
KUALA LUMPUR, 18 April 2026 – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa permohonan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) untuk diterima sebagai parti teras dalam BN masih belum dapat dimuktamadkan selagi pindaan terhadap Perlembagaan BN tidak dipersetujui sepenuhnya oleh kepimpinan parti-parti teras gabungan itu.
Menurut beliau, UMNO mengucapkan tahniah sempena ulang tahun ke-50 penubuhan KIMMA dan Perhimpunan Agung KIMMA kali ke-46, sambil mengiktiraf peranan serta kesetiaan parti itu dalam mendukung perjuangan BN sejak sekian lama.
Ahmad Zahid berkata, berdasarkan Perlembagaan BN sedia ada, sebarang kemasukan parti baharu sebagai parti teras perlu melalui proses pindaan yang memerlukan persetujuan penuh daripada kepimpinan parti-parti teras BN.
“Setakat ini belum ada persetujuan untuk pindaan itu, namun jika benar ada parti yang tidak menghalang kemasukan KIMMA ke dalam Barisan Nasional, maka saya berharap parti berkenaan dapat membuat kenyataan rasmi dan pendirian rasmi bagi membolehkan pindaan Perlembagaan dilakukan,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung KIMMA.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua kepimpinan parti komponen BN yang terus mendukung usaha dan perjuangan gabungan itu, khususnya dalam menghadapi pilihan raya negeri dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Dalam masa sama, Ahmad Zahid menegaskan bahawa gerak kerja pilihan raya perlu dimulakan dari sekarang, tanpa menunggu tarikh sebenar pembubaran atau hari pengundian diumumkan.
Katanya, sokongan daripada ahli parti-parti komponen sahaja tidak mencukupi untuk menjamin kemenangan calon-calon BN, justeru jentera parti perlu digerakkan untuk menarik sokongan pengundi luar yang bukan terdiri daripada ahli parti.
“Gerak kerja mesti berjalan daripada sekarang. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada ahli parti komponen semata-mata, sebaliknya perlu menggamit dukungan pengundi atas pagar dan kelompok bukan ahli untuk bersama-sama mendukung calon-calon BN,” ujarnya.
Menyentuh lapan resolusi yang dibawa KIMMA dalam perhimpunan tersebut, beliau berkata beberapa perkara boleh diberi pertimbangan segera, manakala isu-isu yang melibatkan kementerian, jabatan dan agensi lain akan dibawa untuk perhatian Kabinet serta menteri-menteri berkaitan dalam Kerajaan Madani.
Beliau berkata, pihaknya bersedia memohon supaya mana-mana peraturan yang menjadi penghalang kepada tuntutan KIMMA dapat dipinda atau disesuaikan, khususnya yang melibatkan kepentingan masyarakat India Muslim di negara ini.
Antara tuntutan utama yang dibangkitkan KIMMA menerusi ucapan dasar Presidennya, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader, termasuklah pengiktirafan KIMMA sebagai suara rasmi masyarakat India Muslim dalam kerajaan, kemasukan sebagai parti komponen BN, penyelesaian isu status Bumiputera bagi masyarakat India Muslim yang layak, penambahan kuota pekerja asing untuk sektor perkhidmatan, peluang TVET kepada belia India Muslim, serta pewujudan dana khas untuk pembangunan komuniti itu.
KIMMA juga memohon agar diberikan peluang bertanding lebih banyak kerusi pada PRU akan datang selepas mendakwa telah menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam PRU ke-15, termasuk di Parlimen Puchong.
Mengulas isu pembahagian kerusi, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa KIMMA dan rakan-rakan dalam kelompok “Friends of BN” sebelum ini pernah diberi peluang bertanding, dan formula sama dijangka akan digunakan semula pada pilihan raya akan datang.
Menurutnya, perkara itu akan diperhalusi oleh Setiausaha Agung BN bagi menyesuaikan atau menambah jumlah kerusi yang wajar diperuntukkan kepada rakan-rakan parti dalam gabungan berkenaan.
Dalam sesi soal jawab bersama media, Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa MIC masih kekal sebagai parti teras BN setakat ini.
Katanya, walaupun sebelum ini timbul dakwaan berhubung surat kepada Perikatan Nasional (PN), MIC tidak pernah menyatakan secara rasmi hasrat untuk keluar daripada BN.
“Setakat ini mereka adalah anggota atau parti teras dalam Barisan Nasional. Mereka tidak menyatakan untuk keluar secara rasmi daripada BN,” katanya.
Perhimpunan Agung KIMMA kali ke-46 itu turut menyaksikan desakan berterusan parti berkenaan agar kesetiaan hampir lima dekad mereka kepada BN diterjemahkan dalam bentuk pengiktirafan rasmi, seiring usia emas penubuhan KIMMA yang kini mencecah 50 tahun.
#KIMMA #BarisanNasional #ZahidHamidi #PolitikMalaysia #BeritaAAC