KUALA LUMPUR, 15 Februari – Presiden Dato’ Paduka Dr Ibrahim Ali hari ini menegaskan kepentingan mempertahankan institusi raja sebagai benteng utama dalam menjamin kestabilan negara, khususnya dalam mendepani cabaran dunia global tanpa sempadan.
Menurut beliau yang juga Presiden Parti Bumiputera PERKASA Malaysia (PUTRA), penganjuran Wacana Raja Berperlembagaan Raja Berdaulat bertujuan memberi kefahaman serta kesedaran kepada rakyat mengenai peranan institusi raja dalam konteks semasa politik dan sosial negara.
Beliau berkata, walaupun Malaysia kini dikenali sebagai sebuah negara berbilang kaum, hakikat sejarah negara sebagai Persekutuan Tanah Melayu tidak boleh diketepikan, terutama dalam membincangkan kedudukan orang Melayu dan agama Islam dalam kerangka Perlembagaan.
Tambah beliau, peranan Raja-Raja Melayu bukan sahaja perlu disokong, malah titah baginda amat penting dalam menjamin kelangsungan keselamatan rakyat serta kestabilan negara.
Mengambil contoh isu ladang babi di Selangor, beliau menjelaskan bahawa polemik yang timbul dalam kalangan masyarakat akhirnya dapat diselesaikan apabila Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa negeri tersebut tidak memerlukan ladang babi, sekali gus menunjukkan kekuatan institusi raja dalam sistem Raja Berperlembagaan.
Dalam masa sama, beliau turut menyentuh mengenai kuasa luas yang dimiliki oleh Perdana Menteri yang menurutnya perlu diperhalusi agar tidak mengatasi peranan Raja-Raja Melayu dalam sistem pemerintahan negara.
Sehubungan itu, beliau berharap wacana yang dianjurkan dapat menjadi platform ilmiah dalam membantu rakyat memahami isu-isu semasa negara secara rasional serta bertindak secara bertanggungjawab demi masa depan rakyat dan negara.
#BeritaAAC #InstitusiRaja #RajaBerperlembagaan #DaulatTuanku #PolitikMalaysia #IsuSemasa #PUTRA #KedaulatanNegara #Perlembagaan #MalaysiaMadani