
JELEBU, 31 Julai 2026 — Barisan Dato’ Lembaga Delapan dan Ibu-Ibu Soko Luak Jelebu tampil membantah keras penganjuran Mesyuarat Khas Dewan Keadilan dan Undangan (DKU) Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung di Istana Seri Menanti petang ini.
Dalam satu kenyataan media bersama, YM Dato’ Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari Mohamad Azmi bin Abdul Aziz mewakili Dato’-Dato Lembaga dan Ibu Soko menegaskan bahawa mesyuarat yang dipanggil secara tergesa-gesa itu mengandungi agenda tersembunyi untuk merealisasikan saranan pemecatan Undang Luak Jelebu ke-16, YTM Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Hj Maarof Bin Hj Mat Rashad.
Menurut beliau, Notis Panggilan Mesyuarat bertarikh 30 Julai 2026 jam 4.00 petang itu diserahkan secara lewat kepada YTM Undang Johol dan YTM Tunku Besar Tampin, manakala YTM Dato’ Hj Maarof selaku Undang Luak Jelebu ke-16 langsung tidak dijemput hadir.
“Agenda mesyuarat ini kononnya mahu mendengar aduan-aduan dari Luak Jelebu. Kami percaya beberapa individu yang telah dipecat sebagai Ibu Soko dan Buapak akan dibawa hadir bagi membentangkan tuduhan palsu terhadap YTM Dato’ Hj Maarof.
“Ini adalah modus operandi yang sama untuk mengesahkan pemecatan Undang Luak Jelebu secara unilateral, sebagaimana yang berlaku sewaktu pemecatan Undang Luak Sungei Ujong dalam mesyuarat khas DKU bertarikh 17 April lalu,” katanya.
Selain itu, pihak Dato’ Lembaga Luak Jelebu turut mendakwa mesyuarat khas tersebut melanggar Perkara 17 dan Perkara 20 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 berikutan isu keabsahan korum. Kehadiran dua orang Undang baharu dari Luak Sungai Ujong dan Luak Rembau yang belum disahkan kedudukan mereka secara rasmi dipertikaikan, sekali gus menjadikan sebarang keputusan mesyuarat terbatal dan tidak sah.
Lebih mencuri tumpuan, kenyataan tersebut turut menekankan bahawa tindakan mengadakan Mesyuarat Khas DKU ini disifatkan sebagai menghina perintah mahkamah (contempt of court). Ini berikutan Perintah Injunksi Mahkamah Tinggi Seremban bertarikh 5 Jun 2026 yang menghalang peranan kesemua empat Undang, Tunku Besar Tampin, serta Dato’ Shahbandar Sungei Ujong sebagai anggota DKU.
Tambah kenyataan itu lagi, memandangkan Negeri Sembilan berada di ambang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Kerajaan Negeri berstatus caretaker (sementara), tiada sebarang keputusan major atau besar berhubung institusi adat boleh dibuat sehingga pembentukan kerajaan baharu selepas 1 Ogos 2026.
Dato’ Lembaga Luak Jelebu menegaskan komitmen dan ikrar teguh mereka di belakang YTM Dato’ Hj Maarof, serta menyatakan sebarang percubaan menafikan kedudukan beliau adalah tidak sah mengikut syariat adat dan undang-undang tubuh negeri.
#BeritaAAC #KrisisAdatN9 #LuakJelebu #DewanKeadilanDanUndangan #IsuIstanaN9
