
KUALA LUMPUR, 13 Februari 2026 – Aktivis masyarakat, Zamri Vinoth memaklumkan bahawa Gerakan Rakyat Anti Penyelewengan Haram (GARAH) telah mengadakan sekurang-kurangnya tiga mesyuarat setakat ini bagi memperhalusi sembilan tuntutan utama berhubung isu pembinaan rumah ibadat yang didakwa tidak mengikut peraturan.
Menurut beliau yang juga pengasas awal gerakan tersebut, kepimpinan baharu kini mengambil alih peranan bagi memastikan kesinambungan perjuangan GARAH memandangkan komitmen beliau di luar Lembah Klang.
Antara tuntutan utama yang dikemukakan adalah supaya pihak berkuasa melaksanakan penguatkuasaan undang-undang tanpa pilih kasih terhadap mana-mana rumah ibadat yang dibina secara tidak sah tanpa mengira latar belakang agama, kaum mahupun pengaruh politik.
Beliau turut menegaskan keperluan pendakwaan jenayah dilakukan dengan kadar segera sekiranya laporan telah dibuat sejak sekian lama namun tiada tindakan susulan diambil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT). Situasi ini katanya boleh mengelakkan tindakan sendiri oleh pemilik tanah yang akhirnya menimbulkan konflik pelaksanaan undang-undang.
Selain itu, GARAH turut menuntut agar:
- Tindakan intimidasi terhadap pihak yang membongkar isu dihentikan
- Dasar pampasan atau pemberian tanah gantian kepada struktur tidak sah ditamatkan
- Pasukan petugas khas ditubuhkan di peringkat nasional bagi menjalankan bancian
- Jawatankuasa bebas diwujudkan bagi memastikan mekanisme semak dan imbang
- Kertas putih dibentangkan di Parlimen berhubung penyelesaian isu
- Semua pihak menjunjung titah institusi diraja berkaitan
- Tindakan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyokong pencerobohan tanah
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa gerakan tersebut akan diterajui oleh pengamal undang-undang, Haniff Khatri Abdulla bagi memastikan kesemua tuntutan berkenaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh melalui saluran perundangan.
GARAH yang digerakkan bersama lebih 140 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini berharap sokongan berterusan daripada rakyat Malaysia mampu memastikan isu ini ditangani selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang.
#GARAH #IsuTanah #KedaulatanUndangUndang #RumahIbadat #Penguatkuasaan #MalaysiaPrihatin #NGOMalaysia #TuntutanRakyat #SemakImbang #BeritaAAC