
AMPANGAN , 25 Julai 2026– Kerjasama di antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai langkah taktikal (tactical move) bersifat sementara mengikut keperluan negeri, bukannya gabungan kekal secara menyeluruh.
Penganalisis politik / pemerhati, Dr. Azam Rauzan menegaskan bahawa bentuk kerjasama sedemikian merupakan apa yang dihajatkan oleh rakyat, khususnya masyarakat Melayu yang mahukan kesatuan dan ukhuwah dalam perjuangan politik.
”Ia bukan satu gabungan atau kolaborasi kekal, tetapi satu tactical move—kerjasama sementara atas dasar negeri ke negeri. Inilah sebenarnya yang diharapkan oleh rakyat Malaysia dan orang Melayu, iaitu kesatuan ukhuwah,” katanya dalam sesi temubual Sembang Kopi.
Chennah Bakal Buat Kejutan
Mengulasmengenai suasana kempen pilihan raya di Negeri Sembilan, Dr. Azam yang sempat turun ke perkampungan Orang Asli di Kampung Toha, Chennah meluahkan rasa optimis terhadap moral serta jentera kerja BN dan PN di kawasan berkenaan.
Beliau meramalkan DUN Chennah yang kini disandang oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH), Anthony Loke, berpotensi menampilkan kejutan hasil kesepakatan jentera BN-PN.
”Dengan semangat dan jentera kerja antara BN dan PN yang mula berputik, saya rasa Chennah akan membuat satu kejutan,” katanya.
Elak Tamak dan ‘Puji Diri’
Dalam pada itu, Dr. Azam turut mengingatkan para pemimpin dan jentera parti agar tidak bersikap tamak, mementingkan diri, atau terlalu megah dengan peranan masing-masing dalam membina kerjasama tersebut.
Beliau menegaskan bahawa niat utama dalam politik sepatutnya berteraskan perjuangan dan takdir, bukannya semata-mata mengejar posisi sebagai calon atau menteri.
”Jangan tamak, jangan puji diri sendiri kononnya kita jadi ‘jambatan’. Orang tak suka. Yang penting ialah kejujuran, keikhlasan dan menjaga tutur kata. Siapa yang dapat menjaga mulut dan berdisiplin, mereka yang akan berjaya,” tambah beliau.
#BeritaAAC #SembangKopi #PRN2026 #PolitikMalaysia #BNPN
