KUALA LUMPUR, 14 Februari 2026 – Presiden Parti Bumiputera PERKASA Malaysia (PUTRA), Ibrahim Ali hari ini menggesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki agar mengundur diri daripada jawatannya susulan kontroversi yang sedang diperkatakan ketika ini.
Menurut beliau, Azam Baki telah melebihi usia persaraan selain telah diberikan lanjutan perkhidmatan sebanyak tiga kali, sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat mengenai kewajaran beliau untuk terus menerajui agensi pencegahan rasuah negara itu.
Tambahnya lagi, isu yang timbul berhubung dakwaan tertentu terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM itu kini sedang dalam perhatian apabila kerajaan telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menjalankan siasatan lanjut, susulan pendedahan oleh media antarabangsa.
Sehubungan itu, Ibrahim berpendapat bahawa langkah terbaik bagi memastikan integriti institusi tersebut terus terpelihara adalah dengan Azam Baki mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan secara terhormat sementara siasatan dijalankan.
Beliau turut mencadangkan agar jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan perlu melibatkan individu luar yang bebas serta berintegriti bagi memastikan ketelusan dalam proses penyiasatan, terutama apabila jawatankuasa berkenaan dipengerusikan oleh Jabatan Peguam Negara Malaysia.
Katanya, pendekatan itu penting bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif termasuk kemungkinan wujudnya konflik kepentingan dalam proses siasatan yang dijalankan.
“Adalah wajar untuk memberi ruang kepada individu lain menerajui SPRM demi memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi pencegahan rasuah negara terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
#BeritaAAC #SPRM #Integriti #IsuSemasa #PolitikMalaysia #AntiRasuah #Ketelusan #Akauntabiliti #MalaysiaMadani #Terkini