
SEREMBAN, 25 Julai 2026 – Penganalisis politik, Dr. Azam Rauzan meramalkan bakal berlaku tiga ‘kejutan’ besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan, berikutan gelombang penolakan rakyat terhadap kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang semakin meluas.
Menurut beliau dalam sesi temubual Sembang Kopi, sentimen penolakan terhadap PH kini bukan sahaja melibatkan pengundi Melayu, malah turut merangkumi pengundi kaum Cina yang terkesan dari segi ekonomi dan kestabilan politik.
Dr. Azam mendakwa, kerusi DUN Chennah, Sikamat, dan Linggi bakal menyaksikan peralihan sokongan yang ketara dan berpotensi memberikan kejutan kepada gabungan kerajaan.
”Momentum menyampah dan meluat kepada PH sedang melanda negara, dan tsunami ini akan merebak ke Negeri Sembilan. Kaum Cina adalah peniaga yang mahukan kestabilan ekonomi. Apabila perniagaan terganggu akibat masalah kepimpinan PH, kesannya dapat dirasai di mana-mana,” katanya.
Mengulas mengenai saingan di DUN Chennah, beliau berpandangan calon Barisan Nasional (BN), John Chu mempunyai kelebihan kerana fasih berbahasa Melayu dan diterima baik oleh penduduk tempatan.
Manakala bagi DUN Sikamat pula, pertarungan tiga penjuru dijangka memberi kelebihan berikutan isu-isu semasa yang melibatkan sentimen penjawat awam serta pasukan keselamatan negara.
Selain itu, Dr. Azam turut mempersoalkan tindakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang berpindah bertanding di DUN Linggi. Beliau mendakwa tindakan tersebut menggambarkan kepimpinan sedia ada mula hilang keyakinan di kubu asal mereka.
”Bila sudah terlalu lama dan tidak boleh meyakinkan pengundi di tempat lama, mereka lari ke kawasan baru. Namun, saya yakin rakyat di Linggi dan Negeri Sembilan secara keseluruhannya mahu memberikan mesej jelas kepada PH,” ujarnya.
Mengakhiri temubual, Dr. Azam secara berseloroh menyatakan PH seolah-olah ‘lebih selesa’ berada di blok pembangkang berbanding mengemudi kerajaan.
”PH ini dahi mereka dah serasi jadi pembangkang. Jadi, apa yang rakyat perlu buat ialah pulangkan balik mereka ke tempat asal sebagai pembangkang,” katanya.
#BeritaAAC #PRNNegeriSembilan #SembangKopi #PolitikMalaysia #BarisanNasional #PerikatanNasional
