Day: April 5, 2026

KUALA LUMPUR, 5 April 2026 – Aktivis sosial dari Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr. Kalaivanar, menyuarakan kemarahan terhadap isu kenaikan harga diesel yang didakwanya kini mencecah RM6.02 seliter, sambil menegaskan beban tersebut semakin menjerut kehidupan rakyat pelbagai lapisan.

Dalam ucapan sempena himpunan bantahan kenaikan harga minyak, beliau berkata walaupun kehadiran orang ramai tidak terlalu besar, suara dan keresahan rakyat sebenarnya semakin membara akibat tekanan kos sara hidup yang terus meningkat.

Menurut beliau, kenaikan harga diesel bukan hanya menjejaskan golongan tertentu, malah memberi kesan langsung kepada pemandu lori, pengusaha bas, petani, peniaga serta rakyat biasa yang bergantung kepada rantaian bekalan harian.

Kalaivanar turut mempersoalkan pendirian kerajaan, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung isu harga minyak memandangkan Malaysia merupakan negara pengeluar minyak dan memiliki syarikat petroleum nasional sendiri.

Beliau mendakwa rakyat kini semakin tertekan kerana bukan sahaja harga bahan api meningkat, malah pelbagai bentuk cukai dan caj lain turut membebankan kehidupan harian.

Dalam ucapannya, beliau juga mengimbas tindakan sekumpulan rakyat yang sebelum ini hadir ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum berkaitan isu berkenaan. Namun, beliau mendakwa memorandum itu tidak diterima sendiri oleh menteri terlibat, sebaliknya hanya disambut oleh penjawat awam.

Kalaivanar turut menegaskan bahawa perjuangannya bukan bersifat perkauman atau kepentingan kelompok tertentu, sebaliknya demi seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit.

Beliau berkata, pengalaman ditahan pihak berkuasa sebelum ini tidak sedikit pun melemahkan semangatnya untuk terus bersuara membela nasib rakyat. Malah, katanya, tindakan tegas terhadap aktivis tidak akan memadamkan tuntutan rakyat yang semakin lantang mempersoalkan kos hidup dan dasar kerajaan.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat supaya bangkit menyuarakan bantahan terhadap kenaikan harga diesel dan menterjemahkan rasa tidak puas hati mereka pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.

Katanya, suara rakyat adalah suara keramat, dan kerajaan seharusnya lebih peka terhadap penderitaan rakyat yang terus berdepan tekanan ekonomi.

#HargaDieselNaik #RakyatTertekan #SuaraRakyatSuaraKeramat #BantahKenaikanMinyak #BeritaAAC

KUALA LUMPUR, 2 April 2026 – Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman menggesa kerajaan supaya mengkaji semula kadar subsidi diesel kepada golongan peniaga dan pengusaha kecil susulan kenaikan mendadak harga bahan api yang didakwa semakin menekan kos operasi harian mereka.

Menurut beliau, peningkatan harga diesel sehingga didakwa mencecah RM6.02 seliter adalah sesuatu yang amat membimbangkan dan belum pernah disaksikannya sepanjang puluhan tahun.

Katanya, kadar subsidi sedia ada sebanyak RM300 kepada pengguna diesel komersial disifatkan tidak lagi memadai untuk membantu peniaga meneruskan aktiviti perniagaan, khususnya mereka yang bergantung kepada kenderaan setiap hari untuk berniaga dan mengangkut bekalan.

“Kalau isi RM300, paling kuat pun boleh bertahan sekitar empat hari hingga seminggu sahaja. Selebihnya, peniaga terpaksa menanggung sendiri kos yang tinggi untuk baki minggu-minggu seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, situasi itu bukan sahaja memberi tekanan kepada peniaga kecil dan penjaja, malah akan turut memberi kesan langsung kepada pengguna apabila harga makanan dan barangan terpaksa dinaikkan.

Menurut Rosli, beliau telah menerima maklum balas daripada golongan penjaja bahawa beberapa bahan mentah seperti daging dan ikan juga mula menunjukkan peningkatan harga sekitar 50 sen hingga RM1, sekali gus memberi gambaran awal bahawa rantaian kenaikan kos sudah mula berlaku di peringkat bawah.

Katanya, apabila kos logistik meningkat, peniaga tidak lagi mampu mengekalkan harga jualan sedia ada, dan akhirnya golongan paling terkesan ialah pengguna, termasuk kelompok B40 yang bergantung kepada makanan pada harga mampu milik.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan kenaikan subsidi diesel daripada RM300 kepada RM600 sebagai langkah segera untuk mengurangkan beban peniaga kecil.

“Sekurang-kurangnya ada ruang untuk membantu mereka bertahan. Kalau kekal RM300, ia tidak membantu. Beban itu terlalu besar untuk ditanggung dalam keadaan ekonomi semasa,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau turut menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperketatkan pemantauan harga barangan di pasaran secara berkala dan tidak menunggu aduan semata-mata sebelum mengambil tindakan.

Rosli berkata, kawalan harga yang konsisten amat penting bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga secara melampau sehingga terus menekan penjaja, peniaga kecil dan pengguna.

Beliau berharap Perdana Menteri serta Jemaah Menteri dapat meneliti semula mekanisme subsidi sedia ada demi memastikan kelangsungan ekonomi rakyat bawahan terus terpelihara.

Katanya, suara yang dibawanya itu bukan
pandangan peribadi semata-mata, tetapi lahir daripada keluhan akar umbi dalam kalangan penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara yang kini semakin terhimpit dengan kos operasi yang melonjak.

#HargaDieselNaik #PeniagaTerhimpit #SubsidiDiesel #KosSaraHidup #BeritaAAC