Day: July 31, 2026

​JERAM PADANG , 31 Julai 2026– Menginjak ke hari-hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) dilihat semakin mengukuh di seluruh kawasan Negeri Sembilan, khususnya melibatkan keluhan dan keperluan masyarakat akar umbi.

​Presiden Partii Makkal Sakhti Malaysia, Datuk Seri R.S. Thanenthiran menyatakan keyakinan beliau bahawa BN berkeupayaan penuh untuk mengembalikan momentum pembangunan yang tergendala di negeri tersebut. Menurut beliau, tinjauan di peringkat kawasan menunjukkan penerimaan positif rakyat yang dahagakan kemajuan berterusan.

​”Daripada senario yang saya lihat di seluruh kawasan Negeri Sembilan, kita nampak keyakinan rakyat kembali kukuh. Hanya Barisan Nasional yang dapat membela nasib dan menyambung semula agenda pembangunan serta kemajuan rakyat yang tergendala sebelum ini,” katanya ketika ditemui.

​Sementara itu, suara akar umbi masyarakat Orang Asli turut menuntut perhatian serius daripada calon yang bakal dimandatkan. Wakil masyarakat Orang Asli dari Kampung Sungai Kelebang, DUN Jeram Padang, meluahkan rasa belisah berhubung beberapa isu kritikal yang masih belum menemui titik noktah.

​Antara masalah utama yang diutarakan termasuklah kekurangan peruntukan bagi pembinaan dan baik pulih rumah, gangguan bekalan air bersih, isu jalan raya, serta ancaman pencerobohan isu tanah yang kian berleluasa di kawasan mereka.

​”Kami amat berharap agar calon BN, Datuk Mohd Zaidy Abdul Bar, dapat menyelesaikan isu perumahan, air dan terutamanya isu tanah ini dengan cepat. Sejak kebelakangan ini, isu tanah makin berleluasa dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Kelebang,” jelas wakil berkenaan.

​Mengulas lanjut, Thanenthiran menyeru para pengundi untuk menterjemahkan sokongan tersebut di kertas undi bagi memastikan jajaran pentadbiran negeri selari dengan Kerajaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat.

#PRNNegeriSembilan #BeritaAAC #OrangAsli #JeramPadang #GelombangBiruBN #BarisanNasional #PerikatanNasional

JELEBU, 31 Julai 2026 — Barisan Dato’ Lembaga Delapan dan Ibu-Ibu Soko Luak Jelebu tampil membantah keras penganjuran Mesyuarat Khas Dewan Keadilan dan Undangan (DKU) Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung di Istana Seri Menanti petang ini.

​Dalam satu kenyataan media bersama, YM Dato’ Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari Mohamad Azmi bin Abdul Aziz mewakili Dato’-Dato Lembaga dan Ibu Soko menegaskan bahawa mesyuarat yang dipanggil secara tergesa-gesa itu mengandungi agenda tersembunyi untuk merealisasikan saranan pemecatan Undang Luak Jelebu ke-16, YTM Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Hj Maarof Bin Hj Mat Rashad.

​Menurut beliau, Notis Panggilan Mesyuarat bertarikh 30 Julai 2026 jam 4.00 petang itu diserahkan secara lewat kepada YTM Undang Johol dan YTM Tunku Besar Tampin, manakala YTM Dato’ Hj Maarof selaku Undang Luak Jelebu ke-16 langsung tidak dijemput hadir.

​“Agenda mesyuarat ini kononnya mahu mendengar aduan-aduan dari Luak Jelebu. Kami percaya beberapa individu yang telah dipecat sebagai Ibu Soko dan Buapak akan dibawa hadir bagi membentangkan tuduhan palsu terhadap YTM Dato’ Hj Maarof.

​“Ini adalah modus operandi yang sama untuk mengesahkan pemecatan Undang Luak Jelebu secara unilateral, sebagaimana yang berlaku sewaktu pemecatan Undang Luak Sungei Ujong dalam mesyuarat khas DKU bertarikh 17 April lalu,” katanya.

​Selain itu, pihak Dato’ Lembaga Luak Jelebu turut mendakwa mesyuarat khas tersebut melanggar Perkara 17 dan Perkara 20 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 berikutan isu keabsahan korum. Kehadiran dua orang Undang baharu dari Luak Sungai Ujong dan Luak Rembau yang belum disahkan kedudukan mereka secara rasmi dipertikaikan, sekali gus menjadikan sebarang keputusan mesyuarat terbatal dan tidak sah.

​Lebih mencuri tumpuan, kenyataan tersebut turut menekankan bahawa tindakan mengadakan Mesyuarat Khas DKU ini disifatkan sebagai menghina perintah mahkamah (contempt of court). Ini berikutan Perintah Injunksi Mahkamah Tinggi Seremban bertarikh 5 Jun 2026 yang menghalang peranan kesemua empat Undang, Tunku Besar Tampin, serta Dato’ Shahbandar Sungei Ujong sebagai anggota DKU.

​Tambah kenyataan itu lagi, memandangkan Negeri Sembilan berada di ambang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Kerajaan Negeri berstatus caretaker (sementara), tiada sebarang keputusan major atau besar berhubung institusi adat boleh dibuat sehingga pembentukan kerajaan baharu selepas 1 Ogos 2026.

​Dato’ Lembaga Luak Jelebu menegaskan komitmen dan ikrar teguh mereka di belakang YTM Dato’ Hj Maarof, serta menyatakan sebarang percubaan menafikan kedudukan beliau adalah tidak sah mengikut syariat adat dan undang-undang tubuh negeri.

#BeritaAAC #KrisisAdatN9 #LuakJelebu #DewanKeadilanDanUndangan #IsuIstanaN9

​LABU , 30 Julai 2026 – Sokongan pengundi terhadap sokongan ‘Gelombang Biru’ dilihat semakin kukuh menjelang hari pembuangan suara pada 1 Ogos ini, khususnya di Negeri Sembilan.

​Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan berkata, beliau yakin keyakinan rakyat terhadap Gelombang Biru akan membawa perubahan dan perbezaan yang besar di negeri berkenaan.

​”Setakat ini, kita mendapati sokongan terhadap Gelombangbiru sangat bagus dan rakyat lebih yakin pada masa ini. Saya percaya menjelang 1 Ogos nanti, kepercayaan ini akan membawa perbezaan besar kepada masyarakat di Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui media baru-baru ini.

​Mengulas mengenai sokongan komuniti India, Loga Bala mengakui sebahagian besar pengundi kaum itu telah menyatakan pendirian, namun meluahkan rasa terkilan berhubung isu kenyataan sensitif yang melibatkan Perdana Menteri (PMX) baru-baru ini.

​Menurut beliau, meskipun PMX telah memohon maaf dan berjanji untuk mengambil alih serta menguruskan isu berkaitan kaum India, komuniti tersebut masih merasakan sensitiviti mereka telah disentuh.

​”Satu masa cakap benda sensitif, lepas itu minta maaf dan buat perkara lain… ini bukan perkara yang baik untuk kita. Kami rakyat Malaysia ada hak dalam Perlembagaan dan tidak sepatutnya diperlakukan sedemikian.

​”Kalau betul permohonan maaf itu, tunjukkan keikhlasan. Tunjukkan apa yang nak dibuat. Walaupun kita boleh maafkan, tetapi perkara itu masih menyakitkan hati kami,” tegas beliau.

​Sehubungan itu, beliau menyeru para pengundi di Negeri Sembilan agar menilai dan membuat pilihan berasaskan kepakaran calon yang mampu memajukan negeri serta negara pada hari pengundian nanti.

#BeritaAAC #GelombangBiru #PRNNegeriSembilan #PPPMalaysia #SuaraRakyat #BarisanNasional #PerikatanNasional