
SEREMBAN, 24 Julai 2026 – Parti Makkal Sakhti Malaysia menyuarakan sokongan padu terhadap pelancaran manifesti Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sambil menegaskan komitmen untuk meneruskan agenda pembangunan di negeri tersebut.
Presiden Makkal Sakhti Malaysia, Datuk Sri Thanenthiran berkata, pelancaran manifesti tersebut merupakan satu langkah penting untuk memastikan kesinambungan pelbagai projek berimpak tinggi yang telah dan sedang dilaksanakan di bawah pentadbiran BN.
Menerusi satu temubual ringkas, beliau memberi tumpuan kepada usaha pembaharuan struktur pentadbiran dan pembangunan yang disifatkan sebagai proses “menukar bumbung” dan bukannya merobohkan binaan asal yang sudah kukuh.
“Kita bukannya mahu merobohkan, sebaliknya kita mahu membuat penukaran bumbung. Dengan kejayaan ini, kita yakin Negeri Sembilan akan mendapat satu pembaharuan dari segi kemajuan dan juga peningkatan ekonomi,” ujar beliau.
Mengulas lanjut mengenai pencapaian sedia ada, Thanenthiran menyorot projek-projek strategik seperti Malaysia Vision Valley (MVV) dan Lembah Pendidikan di Sendayan yang terbukti memberi impak positif kepada pemodenan fizikal serta sosioekonomi penduduk tempatan.
Beliau turut menekankan bahawa agenda pembaharuan di bawah BN bakal membuka puluhan ribu peluang pekerjaan baharu serta melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan rakyat tempatan, sekaligus menangani isu kekurangan peluang pekerjaan dan pengangguran.
Sehubungan itu, Makkal Sakhti menaruh harapan tinggi agar Barisan Nasional terus diberi mandat untuk menerajui dan memimpin pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.
#BeritaAAC #PRNNSembilan #BarisanNasional #MakkalSakhti #PembangunanNS
