
KUALA LUMPUR, 23 Jun 2026 – Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar, membidas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, YB Hannah Yeoh, yang menggambarkan era pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Wilayah Persekutuan sebelum ini bagaikan “neraka”.
Gulam menyifatkan kenyataan tersebut sebagai mengelirukan dan sengaja melupakan tempoh 22 bulan pentadbiran Pakatan Harapan (PH 1.0) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Menurut beliau, sepanjang tempoh BN menerajui Wilayah Persekutuan, pelbagai dasar dan pembangunan menyeluruh telah dilaksanakan demi manfaat warga kota, berbanding PH yang didakwanya gagal membawa sebarang pembangunan fizikal yang signifikan.
”Semua yang ada di Wilayah Persekutuan hari ini adalah atas legasi pemerintahan BN. Sebagai contoh, penyediaan perumahan rakyat melibatkan 64 lokasi PPR/PA dengan lebih 62,000 unit, serta 89 projek RumahWIP (kini Residensi Wilayah) melebihi 53,000 unit pada harga bawah RM300,000.
”Malah, penyediaan 1,200 unit Residensi Sungai Udang untuk disewa juga membuktikan kebajikan rakyat sentiasa terbela. Adakah kemudahan ini satu ‘neraka’ buat warga Wilayah Persekutuan?” soal beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
“Kenyataan beliau juga seolah-olah menafikan peranan dan usaha 15 Datuk Bandar serta pengurusan tertinggi DBKL yang majoritinya penjawat awam Melayu, yang berkhidmat secara profesional membangunkan Kuala Lumpur.” – Gulam Muszaffar.
Beliau turut mempersoalkan ketiadaan pelan perancangan komprehensif (roadmap) rumah mampu milik, sistem pengangkutan awam (LRT/MRT), serta pembelaan nasib penjaja kecil di bawah kepimpinan Hannah Yeoh setakat ini. Sebaliknya, beliau mengkritik beberapa cadangan semasa yang dianggap tidak menyelesaikan masalah akar umbi.
”Isu banjir kilat yang kerap berlaku, jalan berlubang yang semakin serius, dan kesesakan trafik yang bertambah buruk di Kuala Lumpur masih gagal diselesaikan. Apa yang dilihat menjadi fokus utama DAP ketika ini hanyalah isu pemilihan Datuk Bandar dan pelaksanaan Akta Semula Bandar (URA),” tambah beliau lagi.
Mengakhiri kenyataan, Gulam menegaskan bahawa gelaran “neraka” yang dilemparkan oleh Hannah Yeoh sebenarnya lebih mencerminkan rekod pentadbiran parti itu sendiri dan menyerahkan kepada rakyat untuk menilainya pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.
#HannahYeoh #UMNOBatu #KualaLumpur #PolitikMalaysia #BeritaAAC
