
SEREMBAN, 30 Julai 2026 – Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu Lembaga Tabung Haji (TH) membuktikan bahawa tidak wujud sebarang tindakan ‘sakau’, kecurian, mahupun penyalahgunaan dana seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak sebelum ini.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, dapatan daripada dokumen RCI setebal lebih 200 muka surat yang dibuka kepada umum itu mengesahkan tiada sebarang penyelewengan kewangan berlaku dalam institusi berkenaan.
Menurut beliau, dakwaan yang sering dipolitikkan sebelum ini hanyalah berasaskan persepsi, manakala isu sebenar hanya melibatkan teguran berhubung jurang liabiliti kewangan serta kaedah pengagihan hibah kepada pendeposit.
”Apabila dokumen RCI ini didedahkan kepada umum, tidak ada satu pun dapatan yang menyatakan ada pihak yang ‘sakau’, curi, atau rompak duit Tabung Haji. Yang ada hanyalah laporan penilaian liabiliti dan isu pengagihan hibah,” katanya ketika ditemui media baru-baru ini.
Mengulas mengenai agihan hibah, Jamil Khir menjelaskan bahawa keutamaan Tabung Haji sentiasa diberikan kepada para pendeposit menerusi pulangan keuntungan serta bantuan subsidi bagi jemaah yang menunaikan ibadah haji.
Beliau turut menekankan bahawa pengauditan Tabung Haji sebagai sebuah Badan Berkanun di bawah Akta Tabung Haji sentiasa tertunduk di bawah kawal selia Jabatan Audit Negara (JAN), selain turut diaudit oleh firma pengauditan antarabangsa.
”Sejak 2009 hingga 2017, Tabung Haji sentiasa mendapat Sijil Audit Bersih daripada Jabatan Audit Negara. Ini membuktikan tadbir urus kewangan TH sentiasa dipatuhi mengikut saluran yang sah dan patuh syariah,” jelasnya lagi.
Mengenai syor RCI berkenaan kawal selia dan kuasa Menteri, beliau menegaskan bahawa Menteri tidak pernah meluluskan mana-mana permohonan, pelaburan, atau urusan jual beli hartanah secara bersendirian tanpa kelulusan dan syor daripada Lembaga Tabung Haji, Jawatankuasa Pengurusan Risiko, serta Jawatankuasa Pelaburan.
Beliau berharap dengan pendedahan laporan RCI ini, masyarakat dapat memahami situasi sebenar dan tidak terus menjadikan Tabung Haji sebagai bahan spekulasi politik yang boleh menjejaskan keyakinan pendeposit.
#RCITabungHaji #TabungHaji #JamilKhir #IsuSemasa #BeritaAAC
