KUALA LUMPUR, 14 April 2026 – Isu kelewatan pembayaran allowance pelajar MARA di India disahkan telah selesai sepenuhnya selepas semua bayaran dilaporkan sudah dimasukkan ke dalam akaun pelajar terlibat.
Pengerusi MARA, Dato’ Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau dimaklumkan pihak pengurusan bahawa proses penyaluran elaun tersebut telah selesai pada hari sebelumnya.
Menurut beliau, kelewatan yang berlaku dipercayai berpunca daripada beberapa isu dokumentasi dan urusan berkaitan pentadbiran, namun perkara itu tidak seharusnya menjejaskan kebajikan pelajar, terutama mereka yang sedang menuntut di luar negara.
Dr.Asyraf Wajdi menegaskan bahawa beliau telah mengarahkan pihak pengurusan supaya memberikan perhatian serius terhadap sebarang perkara yang melibatkan kebajikan pelajar, sama ada di dalam mahupun luar negara.
Beliau turut menekankan bahawa soal birokrasi dan dokumentasi boleh diselesaikan kemudian, namun pembayaran elaun tidak boleh lewat walaupun sehari kerana ia memberi kesan besar kepada kehidupan pelajar.
Katanya, beliau memahami kesukaran itu kerana pernah melalui pengalaman sebagai pelajar di luar negara, justeru amat menyedari betapa peritnya apabila elaun lambat diterima walaupun hanya untuk tempoh yang singkat.
Sehubungan itu, beliau mahu pengurusan MARA memastikan insiden sama tidak berulang lagi pada masa hadapan demi menjaga kebajikan dan kesejahteraan pelajar tajaan agensi itu.
KUALA LUMPUR – Aktivis Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Joshua, memaklumkan pihaknya sedang mempertimbangkan tindakan susulan sekiranya kes yang dilaporkan sebelum ini terus dilihat sepi tanpa perkembangan jelas daripada pihak berkuasa.
Menurut beliau, MHO bercadang menghantar surat susulan bagi mendapatkan penjelasan berhubung status sebenar siasatan, termasuk bagi mengetahui sama ada kes berkenaan diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA) atau disiasat di bawah peruntukan undang-undang tertentu.
Joshua berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat rasmi berhubung perkembangan terkini kes tersebut, malah tiada pihak yang tampil mendapatkan maklumat tambahan walaupun bahan bukti telah diserahkan lebih awal.
Beliau menjelaskan bahawa sebuah telefon bimbit bersama bukti-bukti berkaitan telah pun diserahkan kepada pihak berkuasa untuk membantu siasatan. Namun begitu, menurutnya, sehingga kini masih belum kelihatan sebarang tindakan penguatkuasaan termasuk tangkapan dilakukan.
Katanya, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai hala tuju siasatan serta tahap keseriusan tindakan yang akan diambil terhadap pihak-pihak yang didakwa terlibat. Justeru, MHO mahu kepastian agar kes berkenaan tidak berakhir tanpa sebarang penjelasan kepada umum.
Joshua turut menegaskan bahawa tindakan menghantar surat susulan itu penting bagi memastikan proses siasatan berjalan secara telus, selain memberi gambaran sebenar kepada pihak pengadu mengenai kedudukan kes tersebut.
Perkembangan lanjut dijangka bergantung kepada maklum balas rasmi pihak berkuasa dalam tempoh terdekat, termasuk sama ada siasatan akan diteruskan, dikembangkan di bawah peruntukan lain, atau ditutup tanpa tindakan lanjut.
KUALA LUMPUR, 20 April 2026 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap satu skim pelaburan melibatkan sebuah koperasi di Pahang susulan dakwaan kerugian besar yang dialami mangsa.
Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada seramai 154 mangsa yang mendakwa kerugian dianggarkan mencecah RM9 juta selepas menyertai skim pelaburan yang ditawarkan melalui wakil dan ejen koperasi berkenaan.
Menurut beliau, mangsa-mangsa mendakwa mereka telah diyakinkan untuk melabur melalui janji pulangan dividen bulanan yang tinggi, selain representasi bahawa pelaburan itu disandarkan kepada aktiviti perniagaan sebenar yang sah dan telus.
Katanya, bagi menyertai skim berkenaan, pelabur perlu menjadi ahli koperasi serta membuat bayaran modal pelaburan secara terus kepada pihak koperasi dengan kepercayaan dana tersebut akan diuruskan secara bertanggungjawab.
Beliau berkata, selain skim utama, mangsa juga didakwa ditawarkan satu program pelaburan tambahan melibatkan emas menerusi entiti berkaitan, kononnya membabitkan tempahan emas 916 dengan tempoh kitaran tertentu serta jangkaan keuntungan antara satu hingga tiga peratus.
“Bagaimanapun, mangsa mendakwa pulangan dividen yang dijanjikan tidak dibayar seperti sepatutnya. Bayaran hanya dibuat pada peringkat awal sebelum dihentikan sepenuhnya tanpa penjelasan memuaskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut MHO, pelbagai usaha telah dilakukan oleh mangsa bagi mendapatkan penjelasan dan pemulangan modal, termasuk berhubung dengan wakil koperasi serta mengemukakan notis berkaitan penebusan semula pelaburan, namun semuanya didakwa gagal walaupun tempoh dijanjikan telah tamat.
Tambah beliau, mangsa turut membangkitkan kebimbangan bahawa aktiviti pelaburan yang didakwa dijalankan mungkin tidak wujud atau tidak dilaksanakan secara sebenar, selain wujud kemungkinan penggunaan dokumen, penyata kewangan dan rekod transaksi yang tidak tepat, tidak lengkap atau mengelirukan.
Antara perkara yang menimbulkan keraguan serius, katanya, termasuk kemungkinan manipulasi rekod kewangan apabila transaksi yang direkodkan sebagai urus niaga emas didakwa tidak berlaku secara sebenar.
Sehubungan itu, MHO memaklumkan mangsa-mangsa telah mengambil keputusan untuk merujuk perkara tersebut kepada SPRM selepas mendakwa aduan terdahulu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) masih belum menunjukkan perkembangan yang jelas.
MHO menggesa agar siasatan dibuat di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang melibatkan kesalahan menggunakan dokumen atau representasi mengandungi maklumat palsu, silap atau tidak lengkap dengan niat untuk memperdaya prinsipal.
Menurut kenyataan itu, berdasarkan fakta yang dibangkitkan, terdapat asas untuk menilai bahawa pihak yang menguruskan pelaburan berperanan sebagai ejen kepada pelabur, manakala pelabur pula merupakan prinsipal yang mempunyai kepentingan langsung terhadap dana dilaburkan.
MHO turut menegaskan pihaknya bersama mangsa-mangsa akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM, termasuk menyerahkan dokumen, rekod transaksi dan maklumat berkaitan bagi membantu siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh.
Dalam masa sama, MHO menyeru mana-mana individu lain yang turut terkesan atau mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil ke hadapan bagi membantu pihak berkuasa menyiasat isu tersebut demi kepentingan awam.
KUALA LUMPUR, 20 April 2026 – Ulang tahun ke-80 UMNO tidak seharusnya sekadar dijadikan medan mengimbau sejarah dan nostalgia semata-mata, sebaliknya perlu menjadi titik penting untuk parti itu melakukan transformasi besar demi memastikan ia kembali kukuh sebagai teras kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr Azam Rauzan, berkata sambutan bersejarah itu wajar dimanfaatkan untuk menilai secara serius arah tuju parti, termasuk keperluan melakukan revolusi mental dan budaya politik dalam kalangan kepimpinan serta ahli UMNO.
Menurut beliau, selepas lapan dekad penubuhannya, UMNO tidak lagi boleh terus bergantung kepada kaedah lama, khususnya dalam soal pemilihan calon, strategi politik dan pendekatan untuk memenangi hati pengundi. Katanya, parti itu perlu lebih terbuka, bijak dan fleksibel dalam membuat keputusan, dengan keutamaan diberikan kepada kemenangan serta kekuatan angka.
Dr Azam berkata, UMNO tidak boleh terus terikat kepada hierarki tradisional parti semata-mata dalam memilih calon, kerana apa yang lebih penting ialah kebolehupayaan calon untuk menang dan diterima pengundi. Tegasnya, jika pendekatan lama masih digunakan tanpa penyesuaian, parti itu akan terus berdepan risiko kegagalan dalam pilihan raya.
Beliau turut menekankan bahawa media sosial kini perlu dijadikan antara faktor penting dalam menilai kelayakan seseorang calon. Menurutnya, dalam landskap politik semasa, calon yang mahu diketengahkan mesti dikenali ramai, mempunyai pengaruh digital, serta mampu menarik sokongan bukan sahaja daripada ahli parti, malah pengundi muda dan masyarakat umum.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa budaya tikam belakang dalam parti perlu dihentikan segera jika UMNO benar-benar mahu bangkit semula. Katanya, sikap sabotaj dalaman kerana kecewa tidak dipilih sebagai calon merupakan antara “penyakit lama” yang masih membelenggu parti dan menjadi punca kelemahan dalam beberapa kawasan sebelum ini.
Dr Azam menegaskan bahawa beliau bukan bercakap atas kepentingan peribadi, sebaliknya mahu melihat UMNO kembali menjadi parti teras kerajaan pada masa depan. Beliau berharap ulang tahun ke-80 ini menjadi permulaan kepada pembaharuan sebenar dalam UMNO agar parti itu lebih bersedia, lebih strategik dan lebih relevan dalam menghadapi cabaran politik semasa.
KUALA LUMPUR, 9 April 2026 – Bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abd Razak, mengakui bahawa tiada unsur nepotisme membabitkan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berhubung pelantikan anak perempuannya ke dua entiti berkaitan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
Dalam satu kenyataan bertarikh 9 April 2026, Najib merujuk kepada hantaran Facebook beliau pada 24 Ogos 2020 serta saman sivil yang difailkan oleh Dzulkefly Ahmad susulan kenyataan tersebut.
Menurut Najib, beliau mengambil maklum bahawa aduan yang dibawa ke mahkamah adalah berhubung dakwaan bahawa hantaran berkenaan memberi gambaran seolah-olah Dzulkefly mengamalkan nepotisme dalam pelantikan anak perempuannya, Puan Nurul Iman, ke Lembaga Pengarah AIM Solutions Group Bhd pada 30 April 2018 serta ke Lembaga Pemegang Amanah Amanah Ikhtiar Malaysia pada 1 Oktober 2018.
Bagaimanapun, Najib menerima bahawa Dzulkefly tidak terlibat dalam pelantikan-pelantikan tersebut dan menegaskan bahawa tiada unsur nepotisme di pihak Ahli Parlimen Kuala Selangor itu.
Beliau turut menjelaskan bahawa hantaran yang dibuat sebelum ini bukan bertujuan untuk memfitnah, malah tidak dimaksudkan untuk membayangkan bahawa Dzulkefly bersifat korup atau terlibat dalam nepotisme serta kronisme.
Sebaliknya, Najib berkata hantaran itu dibuat dalam konteks ulasan politik umum bagi menonjolkan persepsi mengenai standard berganda dalam kalangan parti-parti politik.
Menurut beliau lagi, kenyataan tersebut diterbitkan pada waktu berkenaan dalam kapasiti dan tanggungjawabnya sebagai seorang Ahli Parlimen, serta bertujuan menyentuh isu tadbir urus, pentadbiran dan pelantikan ke entiti berkaitan kerajaan yang ketika itu menjadi perdebatan awam dan politik.
Walau bagaimanapun, Najib mengakui bahawa hantaran tersebut telah menimbulkan kesusahan kepada Dzulkefly Ahmad dan keluarganya, sesuatu yang menurut beliau sama sekali bukan niat asalnya.
Dalam nada berdamai, beliau turut menyatakan hasrat untuk bergerak ke hadapan secara konstruktif, selain mengucapkan yang terbaik kepada Dzulkefly dalam meneruskan khidmat kepada rakyat dan negara.
Najib juga menghulurkan ucapan ikhlas kepada Dzulkefly Ahmad serta keluarganya susulan perkembangan tersebut.
KUALA LUMPUR, 18 April 2026 – Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) sekali lagi menzahirkan hasrat agar diberi pengiktirafan lebih jelas dalam kerajaan dan diserap secara rasmi sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN), selepas mendakwa telah menunggu hampir lima dekad untuk mendapat tempat sewajarnya dalam gabungan itu.
Presiden KIMMA, Datuk Seri Hj Syed Ibrahim Kader, berkata perjuangan parti itu tidak pernah terhenti walaupun berdepan pelbagai cabaran politik, malah kesetiaan KIMMA terhadap BN dan UMNO kekal utuh sejak penubuhannya pada 26 Oktober 1976.
Menurut beliau, Perhimpunan Agung KIMMA Kali Ke-46 bagi tahun 2025 yang berlangsung sempena ulang tahun ke-50 penubuhan parti itu menjadi medan penting untuk membawa suara akar umbi masyarakat India Muslim ke peringkat lebih tinggi.
“Selama 50 tahun kami menunggu, 50 tahun kami setia, 50 tahun kami berdiri di belakang perjuangan ini tanpa sekelumit keraguan. Namun sehingga hari ini, KIMMA masih belum diberi ruang untuk menjadi sebahagian daripada komponen rasmi BN walaupun tujuh kali permohonan telah dibuat,” katanya dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung KIMMA.
Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan bahawa KIMMA mahu terus kekal bersama UMNO dan BN, namun berharap satu keputusan yang lebih jelas dan tuntas dapat dibuat berhubung kedudukan parti itu dalam gabungan berkenaan.
Selain isu penyertaan ke dalam BN, Syed Ibrahim turut membangkitkan tuntutan masyarakat India Muslim yang menurutnya masih berdepan kekangan dari segi status, bantuan pendidikan, peluang ekonomi dan pengiktirafan dalam dasar kerajaan.
Beliau berkata, walaupun masyarakat India Muslim merupakan sebahagian daripada rakyat Malaysia yang telah lama menyumbang kepada pembangunan negara, termasuk dalam sektor perniagaan, restoran, peruncitan, emas, pengurup wang dan pelbagai lagi, namun mereka didakwa masih tidak menerima peruntukan khusus dalam bajet tahunan negara.
Katanya, keadaan itu menyebabkan ramai dalam kalangan masyarakat India Muslim, khususnya golongan B40 dan M40, berdepan kesukaran untuk mendapatkan bantuan sewajarnya, termasuk akses pendidikan dan sokongan ekonomi.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu mekanisme rasmi melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menilai dan mengesahkan status masyarakat India Muslim berdasarkan dokumen yang sah, khususnya bagi mereka yang layak dipertimbangkan di bawah kerangka tertentu menurut Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.
Dalam masa sama, beliau turut meminta kerajaan mengiktiraf KIMMA sebagai suara rasmi masyarakat India Muslim dalam kerajaan agar setiap isu berkaitan komuniti itu dapat dibawa terus ke peringkat pembuat dasar.
Beliau juga membangkitkan isu kekurangan tenaga kerja yang menurutnya semakin menekan sektor perkhidmatan, terutama perniagaan restoran India Muslim, pasar mini, kedai emas, pengurup wang dan kedai runcit.
Menurutnya, terdapat kira-kira 15,000 restoran India Muslim di seluruh negara dengan anggaran hasil tahunan mencecah antara RM12 bilion hingga RM14 bilion, namun ramai pengusaha berdepan kesukaran mendapatkan pekerja asing secara sah dan mencukupi.
Katanya, proses permohonan pekerja yang rumit dan kuota yang terhad menyebabkan banyak premis terpaksa mengurangkan operasi, sekali gus menjejaskan kualiti perkhidmatan, hasil perniagaan dan kutipan kepada negara.
Dalam sektor peruncitan pula, beliau mendakwa kedai-kedai kecil milik masyarakat India Muslim semakin terhimpit akibat persaingan dengan rangkaian peruncitan besar, selain tidak diberi peluang menyertai program bantuan seperti MyKasih yang menurutnya lebih banyak tertumpu kepada premis besar.
Atas dasar itu, KIMMA mengemukakan lapan usul utama untuk dipertimbangkan kerajaan, antaranya menuntut pengiktirafan rasmi KIMMA dalam kerajaan, penyertaan segera sebagai parti komponen BN, peluang bertanding lebih banyak kerusi pada PRU-16, penyelesaian isu status Bumiputera, kelulusan 10,000 pekerja asing untuk sektor perkhidmatan, kuota 1,000 belia India Muslim dalam program TVET, serta pewujudan dana khas pembangunan masyarakat India Muslim.
Syed Ibrahim berkata, semua tuntutan itu bukanlah untuk meminta keistimewaan berlebihan, sebaliknya bagi memastikan masyarakat India Muslim mendapat peluang yang adil dan saksama sebagai sebahagian daripada warga Malaysia.
Beliau turut menzahirkan harapan agar Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dapat memberi jawapan yang jelas terhadap aspirasi KIMMA dalam ucapannya, khususnya berhubung kedudukan parti itu dalam BN.
“Kami tidak menuntut lebih, hanya keadilan dan pengiktirafan yang sewajarnya atas kesetiaan yang telah kami buktikan sekian lama,” katanya.
KUALA LUMPUR, 18 April 2026 – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa permohonan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) untuk diterima sebagai parti teras dalam BN masih belum dapat dimuktamadkan selagi pindaan terhadap Perlembagaan BN tidak dipersetujui sepenuhnya oleh kepimpinan parti-parti teras gabungan itu.
Menurut beliau, UMNO mengucapkan tahniah sempena ulang tahun ke-50 penubuhan KIMMA dan Perhimpunan Agung KIMMA kali ke-46, sambil mengiktiraf peranan serta kesetiaan parti itu dalam mendukung perjuangan BN sejak sekian lama.
Ahmad Zahid berkata, berdasarkan Perlembagaan BN sedia ada, sebarang kemasukan parti baharu sebagai parti teras perlu melalui proses pindaan yang memerlukan persetujuan penuh daripada kepimpinan parti-parti teras BN.
“Setakat ini belum ada persetujuan untuk pindaan itu, namun jika benar ada parti yang tidak menghalang kemasukan KIMMA ke dalam Barisan Nasional, maka saya berharap parti berkenaan dapat membuat kenyataan rasmi dan pendirian rasmi bagi membolehkan pindaan Perlembagaan dilakukan,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung KIMMA.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua kepimpinan parti komponen BN yang terus mendukung usaha dan perjuangan gabungan itu, khususnya dalam menghadapi pilihan raya negeri dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Dalam masa sama, Ahmad Zahid menegaskan bahawa gerak kerja pilihan raya perlu dimulakan dari sekarang, tanpa menunggu tarikh sebenar pembubaran atau hari pengundian diumumkan.
Katanya, sokongan daripada ahli parti-parti komponen sahaja tidak mencukupi untuk menjamin kemenangan calon-calon BN, justeru jentera parti perlu digerakkan untuk menarik sokongan pengundi luar yang bukan terdiri daripada ahli parti.
“Gerak kerja mesti berjalan daripada sekarang. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada ahli parti komponen semata-mata, sebaliknya perlu menggamit dukungan pengundi atas pagar dan kelompok bukan ahli untuk bersama-sama mendukung calon-calon BN,” ujarnya.
Menyentuh lapan resolusi yang dibawa KIMMA dalam perhimpunan tersebut, beliau berkata beberapa perkara boleh diberi pertimbangan segera, manakala isu-isu yang melibatkan kementerian, jabatan dan agensi lain akan dibawa untuk perhatian Kabinet serta menteri-menteri berkaitan dalam Kerajaan Madani.
Beliau berkata, pihaknya bersedia memohon supaya mana-mana peraturan yang menjadi penghalang kepada tuntutan KIMMA dapat dipinda atau disesuaikan, khususnya yang melibatkan kepentingan masyarakat India Muslim di negara ini.
Antara tuntutan utama yang dibangkitkan KIMMA menerusi ucapan dasar Presidennya, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader, termasuklah pengiktirafan KIMMA sebagai suara rasmi masyarakat India Muslim dalam kerajaan, kemasukan sebagai parti komponen BN, penyelesaian isu status Bumiputera bagi masyarakat India Muslim yang layak, penambahan kuota pekerja asing untuk sektor perkhidmatan, peluang TVET kepada belia India Muslim, serta pewujudan dana khas untuk pembangunan komuniti itu.
KIMMA juga memohon agar diberikan peluang bertanding lebih banyak kerusi pada PRU akan datang selepas mendakwa telah menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam PRU ke-15, termasuk di Parlimen Puchong.
Mengulas isu pembahagian kerusi, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa KIMMA dan rakan-rakan dalam kelompok “Friends of BN” sebelum ini pernah diberi peluang bertanding, dan formula sama dijangka akan digunakan semula pada pilihan raya akan datang.
Menurutnya, perkara itu akan diperhalusi oleh Setiausaha Agung BN bagi menyesuaikan atau menambah jumlah kerusi yang wajar diperuntukkan kepada rakan-rakan parti dalam gabungan berkenaan.
Dalam sesi soal jawab bersama media, Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa MIC masih kekal sebagai parti teras BN setakat ini.
Katanya, walaupun sebelum ini timbul dakwaan berhubung surat kepada Perikatan Nasional (PN), MIC tidak pernah menyatakan secara rasmi hasrat untuk keluar daripada BN.
“Setakat ini mereka adalah anggota atau parti teras dalam Barisan Nasional. Mereka tidak menyatakan untuk keluar secara rasmi daripada BN,” katanya.
Perhimpunan Agung KIMMA kali ke-46 itu turut menyaksikan desakan berterusan parti berkenaan agar kesetiaan hampir lima dekad mereka kepada BN diterjemahkan dalam bentuk pengiktirafan rasmi, seiring usia emas penubuhan KIMMA yang kini mencecah 50 tahun.