
SHAH ALAM – Bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Saudara Khairy Jamaluddin menyifatkan formula penyatuan undi Melayu yang bakal diuji di Negeri Sembilan sebagai satu eksperimen politik yang baik dan tidak menolak kemungkinan ia boleh dibawa ke Selangor.
Menurut beliau, politik hari ini menuntut keanjalan dan fleksibiliti dalam merangka strategi, terutamanya bagi memastikan undi kaum Melayu tidak berpecah.
”Saya rasa ini satu eksperimen yang baik. Macam yang saya sebutkan tadi, dalam politik ini ada benda yang anjal, ada benda yang pejal. Jadi ini (soal) keanjalan.
”Kita nak bertanding macam mana strategi, itu bukan soal perjuangan. Jadi kita boleh fleksibel dalam hal ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pengamal media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Subang, baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai potensi formula berkenaan, Khairy menjelaskan bahawa keikhlasan dan kesungguhan daripada kedua-dua belah pihak amat diperlukan bagi melihat sejauh mana keberkesanan pertukaran sokongan undi antara parti terbabit.
”Kita nak tengoklah sama ada kita boleh bagi undi kita kepada calon PAS dan wawasan, and vice versa. Pengundi dia kena sokong kita juga.
”Dan kalau kita tengok undi Melayu itu tidak pecah sangat, dan formula ini untuk menyatukan pengundi Melayu itu ‘jadi’ di Negeri Sembilan, maybe kita boleh pertimbangkan formula ini untuk Selangor juga,” tambah beliau yang melihat demografi serta profil Selangor mempunyai persamaan dengan Negeri Sembilan.
Apabila ditanya mengenai jangkaan jumlah kerusi yang mampu dirampas di Selangor melalui formula ini, Khairy menegaskan adalah terlalu awal untuk membuat ramalan terperinci sebelum melihat impak formula tersebut di Negeri Sembilan terlebih dahulu.
Bagaimanapun, beliau optimis kemenangan di Selangor mampu dicapai sekiranya formula tersebut berjaya menghalang perpecahan undi Melayu seperti yang pernah berlaku dalam kes di Sungai Buloh.
Sementara itu, ditanya mengenai sama ada terdapat keperluan untuk menampilkan ‘Poster Boy’ bagi negeri Selangor, beliau secara ringkas menyatakan perkara tersebut boleh dibincangkan kemudian.
#KhairyJamaluddin #PolitikSelangor #UndiMelayu #BeritaAAC #PRN2026
