Day: April 29, 2026

KUALA LUMPUR, 29 April 2026 – UMNO Malaysia menegaskan pendirian bahawa parti itu kekal berpegang kepada asas Perlembagaan UMNO dalam mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu sebagai tonggak kedaulatan negara.

Setiausaha Agung UMNO, Dato’ Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu antara ketetapan yang dicapai dalam Mesyuarat Biro Politik UMNO Malaysia yang berlangsung pada 29 April 2026 bersamaan 11 Zulkaedah 1447H.

Menurut beliau, UMNO memandang serius perkembangan mutakhir membabitkan krisis Institusi Raja dan Adat Negeri Sembilan yang kini mencetuskan polemik besar serta salah faham serius dalam kalangan anggota komponen parti Kerajaan Perpaduan di negeri berkenaan.

Katanya, Biro Politik UMNO turut mendengar penjelasan tuntas daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berhubung tindakan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional yang hilang kepercayaan terhadap YAB Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Keputusan itu dibuat susulan sikap Menteri Besar yang didakwa membelakangkan Institusi Adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, UMNO Malaysia menegaskan parti itu menghormati pendirian ADUN-ADUN Barisan Nasional yang kekal hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, namun pada masa sama terus menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.

Menurut Asyraf Wajdi, pendirian tersebut dibuat bagi memastikan kestabilan politik negeri dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara tanpa mengorbankan prinsip perjuangan parti.

Beliau berkata, UMNO juga berpandangan satu pertemuan segera antara Biro Politik UMNO dan Biro Politik Pakatan Harapan perlu diadakan bagi merungkai beberapa isu melibatkan prinsip perjuangan parti masing-masing.

Jelasnya, langkah itu selaras dengan Klausa 5(c) Perjanjian Persefahaman Pembentukan Kerajaan Perpaduan yang menuntut sebarang isu dasar yang diperselisihkan diselesaikan menerusi Majlis Perundingan.

Perkembangan ini dijangka menjadi tumpuan politik nasional susulan krisis politik Negeri Sembilan yang kini bukan sahaja menyentuh soal kepercayaan terhadap kepimpinan negeri, malah turut membabitkan kedudukan institusi adat dan prinsip pembentukan Kerajaan Perpaduan.

#AATV #UMNO #NegeriSembilan #KerajaanPerpaduan #PolitikMalaysia

HULU SELANGOR, 24 April 2026 – Penyelaras DUN Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan mencadangkan kawasan Parlimen Hulu Selangor dijadikan projek perintis bagi pelaksanaan sistem kesihatan percuma yang lebih cekap, pantas dan menyeluruh.

Menurut beliau, sistem kesihatan negara perlu diperkukuh bermula daripada peringkat rawatan primer, sekunder hingga tertiari bagi memastikan rakyat mendapat rawatan awal tanpa perlu menunggu terlalu lama.

Dr Sathia berkata, sebagai seorang doktor, beliau melihat kelemahan utama yang perlu diberi perhatian ialah kelewatan pesakit menerima rawatan asas, sedangkan banyak kes boleh dikesan dan dikawal lebih awal di peringkat rawatan primer.

Beliau memberi contoh kes pesakit yang disyaki mengalami serangan jantung atau myocardial infarction, di mana pemeriksaan awal seperti elektrokardiogram atau ECG sepatutnya boleh dilakukan dengan segera tanpa perlu melalui proses menunggu yang panjang.

“Primary care kita mesti dibangunkan dengan cepat dan pantas. Kalau pesakit datang dengan sakit dada, belum tentu semuanya serangan jantung. Mungkin gastrik, tetapi pemeriksaan awal seperti ECG sangat penting,” katanya.

Dr Sathia turut membangkitkan isu pesakit kemalangan yang terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkan kaki palsu, sedangkan proses tersebut sepatutnya boleh dipercepatkan bagi mengelakkan anggota badan lain menjadi semakin lemah akibat tempoh menunggu terlalu lama.

Katanya, kelewatan dalam rawatan bukan sahaja memberi kesan kepada fizikal pesakit, malah turut membebankan sistem kesihatan apabila pesakit terpaksa bergerak dari satu jabatan ke jabatan lain.

Beliau menjelaskan, pergerakan pesakit yang sakit dari satu bahagian ke bahagian lain juga boleh meningkatkan risiko jangkitan silang, khususnya apabila sistem pesakit luar tidak diuruskan dengan lebih tersusun.

“Bayangkan pesakit yang tidak sihat bergerak ke banyak jabatan. Risiko jangkitan silang boleh berlaku. Sebab itu kita perlu ada penyelesaian yang lebih terperinci dan bersifat jangka panjang,” katanya.

Dr Sathia menegaskan, Malaysia sudah lebih enam dekad merdeka dan sudah tiba masanya negara mempercepatkan pembaharuan sistem kesihatan supaya lebih moden, responsif dan berkesan kepada rakyat.

Dalam masa sama, beliau berkata mesej berhubung keperluan mempercepatkan proses kesihatan dipercayai telah sampai kepada pihak berkaitan, termasuk kementerian, namun pelaksanaannya perlu digerakkan dengan lebih segera.

“Saya rasa banyak perkara sudah disuarakan dan ramai pihak sudah tahu. Mungkin mereka sedang dalam proses untuk melaksanakan, tetapi bagi saya proses kesihatan ini mesti dipercepatkan kerana ia sangat penting,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kesihatan awam bukan perkara kecil, sebaliknya merupakan keperluan asas rakyat yang perlu diberi keutamaan dalam perancangan pembangunan negara, khususnya di kawasan yang masih memerlukan akses perubatan lebih baik seperti Hulu Selangor.

#BeritaAAC #HuluSelangor #KesihatanRakyat #HospitalUntukRakyat #DrSathiaPrakash

HULU SELANGOR, 24 April 2026 – Penyelaras DUN Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan menegaskan bahawa Hulu Selangor lebih memerlukan kemudahan hospital lengkap berbanding cadangan pembangunan ladang khinzir atau sebarang projek yang berisiko memberi kesan kepada kesihatan awam.

Menurut beliau, sebagai seorang doktor, isu kesihatan rakyat perlu diberi keutamaan kerana Hulu Selangor masih berdepan kekangan kemudahan perubatan, kepakaran dan kapasiti hospital berhampiran.

Dr Sathia berkata, sekiranya wujud sebarang ladang atau infrastruktur yang berpotensi membawa risiko jangkitan silang, pihak berkuasa perlu terlebih dahulu memastikan sistem kesihatan di kawasan tersebut benar-benar bersedia.

“Kalau ada ladang, ada cross-infection. Nak hantar pergi mana? Nak hantar pergi Slim River, dah padat. Nak hantar pergi Selayang, dah padat. Nak hantar pergi Kuala Kubu, tak ada kepakaran. Nak hantar pergi Sungai Buloh, tak cukup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu cadangan ladang khinzir yang menjadi perhatian penduduk serta pelbagai pihak di Hulu Selangor.

Tambahnya, kawasan Bukit Tagar juga perlu dilihat secara lebih serius kerana kedudukannya berhampiran tapak pelupusan sampah, sekali gus menimbulkan kebimbangan dari sudut kesihatan dan persekitaran.

Dr Sathia menegaskan, pendiriannya dalam isu tersebut jelas sejak awal lagi dan beliau tidak bersetuju sekiranya cadangan itu diteruskan tanpa mengambil kira kepentingan kesihatan rakyat.

“Saya dah beritahu awal-awal, Bukit Tagar itu sebelahnya adalah tempat buang sampah. Sebagai seorang doktor, saya takkan setuju dan saya takkan terima,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata tetap menghormati keputusan mana-mana pihak yang terlibat, namun menegaskan bahawa menghormati keputusan tidak bermaksud beliau bersetuju dengan cadangan tersebut.

Menurutnya, isu berkenaan tidak sepatutnya dilihat secara sempit, sebaliknya perlu dinilai daripada aspek kesihatan awam, kesiapsiagaan hospital, risiko jangkitan serta keperluan sebenar penduduk Hulu Selangor.

Beliau turut berpandangan bahawa pembangunan di Hulu Selangor perlu mengutamakan kemudahan asas rakyat, khususnya hospital yang lebih lengkap dan mampu menampung keperluan penduduk setempat.

#BeritaAAC #HuluSelangor #IsuLadangKhinzir #UtamakanKesihatanRakyat #HospitalUntukHuluSelangor

KUALA LUMPUR, 27 April 2026 – Kemelut politik Negeri Sembilan yang tercetus susulan penarikan sokongan 14 ADUN Barisan Nasional terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, terus menjadi perhatian apabila Perikatan Nasional turut dilaporkan menyatakan sokongan kepada BN bagi pembentukan kerajaan negeri baharu.

Perkembangan itu hadir ketika kedudukan kerajaan negeri menjadi tumpuan selepas UMNO menarik sokongan pada 27 April 2026.

Aktivis, Fakhrul Azman Abu Bakar berkata, isu yang berlaku di Negeri Sembilan tidak boleh dilihat semata-mata sebagai krisis politik, sebaliknya turut melibatkan persoalan adat dan institusi pelantikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Menurut beliau, Negeri Sembilan mempunyai keunikan tersendiri kerana sistem adatnya memberi peranan besar kepada Undang Luak, khususnya dalam soal berkaitan institusi Yang Dipertuan Besar.

“Di Negeri Sembilan Darul Khusus ini ada dua krisis, iaitu krisis politik dan krisis pelantikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan itu sendiri,” katanya.

Fakhrul berkata, berdasarkan kedudukan kerusi DUN Negeri Sembilan, Barisan Nasional mempunyai 14 kerusi, Pakatan Harapan 17 kerusi, manakala Perikatan Nasional memiliki lima kerusi, terdiri daripada PAS dan Bersatu. Beliau berkata, jika BN dan PN bergabung, jumlah sokongan itu boleh membentuk majoriti 19 kerusi.

Bagaimanapun, katanya, proses pelantikan Menteri Besar baharu tidak semudah angka majoriti politik semata-mata kerana ia tertakluk kepada undang-undang tubuh negeri serta kedudukan institusi beraja di Negeri Sembilan.

Beliau turut mengingatkan bahawa sejarah Negeri Sembilan membuktikan peranan Undang Luak amat penting, termasuk ketika pelantikan Raja Melewar pada tahun 1773 yang melibatkan muafakat Undang Luak seperti Jelebu, Johol, Sungai Ujong dan Rembau.

Katanya, rakyat ketika ini mula melihat semula kepentingan institusi Undang Luak yang selama ini mungkin hanya difahami secara umum sebagai pihak yang berperanan dalam pelantikan Yang Dipertuan Besar.

“Sekarang baru orang tahu kuasa Undang tersebut di Negeri Sembilan. Dulu orang hanya tahu Undang ini melantik, tetapi sebenarnya Undang juga ada kuasa dalam sistem adat Negeri Sembilan,” katanya.

Fakhrul berkata, semua parti politik khususnya UMNO, Barisan Nasional dan pihak yang ingin membentuk jajaran baharu perlu mengambil pendekatan muafakat serta berbincang secara baik dengan Undang Luak bagi memastikan proses pentadbiran negeri berjalan lancar.

Beliau berkata, sebarang keputusan tidak wajar dibuat secara tergesa-gesa kerana Negeri Sembilan mempunyai struktur adat dan perlembagaan negeri yang berbeza berbanding negeri lain.

“Berbincanglah dengan baik dan berhemah kerana orang Melayu hidup dalam muafakat. Muafakat itu membawa berkat,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berharap krisis politik dan isu berkaitan pelantikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dapat diselesaikan dengan tertib demi kestabilan negeri serta kepentingan rakyat.

Katanya, semua pihak perlu mengutamakan keharmonian, adat, undang-undang tubuh negeri dan kestabilan pentadbiran agar Negeri Sembilan tidak terus terperangkap dalam kemelut politik yang berpanjangan.

#BeritaAAC #KrisisNegeriSembilan #PolitikNegeriSembilan #BNPN #MuafakatMembawaBerkat