JOHOR BHARU– Pengumuman senarai calon Barisan Nasional (BN) baru-baru ini disifatkan sebagai satu kombinasi yang mantap dan seimbang di antara muka lama yang berpengalaman dengan muka-muka baru yang bertenaga.
Menurut seorang pemimpin veteran BN, gabungan ini amat penting bagi memastikan kesinambungan parti pada masa akan datang, memandangkan parti tidak boleh hanya bergantung kepada satu-seatu kelompok sahaja.
”Kombinasi di antara orang lama dengan orang baru adalah baik. Kita tidak mahu semua orang muda tanpa orang lama, dan kita juga perlukan orang muda kerana mereka adalah kesinambungan parti kita pada masa akan datang.
”Orang muda memerlukan pengalaman daripada orang lama, manakala orang lama juga memerlukan tenaga daripada orang muda,” katanya ketika mengulas mengenai senarai calon BN yang diumumkan baru-baru ini.
Beliau yang juga menyedari perubahan landskap politik semasa turut mengingatkan para calon agar memperkasakan gerak kerja dan bersiap sedia mendepani cabaran kempen era digital.
”Zaman sekarang sudah berbeza, orang sudah pakai IT. Namun, pendekatan lama seperti berjumpa secara bersemuka (face-to-face) harus diteruskan kerana pengundi mahukan sentuhan peribadi (personal touch) daripada calon.
”Ia bukan kerja yang mudah, ia kerja yang berat. Tetapi insya-Allah, dengan niat yang baik, kita akan mencapai kejayaan besar, lebih daripada apa yang kita perolehi sebelum ini,” tambahnya lagi yang turut memfokuskan gerak kerja di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ensau dan DUN Tenggaroh.
KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang menggambarkan kehidupan di ibu kota semasa era pentadbiran Barisan Nasional (BN) ibarat “neraka” menerima bidasan keras daripada kepimpinan BN.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Dato’ Mohd Razlan Rafii menyifatkan kenyataan tersebut sebagai satu pandangan peribadi yang sempit dan cuba menafikan sejarah serta realiti pembangunan Kuala Lumpur yang dinikmati warga kota hari ini.
Menurut beliau, status Kuala Lumpur sebagai kota metropolitan yang maju hari ini adalah hasil perancangan jangka panjang yang tersusun oleh kerajaan terdahulu, bukannya terjadi dalam sekelip mata.
”Mungkin ‘neraka’ bagi sesetengah pihak adalah apabila melihat kejayaan pembangunan yang bukan mereka mulakan,” sindir beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Mana Legasi Baharu PH?
Mengulas lanjut, Razlan mempersoalkan impak dan projek mega baharu yang dibawakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) khusus untuk warga Kuala Lumpur sejak memegang tampuk kepimpinan.
Beliau mendakwa, kebanyakan projek perumahan rakyat yang sedang berjalan ketika ini adalah projek yang telah dirancang oleh pentadbiran terdahulu, namun kini dijenamakan semula. Beliau turut mengaitkan situasi ini dengan peribahasa, “lembu punya susu, sapi dapat nama.”
”Sebagai wakil kerajaan yang mempunyai sokongan besar di Kuala Lumpur, seharusnya fokus diberikan kepada penyelesaian masalah rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, kesesakan bandar dan kualiti kehidupan warga kota,” katanya.
Isu Tukar Menteri Jejaskan Konsistensi
Razlan turut melahirkan kebimbangan mengenai kestabilan pengurusan ibu kota apabila menyaksikan beberapa pertukaran portfolio Menteri yang menjaga Wilayah Persekutuan dalam tempoh hanya satu penggal pentadbiran. Perubahan kepimpinan yang kerap ini didakwa boleh menjejaskan pelaksanaan perancangan jangka panjang Kuala Lumpur.
Tegasnya, Kuala Lumpur memerlukan visi yang besar untuk memacu masa depan, dan bukannya sekadar kenyataan politik yang merendahkan sejarah pembangunan yang telah dibina sejak puluhan tahun lalu.
Di akhir kenyataannya, beliau menitipkan pesanan mendalam terhadap landskap politik tanah air hari ini.
”Berbeza politik tidak bermakna kita perlu menafikan kebaikan dan kejayaan yang pernah dibina. Namun berjanji kepada rakyat tetapi gagal menunaikannya, itulah perkara yang perlu kita bimbangkan. Kesian rakyat Malaysia,” katanya lagi.
KUALA LUMPUR, 23 Jun 2026 – Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar, membidas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, YB Hannah Yeoh, yang menggambarkan era pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Wilayah Persekutuan sebelum ini bagaikan “neraka”.
Gulam menyifatkan kenyataan tersebut sebagai mengelirukan dan sengaja melupakan tempoh 22 bulan pentadbiran Pakatan Harapan (PH 1.0) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Menurut beliau, sepanjang tempoh BN menerajui Wilayah Persekutuan, pelbagai dasar dan pembangunan menyeluruh telah dilaksanakan demi manfaat warga kota, berbanding PH yang didakwanya gagal membawa sebarang pembangunan fizikal yang signifikan.
”Semua yang ada di Wilayah Persekutuan hari ini adalah atas legasi pemerintahan BN. Sebagai contoh, penyediaan perumahan rakyat melibatkan 64 lokasi PPR/PA dengan lebih 62,000 unit, serta 89 projek RumahWIP (kini Residensi Wilayah) melebihi 53,000 unit pada harga bawah RM300,000.
”Malah, penyediaan 1,200 unit Residensi Sungai Udang untuk disewa juga membuktikan kebajikan rakyat sentiasa terbela. Adakah kemudahan ini satu ‘neraka’ buat warga Wilayah Persekutuan?” soal beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
“Kenyataan beliau juga seolah-olah menafikan peranan dan usaha 15 Datuk Bandar serta pengurusan tertinggi DBKL yang majoritinya penjawat awam Melayu, yang berkhidmat secara profesional membangunkan Kuala Lumpur.” – Gulam Muszaffar.
Beliau turut mempersoalkan ketiadaan pelan perancangan komprehensif (roadmap) rumah mampu milik, sistem pengangkutan awam (LRT/MRT), serta pembelaan nasib penjaja kecil di bawah kepimpinan Hannah Yeoh setakat ini. Sebaliknya, beliau mengkritik beberapa cadangan semasa yang dianggap tidak menyelesaikan masalah akar umbi.
”Isu banjir kilat yang kerap berlaku, jalan berlubang yang semakin serius, dan kesesakan trafik yang bertambah buruk di Kuala Lumpur masih gagal diselesaikan. Apa yang dilihat menjadi fokus utama DAP ketika ini hanyalah isu pemilihan Datuk Bandar dan pelaksanaan Akta Semula Bandar (URA),” tambah beliau lagi.
Mengakhiri kenyataan, Gulam menegaskan bahawa gelaran “neraka” yang dilemparkan oleh Hannah Yeoh sebenarnya lebih mencerminkan rekod pentadbiran parti itu sendiri dan menyerahkan kepada rakyat untuk menilainya pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.
KUALA LUMPUR – Pengumuman mengejutkan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penyelarasan harga diesel kepada RM2.10 seliter di Sarawak semalam, mula mengundang pelbagai reaksi dan kritikan daripada pemerhati politik tanah air.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar, menyifatkan pengumuman tersebut seolah-olah mempunyai ‘agenda tersirat’ di sebalik hujah-hujah kebajikan rakyat yang dicanang oleh kerajaan.
Memetik dialog ikonik filem Madu Tiga arahan Almarhum Tan Sri P. Ramlee, beliau secara sinis berkata, “baik ada makna tu, macam ada sesuatu.”
Alasan Kekang Penyeludupan Dipersoal
Mengulas lanjut mengenai kenyataan PMX dan Menteri Kewangan II bahawa langkah tersebut diambil bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan, Gulam menganggap hujah tersebut agak janggal dan kurang logik.
”Harga diesel mahal pun orang seludup, apakan lagi harga murah? Adakah ini alasan yang valid?” soal beliau menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai naratif Kementerian Kewangan (MOF) sebelum ini yang menyatakan tanggungan subsidi kerajaan bagi RON95 dan diesel diunjurkan mencecah RM3.5 bilion sebulan. Menurutnya, penurunan harga ini pastinya akan meningkatkan lagi beban subsidi, sekali gus bercanggah dengan pendirian MOF dua minggu lalu.
Langkah Panik Hadapi PRN & PRU-16?
Gulam tidak menolak kemungkinan bahawa pengumuman ini merupakan satu tindakan ‘panik’ dan terdesak daripada pihak kepimpinan tertinggi negara demi meraih semula sokongan politik yang semakin merosot, terutamanya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Negeri Sembilan, Melaka, dan seterusnya PRU-16.
”Adakah penyelarasan diesel ini sebagai optik untuk menunjukkan YAB PMX amat prihatin terhadap kebajikan rakyat?
”Persoalannya, kenapa (pengumuman dibuat) selepas empat bulan bilamana Selat Hormuz disekat sepenuhnya oleh Iran? Adakah YAB PMX tidak tahu Selat Hormuz sehingga semalam masih ditutup?” katanya lagi, merujuk kepada impak krisis geopolitik global terhadap rantaian bekalan minyak dunia.
”Diberi Ambil, Undi Tetap Rahsia”
Di akhir kenyataannya, beliau mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak terpedaya dengan ‘budi’ politik tersebut memandangkan ia merupakan janji yang sudah sekian lama tertunggak dan gagal ditunaikan sebelum ini.
”Saya biarkan rakyat menikmati harga diesel yang baru, tetapi ingat ini bukan budi yang perlu dibalas. Bak kata, diberi ambil, tetapi undi itu tetap rahsia,” tegasnya. — AAC
PETALING JAYA, 18 Jun 2026 – Semua pihak digesa agar menghentikan sebarang bentuk provokasi melibatkan isu agama, kaum, dan institusi diraja (3R) bagi memastikan perpaduan serta kestabilan negara terus terpelihara.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, tindakan menghina institusi diraja dan memainkan sentimen perkauman yang melampau boleh menjadi ‘bom jangka’ yang menggugat keharmonian masyarakat sekiranya tidak ditangani dengan bijaksana.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa Malaysia sebenarnya tidak kekurangan undang-undang untuk mengekang isu ini. Sebaliknya, apa yang ditagih ketika ini adalah ketegasan dalam aspek pelaksanaan.
“Kita mempunyai undang-undang yang mencukupi. Apa yang penting ialah tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan dengan tegas terhadap mereka yang melakukan kesalahan,” katanya.
Jangan Mudah Cop ‘Rasis’
Dalam pada itu, Musa turut menitipkan pesanan penting agar masyarakat atau pihak berkuasa tidak terlalu cepat melabel atau menghukum pihak yang bertindak balas terhadap sesuatu provokasi.
Menurut beliau, tindakan melabel mereka yang sekadar memberi reaksi sebagai golongan perkauman atau ekstremis adalah tidak adil dan boleh mengeruhkan lagi keadaan.
Sambil mengingatkan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, beliau menasihatkan agar setiap individu lebih berhati-hati dan matang sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama demi masa depan negara.
KUALA LUMPUR – Isu perbezaan layanan terhadap suspek kes jenayah yang dituduh di mahkamah sering mencetuskan pertikaian dalam kalangan masyarakat, seolah-olah wujud amalan ‘double standard’ atau dua darjat dalam penguatkuasaan undang-undang.
Mengulas mengenai perkara itu, Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menjelaskan bahawa tindakan menggari seseorang suspek sebenarnya bukanlah satu ketetapan mutlak dalam undang-undang, sebaliknya ia tertakluk di bawah kuasa budi bicara pegawai polis yang bertugas.
Menurut beliau, tindakan gari selalunya diambil sekiranya seseorang suspek menunjukkan tindakan agresif, bersikap ganas, atau enggan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.
”Kalau orang ini beri kerjasama, selalunya polis tak akan gari dia. Ini budi bicara, kuasa budi bicara dia (polis),” katanya ketika ditemui media baru-baru ini.
Walau bagaimanapun, menyedari persepsi negatif masyarakat yang melihat ada suspek berpakaian lokap dan bergari, manakala ada yang dilepaskan begitu sahaja tanpa gari, Musa menyarankan agar satu Prosedur Operasi Standard (SOP) yang jelas diwujudkan.
Langkah itu penting bagi mengelakkan timbulnya salah faham atau tuduhan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengamalkan pilih kasih dalam mengendalikan kes-kes berprofil tinggi.
”Saya harap perlu ada SOP tertentulah yang pihak polis ini gunakan supaya orang tidak ingat ada ‘double standard’—orang ini gari, orang ini tidak gari.
”Jadi perlu ada SOP sebenarnya. Ini terpulang kepada ketua-ketua (pasukan) untuk memberi arahan kepada pegawai bawahan,” tegas beliau lagi.
KUALA LUMPUR – Pengundi di negara ini, khususnya masyarakat India, digesa agar tidak terus terperangkap dalam “sandiwara politik” menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) yang dijangka bakal berlangsung sekitar September atau Oktober ini.
Amaran keras itu disuarakan oleh Aktivis Sosial daripada Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr. Kalaivanar, dalam satu kenyataan video bersama rakan NGO, Encik Kumaran. Beliau mendakwa terdapat cubaan terancang oleh pihak kerajaan, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menggunakan sentimen populariti tokoh filem Tamil Nadu bagi meraih sokongan politik domestik.
Menurut Dr. Kalaivanar, strategi tersebut dilihat sebagai kesinambungan taktik PRU-15, di mana naratif dan lagu-lagu ikon perfileman legenda, MGR, digunakan secara agresif untuk membuai emosi para pengundi India ketika itu.
”Pada PRU-15 yang lalu, istilah MGR digunakan, siap dengan tarian dan nyanyian. Semua orang India teruja dan percaya kononnya ada reformasi. Tetapi apa yang kita dapat hari ini? Harga barang naik, hutang negara melambung tinggi, dan janji-janji manifesto seperti isu PTPTN kekal menjadi ‘zero’,” katanya dalam satu kenyataan video bertarikh 9 Jun.
Mengulas lanjut mengenai perkembangan terbaharu, beliau mempersoalkan tindakan Perdana Menteri menghantar Timbalan Menteri Perpaduan Negara ke Tamil Nadu baru-baru ini semata-mata untuk menyampaikan utusan tahniah kepada pelakon popular, Thalapathy Vijay, yang kini menerajui landskap politik di sana. Beliau juga memandang serong lawatan rasmi Perdana Menteri ke India yang dijadualkan pada September ini, yang didakwa turut merangkumi agenda pertemuan peribadi dengan pelakon berkenaan.
Walaupun tidak menghalang hak mana-mana individu untuk meminati mana-mana artis, Dr. Kalaivanar menegaskan bahawa masyarakat harus bijak memisahkan antara dunia hiburan luar negara dengan realiti politik tanah air yang menentukan masa depan negara.
”Saya juga peminat tegar MGR sejak tahun 1977. Saya tiada masalah sekiranya Vijay mahu datang ke Malaysia, silakan. Tetapi jangan gunakan nama atau kehadiran Vijay sebagai instrumen politik untuk memperbodohkan orang India di sini. Politik Tamil Nadu tidak sama dengan politik Malaysia. Kita sebuah negara berdaulat dengan potensi tersendiri,” tegas beliau.
Persoal Kedudukan Ekonomi dan Dana MITRA
Dalam pada itu, Dr. Kalaivanar turut menzahirkan rasa kesal terhadap status kebajikan masyarakat India di bawah pentadbiran semasa. Beliau mendakwa status peruntukan geran di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) yang bernilai jutaan ringgit masih gagal memberikan impak yang telus kepada kumpulan sasar.
Malah, beliau mendakwa sektor ekonomi mikro yang dahulunya dikuasai komuniti tempatan kini semakin terjejas dan diambil alih oleh warga asing dari Bangladesh, Nepal, dan Pakistan akibat kelonggaran dasar kerajaan tempatan.
”Ekonomi masyarakat India semakin hari semakin teruk. Malah komuniti lain seperti Rohingya kini sudah berani mencabar kawasan tempatan seperti di Selayang. Jangan sampai kita syok sendiri melayan ‘drama Vijay’, akhirnya masa depan anak cucu kita tergadai.”
Di akhir kenyataannya, beliau menasihati para pengundi marhaen agar tidak lagi menjadi ‘hamba’ kepada bantuan politik bermusim yang hanya hadir lima tahun sekali, seperti agihan barangan keperluan asas pokok.
”Siapa yang bekerja, pilihlah mereka. Walaupun pihak pembangkang (Perikatan Nasional) juga dilihat berada dalam keadaan kucar-kacir, buatlah pilihan secara matang dengan minda yang rasional, bukan bersandarkan emosi hiburan,” katanya.
KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) wajar diberikan peluang untuk terus menerajui pentadbiran Negeri Johor demi memastikan agenda pembangunan yang dirancang dapat diteruskan tanpa sebarang gangguan politik.
Mantan Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menegaskan, Johor memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berpengalaman, dan berupaya meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.
Beliau mengariskan enam faktor utama mengapa formula pentadbiran BN ketika ini merupakan pilihan terbaik untuk bumi Johor:
Kestabilan Politik & Identiti Bangsa Johor: Kestabilan yang dinikmati membolehkan dasar negeri berjalan lancar, diperkukuhkan lagi dengan semangat kebersamaan ‘Bangsa Johor’ yang menyatukan rakyat pelbagai latar belakang.
Payung Institusi Kesultanan: Kepimpinan serta peranan DYMM Sultan Johor dan DYAM Tunku Mahkota Johor (TMJ) meletakkan Johor sebagai sebuah negeri yang disegani di peringkat antarabangsa.
Impak Ekonomi & Kebajikan Rakyat: Keupayaan kerajaan negeri menarik pelaburan bertaraf tinggi, membuka peluang pekerjaan, serta penyampaian bantuan kebajikan yang efektif dalam meringankan kos sara hidup.
Prestasi Cemerlang Menteri Besar: Kepimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi bersama barisan Exco yang profesional, bekerja keras, dan komited menyelesaikan isu-isu rakyat di peringkat akar umbi.
”Johor mempunyai potensi besar untuk menjadi negeri paling maju di Malaysia. Justeru, kesinambungan kepimpinan yang stabil, berwibawa dan berfokus kepada rakyat adalah penting bagi memastikan agenda kemajuan negeri terus diperkasakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kerjasama Politik Terpilih & Tegas Dengan Kerajaan Persekutuan
Mengulas mengenai landskap politik masa hadapan, Muqharabbin berpandangan sebarang bentuk kerjasama politik baharu mestilah dibuat secara terpilih. Menurutnya, ia wajib berasaskan kepentingan rakyat serta kestabilan negeri, bukan sekadar survival politik semata-mata.
Pada masa yang sama, beliau turut menggesa kerajaan negeri untuk terus berani dan tegas dalam menyuarakan hak rakyat Johor kepada Kerajaan Persekutuan, terutamanya melibatkan isu sensitif dan berkepentingan tinggi.
”Kerajaan negeri perlu terus memperjuangkan kepentingan rakyat Johor dengan menyuarakan secara tegas kepada Kerajaan Persekutuan mengenai isu-isu yang memberi kesan langsung kepada rakyat, termasuk berkaitan hasil minyak, struktur percukaian serta peningkatan kos sara hidup yang semakin membebankan,” tambah beliau lagi.
SEREMBAN, 8 Jun 2026 – Aktivis sosial terkenal yang juga merupakan wakil Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr. Kalaivanar, hari ini tampil menyelar Ahli Parlimen Ipoh Barat merangkap Timbalan Menteri Perundangan Malaysia, M. Kula Segaran, berhubung kegagalan menyelesaikan isu dokumentasi dan kerakyatan masyarakat India di negara ini.
Dalam satu kenyataan video yang dikeluarkan di sini hari ini, Dr. Kalaivanar mendakwa Kula Segaran dan pihak DAP telah mengeksploitasi isu kerakyatan melibatkan hampir 300,000 masyarakat India marhaen sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu semata-mata demi meraih undi.
Sifatkan Sebagai ‘Pengkhianat Besar’
Menurut beliau, pengumuman kononnya isu berkenaan mampu diselesaikan dalam tempoh 100 hari menerusi ‘Pengisytiharan Gelang Patah’ yang turut dihadiri kepimpinan tertinggi DAP termasuk Lim Kit Siang, adalah satu pembohongan dan pengkhianatan besar kepada komuniti tersebut.
”Daripada sejak 2018 sampai hari ini 2026, DAP tak pernah buat kerja (untuk isu ini). Masyarakat India masih merana kerana mereka tahu macam mana cara nak menipu orang India,” katanya dengan nada kecewa.
Beliau turut mempersoalkan kapasiti Kula Segaran ketika membuat janji berkenaan, memandangkan beliau bukannya Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mahupun Menteri Dalam Negeri (KDN).
Belia 22 Tahun Hidup Tanpa Dokumen
Mengulas lanjut, Dr. Kalaivanar berkongsi kes terbaharu melibatkan seorang belia India berusia 22 tahun yang masih tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan mahupun kad pengenalan (IC) merah, meskipun mempunyai ibu bapa yang sah.
Beliau mendakwa telah memanjangkan bukti video kes tersebut kepada pegawai khas Kula Segaran, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan proaktif diambil oleh pihak kementerian untuk mendekati atau membantu belia berkenaan.
Gesa Perdana Menteri Campur Tangan
Rentetan itu, Dr. Kalaivanar menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk campur tangan dan menegur Kula Segaran agar segera menyelesaikan isu ini sebelum menjelangnya PRU akan datang.
Pada masa yang sama, beliau turut menyeru semua parti politik berasaskan kaum India untuk mengetepikan status dan lebih kerap ‘turun padang’ bagi membantu menyelesaikan masalah dokumentasi dalam kalangan masyarakat marhaen demi kedaulatan negara yang telah lama merdeka.
KUALA LUMPUR – Ahli politik di Malaysia didakwa gemar mengeluarkan kenyataan yang ‘merapu’ di khalayak awam disebabkan tabiat buruk mereka yang malas membaca dan tidak berpijak pada kajian data yang sahih.
Kritikan pedas itu disuarakan oleh penganalisis serta aktivis media, Dr Azam Rauzan, dalam satu sesi perbincangan panas bersama pakar penyelidik media sosial, Dr Norman Sapar, baru-baru ini.
Menurut Dr Azam, kelemahan utama parti politik, khususnya UMNO dalam mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan ke-15 yang lalu, adalah disebabkan kegagalan total dalam menguasai naratif digital, selain sikap acuh tak acuh jentera yang diberikan peruntukan besar.
“Politician di Malaysia ni dia banyak merapu… Sebab apa? Politician ni memang tak baca (buku).
“Kita tengok hari ini jentera komunikasi strategi ada yang menjahannamkan parti, seperti apa yang berlaku dalam fasa pasca PRN Johor dan sebagainya. Kadang-kadang terkontang-kanting Presiden kita bercakap sendirian di depan, tapi jentera di belakang tidak membela,” katanya dengan nada kesal.
Isu Jentera ‘Makan Gaji Buta’ Jutaan Ringgit
Lebih mengejutkan, Dr Azam mendedahkan terdapat ketidakadilan yang berlaku dalam ekosistem jentera propaganda media sosial hari ini, di mana ‘players’ yang dibayar dengan dana yang besar didakwa gagal berfungsi dengan baik.
“Kita gagal PRU 2018 dan PRU15 kerana kita tak ada players yang betul-betul buat kerja. Ada players yang dibayar juta-juta, ratusan ribu, semua tak buat kerja!
“Padahal orang-orang media alternatif seperti ‘Sembang Kopi’ dan ‘The Street Media’ ni, kesian mereka… datang naik bas, minta duit (dana kecil). Ini kelemahan yang jentera negeri termasuk UMNO Johor harus lihat. Mereka ini (media jalanan) sangat penting,” tegas beliau lagi.
Buku ‘Persepsi’: Ekstrak Tesis 30 Tahun Pengalaman Tumpangkan Strategi ‘Try and Error’
Menyokong kenyataan tersebut, Dr Norman Sapar menjelaskan bahawa landskap media sosial politik tanah air ketika ini bergerak tanpa hala tuju dan panduan yang jelas. Kebanyakan pengendali media sosial hanya mengejar angka ‘likes’ dan algoritma semata-mata, tanpa memahami psikologi sebenar pengundi.
“Masing-masing semua kejar algoritma, masih melihat angka (likes/views) sebagai prestasi. Tapi sebenarnya itu hanya reaksi. Orang memberi reaksi, tetapi untuk membina keyakinan pengundi, ia memerlukan konsistensi,” jelas Dr Norman.
Menyifatkan naskhah terbaharu bertajuk ‘Persepsi: Perang Politik Media Sosial’ sebagai rujukan utama dan paling komprehensif yang pernah diterbitkan di Malaysia, Dr Norman menyatakan buku tersebut ditulis bersama pakar-pakar industri termasuk Dr Noor Azizan Majid dan Dr Abdul Razak yang mempunyai pengalamam lebih 20 hingga 30 tahun.
“Buku ini adalah ekstrak daripada tesis saya yang mengkaji secara mendalam tentang intention (niat/kehendak) pengguna media sosial. Kita kaji posting yang macam mana yang akan membuatkan netizen buat engagement dengan orang politik.
”Sebelum ini semua orang buat kerja secara try and error, tak ada kajian saintifik. Buku ini menamatkan zaman teka-teki itu,” tambah Dr Norman lagi.
Cadangan Wajibkan Di Peringkat Akar Umbi
Melihat kepada impak besar buku tersebut yang turut membedah personaliti politik kontemporari seperti Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh dari sudut mobilisasi emosi dan identiti, Dr Azam Rauzan mencadangkan agar kepimpinan tertinggi parti mewajibkan naskhah ini dibaca di peringkat akar umbi.
“Bagi sayalah, kalau saya Presiden, setiap biro penerangan bahagian dan cawangan saya dah agihkan buku ini. Baca buku, dan saya akan buat pertandingan. Siapa jentera yang paling aktif dan paling banyak buat kerja berdasarkan formula buku ini, kita bagi ganjaran. Kita kalah sebelum ini pun kerana persepsi,” akhiri Dr Azam.