Day: April 13, 2026

KUALA LUMPUR, 13 April 2026 – Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) menggesa Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) supaya segera campur tangan dalam satu kes tuntutan insurans yang didakwa berlarutan sejak tahun 2021, sehingga menyebabkan seorang warga emas menanggung beban kewangan, tekanan emosi serta trauma berpanjangan.

Aktivis sosial SBKN, Dato’ Dr Kalaivanar, mendakwa seorang pemegang polisi insurans berusia 67 tahun, Encik Dharma Lingam, berdepan kesukaran mendapatkan bayaran tuntutan selepas menjalani rawatan dan pembedahan melibatkan ibu jari kaki di hospital swasta.

Menurut beliau, mangsa dikatakan telah membeli polisi insurans daripada sebuah syarikat insurans terkenal sejak lebih 15 tahun lalu. Namun apabila berdepan masalah kesihatan serius, proses tuntutan yang sepatutnya memberi perlindungan kepada pemegang polisi didakwa menjadi terlalu rumit dan membebankan.

Kalaivanar berkata, pada tahun 2021, mangsa dimasukkan ke sebuah hospital di Petaling Jaya bagi mendapatkan rawatan awal dan terpaksa menanggung kos sekitar RM9,240 menggunakan wang sendiri sebelum bayaran itu didakwa hanya dibuat semula kemudian oleh pihak insurans selepas berlaku tekanan dan usaha susulan.

Beliau mendakwa, kira-kira enam bulan selepas itu, mangsa sekali lagi menjalani rawatan di sebuah pusat perubatan di Melaka yang memerlukan pembedahan terhadap ibu jari kaki, dengan kos keseluruhan melebihi RM23,000. Bagaimanapun, tuntutan kali kedua itu didakwa tidak diluluskan.

Menurut Kalaivanar, alasan penolakan tuntutan yang diberikan ialah mangsa mempunyai masalah kencing manis. Namun beliau mempersoalkan alasan itu kerana mendakwa syarikat sama pernah membayar tuntutan terdahulu pada tahun 2021, selain mendakwa proses semakan kesihatan semasa polisi dijual juga sepatutnya dilakukan lebih awal.

“Kalau benar ada penyakit sedia ada, bagaimana polisi itu boleh dijual, dan bagaimana pula tuntutan pada tahun 2021 boleh dibayar?” soalnya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau turut mendakwa bahawa keluarga mangsa telah berulang-alik mengemukakan dokumen serta membuat susulan berkaitan tuntutan berkenaan selama beberapa tahun, termasuk membawa perkara itu kepada ombudsman kewangan, namun isu tersebut masih belum diselesaikan.

Sementara itu, ahli keluarga mangsa, Puan Ratina, mendakwa segala dokumen berkaitan tuntutan telah diserahkan sejak Disember 2021, namun tiada tindakan memuaskan diterima dalam tempoh panjang tersebut.

Menurutnya, pelbagai usaha telah dilakukan termasuk menghantar dokumen melalui e-mel, hadir secara walk-in dan membuat panggilan telefon, namun proses itu didakwa gagal memberi penyelesaian kepada keluarga mereka.

Kalaivanar mendakwa kelewatan berpanjangan itu bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal mangsa, malah turut memberi kesan kepada emosi dan mental beliau, lebih-lebih lagi dalam keadaan usia yang semakin lanjut dan tahap kesihatan yang merosot.

Sehubungan itu, SBKN menggesa agar satu panel khas diwujudkan di bawah pemantauan pihak berwajib bagi membantu pemegang polisi yang menghadapi pertikaian tuntutan dengan syarikat insurans, selain mahu satu mekanisme lebih berkesan diperkenalkan supaya pengguna tidak terus terperangkap dalam proses yang panjang.

Dalam masa sama, Kalaivanar memberi tempoh 10 hari bekerja kepada pihak yang dinamakan untuk memanggil mangsa dan menyelesaikan isu tersebut secara profesional.

Beliau menegaskan bahawa rakyat yang membayar premium insurans berhak menerima layanan adil, telus dan munasabah apabila berdepan musibah, bukannya dibiarkan menunggu bertahun-tahun tanpa penyelesaian yang jelas.

Setakat ini, tiada kenyataan balas rasmi diperoleh daripada pihak syarikat insurans atau badan berkaitan berhubung dakwaan yang dibangkitkan dalam sidang media tersebut.

#BeritaAAC #IsuInsurans #HakPemegangPolisi #KeadilanUntukMangsa #SBKN

PUTRAJAYA, 13 April 2026 – NGO INECO bersama Sekretariat Gabungan NGO IKHLAS Malaysia hari ini menyerahkan memorandum rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi mendesak campur tangan segera dalam isu tunggakan pembayaran projek Masjid Al-Madaniah, USJ 18 yang didakwa menjejaskan hak subkontraktor terlibat.

Menurut kenyataan Sekretariat Gabungan IKHLAS Malaysia, isu berkenaan melibatkan seorang subkontraktor, Encik Selvakumar a/l Perumalsamy, yang didakwa masih belum menerima baki bayaran walaupun telah memenangi tuntutan di mahkamah terhadap kontraktor utama, AT Usaha Construction Sdn Bhd / Ahaz Builder Sdn Bhd, berjumlah RM752,069.46.

Mereka mendakwa kegagalan melunaskan bayaran tersebut bukan sahaja menindas pihak yang telah menyiapkan kerja, malah turut mencalarkan imej institusi Islam dan Kerajaan Madani di mata rakyat.

Dalam memorandum itu, pihak NGO turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap integriti pihak terlibat, termasuk Pengarah ICU JPM Selangor dan MAINS, berhubung persoalan bagaimana kontraktor utama masih menerima bayaran sedangkan subkontraktor yang menyiapkan kerja didakwa tidak menerima hak mereka.

Menurut mereka, keadaan ini menimbulkan persoalan serius sama ada wujud unsur salah guna kuasa, pecah amanah atau penyelewengan dalam pengurusan dana projek masjid tersebut.

Pada masa sama, NGO berkenaan menegaskan campur tangan mereka dalam isu itu bukan bermotifkan sentimen perkauman, sebaliknya bertujuan mengelakkan perkara tersebut diputarbelitkan ke arah ketegangan kaum dan agama.

Mereka berkata, apabila seorang kontraktor bukan Islam didakwa dizalimi dalam projek rumah ibadat umat Islam, perkara itu boleh menjadi isu sensitif jika tidak ditangani dengan adil dan segera.

“NGO kami bertindak sebagai benteng keadilan bagi membuktikan bahawa Islam tidak menghalalkan penindasan terhadap sesiapa pun tanpa mengira agama,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, pihak terbabit turut memohon Ketua Polis Selangor memberi perhatian serius terhadap kes berkenaan bagi mengelakkan sebarang provokasi atau gangguan ketenteraman awam di kawasan masjid sekiranya pengadu terpaksa mengambil tindakan lanjut di tapak projek sebagai jalan terakhir.

Dalam memorandum tersebut, mereka mengemukakan tiga tuntutan utama iaitu supaya PMO mengarahkan ICU JPM menyelesaikan bayaran tertunggak dengan segera, SPRM menyiasat pihak yang dinamakan, serta kontraktor utama disenaraihitamkan daripada projek kerajaan pada masa depan sekiranya didapati gagal mematuhi tanggungjawab.

Pihak NGO turut memberi amaran bahawa mereka tidak akan teragak-agak mengambil tindakan lebih drastik sekiranya memorandum itu tidak diberi perhatian sewajarnya.

Mereka menegaskan, keadilan kepada seorang pekerja adalah maruah sesebuah negara dan hak pekerja wajib dijunjung tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa.

#MasjidAlMadaniah #TunggakanProjek #HakSubkontraktor #KeadilanUntukSemua

ICUSelangor #IsuMasjidUSJ18 #HakPekerja #BeritaAAC

KUALA LUMPUR, 12 April 2026 – Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr Azam Rauzan berpandangan bahawa rakyat wajar menghargai usaha kerajaan mengekalkan harga petrol bersubsidi pada kadar RM1.99 seliter, meskipun isu kenaikan harga diesel terus menjadi perbahasan hangat dalam kalangan masyarakat.

Menurut beliau, terdapat dua sudut utama yang perlu dilihat dalam isu kenaikan harga minyak ketika ini. Pertama, katanya, kerajaan masih mengekalkan subsidi petrol yang memberi kelegaan kepada rakyat, dan perkara itu sewajarnya diakui.

Namun begitu, beliau berkata reaksi rakyat terhadap kenyataan pemimpin kerajaan, khususnya apabila meminta rakyat memahami situasi semasa, tidak dapat dielakkan kerana kenyataan-kenyataan lama berkaitan isu minyak kembali dimainkan semula di media sosial.

Dr Azam berkata, hal ini berlaku kerana rakyat mahu mengingatkan semula pemimpin terhadap kenyataan dan retorik politik yang pernah digunakan ketika mereka berada di blok pembangkang.

Menurut beliau, retorik politik yang keterlaluan dalam isu melibatkan beban rakyat akhirnya boleh memakan diri apabila pihak yang pernah mengkritik kini berada dalam kedudukan membuat keputusan.

Beliau turut mengimbau suasana perdebatan politik terdahulu membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, sambil menyifatkan pemimpin itu sebagai seorang orator yang hebat dan bijak menyusun hujah. Namun katanya, rakyat di peringkat bawahan tetap akan menilai berdasarkan kenyataan lampau yang pernah diucapkan.

Dr Azam menegaskan bahawa tindakan rakyat memperlekeh atau mempersendakan semula kenyataan lama pemimpin bukanlah sesuatu yang luar biasa, sebaliknya dianggap sebagai reaksi balas terhadap ucapan dan kritikan yang pernah dilemparkan sebelum ini.

Beliau juga berpandangan bahawa pemimpin daripada Barisan Nasional yang kini berada dalam Kerajaan Madani perlu lebih berhati-hati dalam mengulas isu kenaikan harga minyak agar tidak terpalit dengan kemarahan rakyat.

Katanya, walaupun keputusan dibuat secara kolektif dalam kerajaan, kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan menyebabkan beliau menjadi tokoh utama yang akan dipertanggungjawabkan oleh rakyat terhadap dasar berkenaan.

Dalam pada itu, Dr Azam percaya isu subsidi dan harga minyak berpotensi menjadi percaturan politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16, sekiranya kerajaan mengambil langkah menurunkan semula harga bahan api pada masa hadapan.

Beliau bagaimanapun berpendapat bahawa bagi Pilihan Raya Negeri di Johor dan Melaka, isu global seperti kenaikan harga minyak mungkin tidak menjadi faktor utama, kerana pengundi dijangka lebih menumpukan perhatian kepada isu-isu setempat dan pentadbiran negeri.

#HargaMinyak #SubsidiMinyak #KerajaanMadani #AnwarIbrahim #BeritaAAC