RAWANG, 14 Februari 2026 – Isu dalaman melibatkan Malaysian Indian Congress (MIC) berhubung kedudukan parti itu dalam Barisan Nasional (BN) tidak seharusnya dilihat sebagai punca perpecahan, sebaliknya perlu dijadikan titik tolak untuk memperkukuh semula peranan parti tersebut dalam memperjuangkan nasib masyarakat India di negara ini.
Pengerusi Kuil Sri Veerakathy Vinayagar Alayam, Datuk Sri A. N. Bala Krishnan berkata, MIC merupakan parti yang telah lama wujud sejak era kemerdekaan di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman dan memainkan peranan penting sebagai suara masyarakat India di Malaysia
Menurut beliau, landskap politik semasa yang semakin berpecah-belah menyebabkan masyarakat India dilihat seolah-olah kehilangan platform utama untuk membawa isu berkaitan komuniti mereka secara berkesan.
Katanya, sejarah juga membuktikan bahawa kegagalan dialog antara kerajaan dan gerakan seperti HINDRAF pada tahun 2007 telah mencetuskan kemarahan rakyat terhadap MIC, sekali gus menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap parti itu ketika itu.
“Namun MIC juga telah mengakui kesilapan lampau dan wajar diberi peluang untuk memperbaiki kelemahan serta menyusun semula peranan mereka dalam membantu masyarakat India,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa masyarakat India masih memerlukan sebuah parti khusus yang mampu membawa isu semasa dan bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan kebajikan komuniti tersebut terus terpelihara.
Dalam pada itu, beliau menyokong kenyataan Timbalan Presiden MIC, M. Saravanan berhubung kepentingan penyediaan rumah ibadat yang mencukupi mengikut keperluan populasi setempat, selaras dengan garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa.
Tambahnya, MIC perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam membuat tinjauan kebajikan masyarakat India termasuk keperluan infrastruktur sosial seperti rumah ibadat di kawasan pembangunan baharu.
Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa MIC masih relevan sebagai wadah utama masyarakat India dan perlu diperkasa semula bagi memastikan isu komuniti minoriti terus mendapat perhatian sewajarnya di peringkat nasional.
#BeritaAAC #MIC #BarisanNasional !#PolitikMalaysia !#MasyarakatIndia