Day: July 18, 2026

SEREMBAN , 18 Julai 2026– Parti Progresif Penduduk (PPP) bersedia untuk menggerakkan jentera parti bagi membantu Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) di Negeri Sembilan.

​Perkara itu dimaklumkan selepas selesainya Majlis Tertinggi Ketujuh yang diadakan di Negeri Sembilan. Mesyuarat tersebut telah membincangkan secara terperinci mengenai persediaan dan gerak kerja jentera PPP dalam mendepani pilihan raya tersebut.

​PPP telah diminta oleh Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Malaysia serta Pengerusi Barisan Nasional Negeri Sembilan untuk memfokuskan gerak kerja dan membantu BN di 13 kawasan tumpuan utama. Kawasan-kawasan tersebut dikenal pasti sebagai kawasan strategik yang mana pengundi daripada kaum India bakal menjadi penentu kepada kemenangan calon.

​Bagi memastikan kemenangan BN di kawasan-kawasan tersebut, PPP akan mengerakkan pasukan Jentera Rakyat (JR) dan pasukan edaran handbill (risalah) secara menyeluruh. Jentera ini ditugaskan untuk turun ke padang, mengenal pasti pengundi, mendengar serta menguruskan segala isu atau masalah yang dihadapi oleh pengundi secara berhemah.

​Langkah ini diharapkan dapat memberikan sokongan padu dan tambahan undi yang diperlukan oleh Barisan Nasional untuk mencapai kemenangan dalam PRN Negeri Sembilan kali ini.

#PRN16 #NegeriSembilan #BarisanNasional #PolitikMalaysia #BeritaAAC

KUALA LUMPUR – Agihan kerusi dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) didakwa mula mencetuskan ketidakpuasan hati sehingga membawa kepada tindakan beberapa parti komponen untuk bertanding secara solo menggunakan logo sendiri.

​Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar menyifatkan tindakan Parti Pribumi yang dilaporkan bakal mengumumkan calon dan bertanding atas tiket serta logo sendiri sebagai satu bentuk ‘mufarakah’ secara tidak rasmi daripada saf kepimpinan PN.

​Beliau berkata, perpecahan dalaman PN itu secara tidak langsung akan merencatkan strategi asal pertembungan dua penjuru, sekali gus menyukarkan laluan gabungan tersebut untuk memperoleh kemenangan mudah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sembilan.

​”Apabila agihan kerusi ini dibuat, mereka akan berbincang di kalangan mereka… sudah pasti akan ada satu ketidakpuasan hati di kalangan mereka.

​”Apabila mereka mengambil tindakan untuk bertanding atas tiket bendera dan juga logo mereka sendiri iaitu logo Pribumi, saya nampak itu satu bentuk mufarakah secara tidak rasmi kerana telah keluar daripada barisan kepimpinan Perikatan Nasional dan bergerak solo,” katanya dalam Sessi Temubual Sembang Kopi.

​Mengulas lanjut, Gulam Muszaffar menegaskan bahawa fokus utama ketika ini sepatutnya adalah untuk mengkonsolidasikan seluruh pengundi Melayu, Islam, serta pengundi daripada kalangan kaum Cina dan India di bawah satu bumbung.

​”Kita punya naratif dan objektif adalah ingin pertandingan dua penjuru. Tapi sekiranya ada pertandingan tiga penjuru, dia akan menjadi lebih sengit dan lebih sukar untuk kita nak memperoleh kemenangan secara mudah,” katanya lagi.

​Bagaimanapun, beliau tetap mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pihak dan menyerahkan mandat sepenuhnya kepada pengundi di Negeri Sembilan untuk menentukan wakil rakyat pilihan mereka menjelang hari pengundian pada 1 Ogos 2026.

​Beliau turut menaruh harapan agar gelombang biru di bawah Barisan Nasional (BN) mampu menjadi dominan, dengan sokongan gelombang hijau untuk memastikan jumlah kerusi yang mencukupi bagi membentuk kerajaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

#PolitikMalaysia #PRNNegeriSembilan #PerikatanNasionalRetak #BarisanNasional #BeritaAAC