KUALA LUMPUR, 14 Februari 2026 – Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional, Joe Prakash hari ini tampil bersama beberapa mangsa penipuan dalam satu penyerahan memorandum kepada pihak Polis Diraja Malaysia di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berhubung pelbagai kes jenayah siber yang semakin membimbangkan.
Menurut beliau, antara kes yang diketengahkan melibatkan seorang lelaki warga emas yang didakwa menjadi mangsa penipuan pelaburan oleh seorang wanita sehingga kerugian keseluruhan mencecah RM450,000.
Mangsa yang dikenali sebagai Alex mendakwa beliau telah diperkenalkan kepada individu tersebut melalui isterinya dalam satu majlis sosial sebelum dipujuk untuk melabur dalam satu skim perniagaan yang dijanjikan pulangan lumayan.
“Pada awalnya dia berjanji akan memulangkan wang dalam tempoh lima tahun serta bayaran tahunan sebanyak RM16,000. Namun selepas menerima wang termasuk simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM200,000 dan hasil jualan rumah, suspek terus menghilangkan diri,” katanya.
Tambah Joe Prakash, keadaan mangsa kini semakin merosot selepas kehilangan keseluruhan simpanan sehingga menjejaskan tahap kesihatan beliau.
Dalam perkembangan sama, NGO berkenaan turut membawa satu lagi kes membabitkan penipuan jual beli jam tangan mewah jenama Rolex yang diiklankan melalui media sosial.
Kes tersebut melibatkan seorang mangsa yang mengalami kerugian hampir RM95,000 selepas menerima bayaran menggunakan cek yang kemudiannya didakwa tidak dapat disahkan walaupun telah diluluskan oleh pihak bank, CIMB Bank.
Menurut Joe, mangsa bukan sahaja kehilangan wang, malah jam tangan tersebut turut hilang selepas transaksi berkenaan.
Sehubungan itu, pihak NGO berharap siasatan menyeluruh dapat dijalankan oleh pihak berkuasa terhadap semua individu terlibat termasuk kemungkinan penglibatan ejen insurans daripada AIA yang dipercayai mempunyai kaitan dalam kes pertama.
Beliau turut menyeru orang ramai khususnya golongan berusia 50 tahun ke atas agar lebih berhati-hati terhadap tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi serta sentiasa menyemak kesahihan individu atau syarikat sebelum membuat sebarang transaksi kewangan.
#ScamMalaysia #JenayahSiber #PelaburanPalsu #MangsaScam #BukitAman #KWSP #CyberCrime #KesPenipuan #BeritaAAC #MalaysiaAlert