Day: July 27, 2026

​SEREMBAN, 25 Julai 2026 – Penganalisis politik, Dr. Azam Rauzan meramalkan bakal berlaku tiga ‘kejutan’ besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan, berikutan gelombang penolakan rakyat terhadap kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang semakin meluas.

​Menurut beliau dalam sesi temubual Sembang Kopi, sentimen penolakan terhadap PH kini bukan sahaja melibatkan pengundi Melayu, malah turut merangkumi pengundi kaum Cina yang terkesan dari segi ekonomi dan kestabilan politik.

​Dr. Azam mendakwa, kerusi DUN Chennah, Sikamat, dan Linggi bakal menyaksikan peralihan sokongan yang ketara dan berpotensi memberikan kejutan kepada gabungan kerajaan.

​”Momentum menyampah dan meluat kepada PH sedang melanda negara, dan tsunami ini akan merebak ke Negeri Sembilan. Kaum Cina adalah peniaga yang mahukan kestabilan ekonomi. Apabila perniagaan terganggu akibat masalah kepimpinan PH, kesannya dapat dirasai di mana-mana,” katanya.

​Mengulas mengenai saingan di DUN Chennah, beliau berpandangan calon Barisan Nasional (BN), John Chu mempunyai kelebihan kerana fasih berbahasa Melayu dan diterima baik oleh penduduk tempatan.

​Manakala bagi DUN Sikamat pula, pertarungan tiga penjuru dijangka memberi kelebihan berikutan isu-isu semasa yang melibatkan sentimen penjawat awam serta pasukan keselamatan negara.

​Selain itu, Dr. Azam turut mempersoalkan tindakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang berpindah bertanding di DUN Linggi. Beliau mendakwa tindakan tersebut menggambarkan kepimpinan sedia ada mula hilang keyakinan di kubu asal mereka.

​”Bila sudah terlalu lama dan tidak boleh meyakinkan pengundi di tempat lama, mereka lari ke kawasan baru. Namun, saya yakin rakyat di Linggi dan Negeri Sembilan secara keseluruhannya mahu memberikan mesej jelas kepada PH,” ujarnya.

​Mengakhiri temubual, Dr. Azam secara berseloroh menyatakan PH seolah-olah ‘lebih selesa’ berada di blok pembangkang berbanding mengemudi kerajaan.

​”PH ini dahi mereka dah serasi jadi pembangkang. Jadi, apa yang rakyat perlu buat ialah pulangkan balik mereka ke tempat asal sebagai pembangkang,” katanya.

#BeritaAAC #PRNNegeriSembilan #SembangKopi #PolitikMalaysia #BarisanNasional #PerikatanNasional

​SEREMBAN — Penganalisis Politik, Dr. Azam Rauzan menggesa semua jentera dan kepimpinan parti politik agar tidak terperangkap dengan pelbagai provokasi luaran serta spekulasi media sosial menjelang pilihan raya, sebaliknya memberikan tumpuan penuh untuk mencapai kemenangan terlebih dahulu.

​Mengulas mengenai desas-desus pembentukan kerjasama ‘Perikatan Barisan Nasional’ (PBN) yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Hamzah Zainuddin, beliau menyifatkan dakwaan berkenaan tidak lebih daripada sekadar taktik kempen (tactical move) dan gerakan saraf (black ops) untuk memprovokasi pelbagai pihak.

​”Dalam dunia politik, tiada yang kekal atau confirm. Jangan kita terlalu mengangkat diri sendiri. Istilah PBN ini hanyalah semangat kempen yang keterlaluan. Kita tidak perlu terlalu sensitif atau terus bereaksi, sebaliknya kekal tenang, senyum dan fokus kepada kerja,” katanya ketika ditemui dalam program Sembang Kopi baru-baru ini.

​Beliau turut mengulas mengenai penularan hantaran di media sosial yang mendakwa wujud pakatan melantik Timbalan Menteri Besar daripada PAS sekiranya Barisan Nasional (BN) menang di Negeri Sembilan. Menurutnya, isu berkenaan adalah perkara ‘merapu’ yang bertujuan melagakan parti.

​”Isu siapa jadi Menteri Besar atau Timbalan, kita sapu tepi dulu. Menanglah dahulu baru kita pilih. Malah PAS sendiri sudah memberi kenyataan tidak mengejar sebarang jawatan, dan itu satu sikap yang perlu dihormati,” tambahnya.

​Dalam pada itu, Dr. Azam turut memberikan amaran mesra kepada calon-calon bertanding agar tidak sesekali menyentuh isu sensitif berkaitan adat dan institusi Raja semata-mata untuk menjadi ‘hero’ politik.

​Pengalaman lebih 30 tahun dalam arena politik mengajar beliau untuk memahami watak dan riak manusia. Justeru, beliau mengingatkan seluruh ahli dan jentera BN agar terus setia kepada kepimpinan utama parti.

​”Dalam BN, kita ikut arahan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Beliau adalah kapten kita dan tiada kapten lain. Kepada mereka yang berlainan nada di belakang tetapi ‘cium tangan’ di depan, beringatlah bahawa dalam era kecerdasan buatan (AI) sekarang, tiada apa yang boleh disembunyikan,” tegas beliau.

​Membuat andaian mengenai keputusan pilihan raya akan datang, Dr. Azam menzahirkan keyakinan bahawa BN mampu meraih sekurang-kurangnya 20 daripada 25 kerusi yang ditandingi, manakala perikatan berkenaan berpotensi memenangi sekurang-kurangnya lima kerusi sasaran.

​”Jaga jentera, jaga ukhuwah. Lupakan perkara yang tidak perlu dan teruskan bekerja demi rakyat,” katanya mengakhiri bicara.

#BeritaAAC #DrAzamRauzan #PolitikMalaysia #BarisanNasional #PerikatanNasional

LINGGI, 25 Julai 2026 — Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N32 Linggi, Datuk Faizal Ramli, memohon agar para pengundi di kawasan berkenaan terus memberikan mandat kepada beliau untuk menggalas tanggungjawab pada penggal akan datang.

​Menurut bekas penyandang kerusi DUN Linggi itu, tempoh perkhidmatannya selama dua tahun lapan bulan sebelum ini agak singkat untuk beliau memberikan khidmat yang terbaik secara menyeluruh kepada segenap lapisan masyarakat di situ.

​”Selama dua tahun lapan bulan ini, ia bukanlah satu masa yang mencukupi untuk saya memberikan khidmat yang terbaik kepada semua pengundi di kawasan Linggi ini. Insya-Allah, jika diberi kepercayaan sekali lagi, saya akan buat yang lebih baik,” katanya ketika ditemui dalam satu sesi temubual bersama Dr. Azam Rauzan.

​Menyentuh mengenai persaingan tiga penjuru yang berlaku di DUN Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, Faizal menegaskan beliau bersiap sedia dan bersikap terbuka untuk berdepan dengan mana-mana calon.

​Jelas beliau, Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi yang memberi ruang dan kebebasan kepada mana-mana pihak untuk bertanding di kawasan pilihan mereka.

​”Saya secara terbuka dan berlapang dada akan menentang sesiapa sahaja. Sebagai penyandang, saya akan memastikan Barisan Nasional kekal menang di Linggi. Kita bersaing secara sihat dan saya yakin sesiapa yang terpilih kelak akan berkhidmat yang terbaik untuk masyarakat,” tambah beliau lagi.

​Dr. Azam turut menambah bahawa kuasa menentukan kepimpinan kawasan tersebut terletak sepenuhnya di tangan rakyat yang akan menentukan masa depan DUN N32 Linggi.

#BeritaAAC #PRNNismilan #DUNLinggi #BarisanNasional