
JUASSEH — Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh kini berjalan atas dasar ‘persefahaman’ yang positif, meskipun tiada mana-mana perjanjian rasmi dimeterai antara kedua-dua pihak.
Calon BN bagi DUN N15 Juasseh, Datuk Hj Ismail Hj Lasim berkata, perkara itu jelas kelihatan menerusi siri pertemuan beliau bersama tokoh-tokoh tempatan PN di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, sokongan dan kerjasama yang ditunjukkan oleh kepimpinan serta pendukung PN di situ berada pada tahap yang amat baik dan memberangsangkan.
”Memang tidak ada perjanjian yang termeterai dan sebagainya, tetapi apa yang ada ialah persefahaman di antara parti-parti ini.
”Saya pernah bertemu dengan tokoh-tokoh PN di Juasseh ini dan nampaknya mereka amat positif untuk memberikan kerjasama,” katanya ketika ditemui dalam satu sesi temubual baru-baru ini.
Tambah Ismail, situasi berkenaan turut mencakupi keseluruhan lima kawasan DUN di bawah Parlimen Kuala Pilah di mana PN tidak meletakkan calon mereka bagi persaingan PRN kali ini.
Beliau meletakkan keyakinan bahawa jentera serta penyokong PN akan memberikan sokongan padu kepada mana-mana calon BN yang bertanding di kawasan DUN terbabit.
Pada masa sama, beliau berpendapat amalan menyokong dan bekerjasama secara timbal balik ini merupakan satu bentuk persaingan politik yang sihat demi kestabilan.
”Di mana calon PN bertanding, berkemungkinan besar BN di kawasan tersebut juga akan memberikan kerjasama serupa. Jadi saya nampak ini satu perkembangan yang amat sihat,” jelas beliau lagi.
#DUNJuasseh #PRNNegeriSembilan #BarisanNasional #PolitikMalaysia #BeritaAAC
