
SEREMBAN — Penganalisis Politik, Dr. Azam Rauzan menggesa semua jentera dan kepimpinan parti politik agar tidak terperangkap dengan pelbagai provokasi luaran serta spekulasi media sosial menjelang pilihan raya, sebaliknya memberikan tumpuan penuh untuk mencapai kemenangan terlebih dahulu.
Mengulas mengenai desas-desus pembentukan kerjasama ‘Perikatan Barisan Nasional’ (PBN) yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Hamzah Zainuddin, beliau menyifatkan dakwaan berkenaan tidak lebih daripada sekadar taktik kempen (tactical move) dan gerakan saraf (black ops) untuk memprovokasi pelbagai pihak.
”Dalam dunia politik, tiada yang kekal atau confirm. Jangan kita terlalu mengangkat diri sendiri. Istilah PBN ini hanyalah semangat kempen yang keterlaluan. Kita tidak perlu terlalu sensitif atau terus bereaksi, sebaliknya kekal tenang, senyum dan fokus kepada kerja,” katanya ketika ditemui dalam program Sembang Kopi baru-baru ini.
Beliau turut mengulas mengenai penularan hantaran di media sosial yang mendakwa wujud pakatan melantik Timbalan Menteri Besar daripada PAS sekiranya Barisan Nasional (BN) menang di Negeri Sembilan. Menurutnya, isu berkenaan adalah perkara ‘merapu’ yang bertujuan melagakan parti.
”Isu siapa jadi Menteri Besar atau Timbalan, kita sapu tepi dulu. Menanglah dahulu baru kita pilih. Malah PAS sendiri sudah memberi kenyataan tidak mengejar sebarang jawatan, dan itu satu sikap yang perlu dihormati,” tambahnya.
Dalam pada itu, Dr. Azam turut memberikan amaran mesra kepada calon-calon bertanding agar tidak sesekali menyentuh isu sensitif berkaitan adat dan institusi Raja semata-mata untuk menjadi ‘hero’ politik.
Pengalaman lebih 30 tahun dalam arena politik mengajar beliau untuk memahami watak dan riak manusia. Justeru, beliau mengingatkan seluruh ahli dan jentera BN agar terus setia kepada kepimpinan utama parti.
”Dalam BN, kita ikut arahan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Beliau adalah kapten kita dan tiada kapten lain. Kepada mereka yang berlainan nada di belakang tetapi ‘cium tangan’ di depan, beringatlah bahawa dalam era kecerdasan buatan (AI) sekarang, tiada apa yang boleh disembunyikan,” tegas beliau.
Membuat andaian mengenai keputusan pilihan raya akan datang, Dr. Azam menzahirkan keyakinan bahawa BN mampu meraih sekurang-kurangnya 20 daripada 25 kerusi yang ditandingi, manakala perikatan berkenaan berpotensi memenangi sekurang-kurangnya lima kerusi sasaran.
”Jaga jentera, jaga ukhuwah. Lupakan perkara yang tidak perlu dan teruskan bekerja demi rakyat,” katanya mengakhiri bicara.
#BeritaAAC #DrAzamRauzan #PolitikMalaysia #BarisanNasional #PerikatanNasional
