, 24 Julai 2026– Ahli dan penyokong parti Barisan Nasional (BN) kini berada pada tahap keyakinan tertinggi menjelang hari pengundian, berikutan maklum balas positif yang diterima daripada pelbagai lapisan masyarakat di Negeri Sembilan.

​Presiden Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Datuk Seri Syed Ibrahim menyatakan bahawa hasil tinjauan dan gerak kerja turun padang mendapati para pengundi di negeri itu kini semakin sedar akan kepentingan memilih sebuah pentadbiran yang stabil.

​Menurut beliau, dapatan di lapangan menunjukkan rakyat merindui serta mahukan pentadbiran Barisan Nasional kembali mengukuhkan pentadbiran di Negeri Sembilan.

“Alhamdulillah, kita dapat lihat pengundi-pengundi pun dah sedar dan mereka sanggup untuk mengundi ‘biru’ kali ini. Mana-mana kita pergi pun, mereka sokong Barisan Nasional kerana mahukan satu pentadbiran yang kekal dan stabil,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

​Tambah Syed Ibrahim, perubahan dapat dirasakan apabila rakyat mula membandingkan suasana pentadbiran terdahulu dengan situasi semasa, sekali gus mahukan perubahan demi menjamin kesejahteraan rakyat di Negeri Sembilan.

​Apabila ditanya mengenai peluang kemenangan, beliau optimis bahawa sokongan terhadap BN tidak hanya terhad kepada satu-satu kaum, sebaliknya merangkumi seluruh masyarakat majmuk.

“Daripada pandangan saya selepas turun padang dan berjumpa pelbagai kelompok pengundi, jawapannya memang positif. Gelombang biru ini bukan sahaja dirasai oleh masyarakat Melayu, malah masyarakat India dan Cina juga memberikan maklum balas yang sangat baik,” jelas beliau lagi.

​Beliau berharap agar momentum ‘Gelombang Biru’ ini dapat diterjemahkan kepada kertas undi seterusnya membawa kestabilan politik di Negeri Sembilan.

#BeritaAAC #PRNNSembilan #BarisanNasional #GelombangBiru #PolitikMalaysia

SEREMBAN, 24 Julai 2026 – Parti Makkal Sakhti Malaysia menyuarakan sokongan padu terhadap pelancaran manifesti Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sambil menegaskan komitmen untuk meneruskan agenda pembangunan di negeri tersebut.

​Presiden Makkal Sakhti Malaysia, Datuk Sri Thanenthiran berkata, pelancaran manifesti tersebut merupakan satu langkah penting untuk memastikan kesinambungan pelbagai projek berimpak tinggi yang telah dan sedang dilaksanakan di bawah pentadbiran BN.

​Menerusi satu temubual ringkas, beliau memberi tumpuan kepada usaha pembaharuan struktur pentadbiran dan pembangunan yang disifatkan sebagai proses “menukar bumbung” dan bukannya merobohkan binaan asal yang sudah kukuh.

“Kita bukannya mahu merobohkan, sebaliknya kita mahu membuat penukaran bumbung. Dengan kejayaan ini, kita yakin Negeri Sembilan akan mendapat satu pembaharuan dari segi kemajuan dan juga peningkatan ekonomi,” ujar beliau.


​Mengulas lanjut mengenai pencapaian sedia ada, Thanenthiran menyorot projek-projek strategik seperti Malaysia Vision Valley (MVV) dan Lembah Pendidikan di Sendayan yang terbukti memberi impak positif kepada pemodenan fizikal serta sosioekonomi penduduk tempatan.

​Beliau turut menekankan bahawa agenda pembaharuan di bawah BN bakal membuka puluhan ribu peluang pekerjaan baharu serta melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan rakyat tempatan, sekaligus menangani isu kekurangan peluang pekerjaan dan pengangguran.

​Sehubungan itu, Makkal Sakhti menaruh harapan tinggi agar Barisan Nasional terus diberi mandat untuk menerajui dan memimpin pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.

#BeritaAAC #PRNNSembilan #BarisanNasional #MakkalSakhti #PembangunanNS

Kampung KOHOR, 24 Julai 2026 — Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meyakinkan bahawa sokongan BN terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal utuh sehingga ke akhir penggal.

​Sambil menepis dakwaan bahawa hubungan tersebut bergantung kepada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN), Ahmad Zahid menegaskan komitmen itu berasaskan perjanjian dan resolusi yang telah dicapai bersama.

​”Berdasarkan perjanjian dan resolusi kami, kami menyokong kerajaan sedia ada di Putrajaya sehingga akhir penggal. Itu adalah sangat pasti,” katanya ketika ditemui media.

​Mengulas mengenai kerjasama PN-BN atau persefahaman politik di peringkat negeri seperti Negeri Sembilan dan Melaka, beliau menjelaskan bahawa keserasian perlu diwujudkan secara organik dan keikhlasan adalah kunci utama.

​Menurutnya, walaupun terdapat beberapa isu atau ‘titik bengit’ yang perlu diselesaikan, pihak bertagungjawab diberikan peluang untuk menyelesaikannya dengan segera sebelum tempoh kempen atau hari mengundi.

​”Banyak perkara yang boleh dipercepatkan dan kerja-kerja kebersamaan perlu diwujudkan. Pengalaman lalu tentu mengajar kita untuk melakukan yang lebih baik,” ujarnya.

​Apabila ditanya mengenai sindiran sesetengah pihak yang mendakwa hubungan politik tersebut bakal ‘karam’, Ahmad Zahid secara santai menjawab: “Kita tengoklah siapa yang karam, siapa yang akan timbul.”

#AhmadZahid #PolitikMalaysia #KerajaanPerpaduan #BarisanNasional #BeritaAAC

​KAMPUNG KOHOR , 24 Julai 2026– Barisan Nasional (BN) berikrar untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 50,000 peluang pekerjaan baharu bergaji premium dalam tempoh lima tahun akan datang sekiranya diberikan mandat untuk menerajui semula kerajaan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

​Pengerusi Barisan Nasional, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, fokus tersebut adalah bagi memastikan anak-anak muda di Negeri Sembilan dapat bekerja dan menetap di negeri sendiri tanpa perlu berhijrah ke negeri lain.

​Menurut beliau, tawaran tersebut adalah berasaskan komitmen BN untuk membawa masuk lebih banyak pelaburan dari dalam dan luar negara, seterusnya merancakkan lagi pembangunan ekonomi serta mewujudkan koridor baharu industri di negeri berkenaan.

​”Kita tidak menjanjikan bulan dan bintang, tetapi kita akan menghamparkan sesuatu yang lebih baik kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan.

​”Kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Sembilan kini berada pada 4.6 peratus, iaitu di bawah paras purata nasional 5.2 peratus. Ini menunjukkan wujud ruang yang sangat luas untuk pertumbuhan ekonomi jika negeri ini diterajui semula oleh Barisan Nasional,” katanya.

​Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang media sempena hari ketujuh kempen PRN Negeri Sembilan, hari ini.

​Mengulas mengenai sokongan pengundi, Ahmad Zahid melahirkan rasa optimis bahawa ‘gelombang biru’ yang melanda Johor sebelum ini akan turut sampai ke Negeri Sembilan, memandangkan sambutan terhadap jentera BN dan Perikatan Nasional (PN) setakat ini amat memberangsangkan.

​Selain itu, beliau turut mencadangkan pelantikan Pegawai Khas Orang Asli di Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan bagi memastikan kebajikan serta suara masyarakat itu dapat disalurkan secara terus kepada pentadbiran negeri. Katanya, langkah pentadbiran tersebut telah pun dilaksanakan di Pahang dan Perak serta terbukti membuahkan hasil yang positif.

​Sementara itu, ketika ditanya mengenai hubungannya dengan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahmad Zahid menegaskan bahawa pendirian BN kekal kukuh untuk menyokong kerajaan sedia ada sehingga tamat penggal.

​”Berdasarkan perjanjian dan ketetapan kami, BN akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal. Pendirian ini adalah amat tegas dan tidak berganjak, tidak kira apa jua keputusan PRN Negeri Sembilan,” jelas beliau.

#BeritaAAC #PRNNegeriSembilan #AhmadZahidHamidi #BarisanNasional #PerikatanNasional