
KUALA LUMPUR, 4 Ogos 2026 — Aktivis sosial dari Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr Kalaivanar, mengkritik keras sikap sesetengah ahli politik yang didakwa hanya memanfaatkan isu serta kerja keras Badan Bukan Kerajaan (NGO) sebagai modal politik mereka.
Menurut beliau, wujud budaya di mana wakil rakyat hanya ‘muncul’ atau bertindak selepas NGO turun ke padang untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Beliau menyamakan situasi tersebut seperti “lembu punya susu, sapi dapat nama,” di mana aktivis yang bertungkus-lumus berkorban masa dan tenaga, tetapi hasil kemenangan atau pujian akhirnya diraih oleh parti politik.
”Kita aktivis yang turun ke padang menyelesaikan masalah. Tetapi akhirnya isu tersebut dijadikan modal politik oleh mereka yang tidak mahu turun bekerja. Kebanyakan mereka hanya hebat dengan aktiviti sendiri, melancong ke luar negara dan hilang daripada kawasan,” katanya selepas menghadiri Forum Calon Bebas Malaysia.
Mengulas mengenai amalan rasuah dan manipulasi politik, Dr Kalaivanar turut menegaskan bahawa kemerosotan sesebuah negara berpunca daripada sikap ahli politik yang tidak bertanggungjawab serta pengundi yang mudah diumpan dengan wang menjelang pilihan raya.
Beliau turut menyeru para pengundi agar mempunyai maruah dan kematangan diri dalam menentukan masa depan negara, bukannya sekadar menjual undi demi kepentingan jangka pendek.
Selain itu, beliau meluahkan rasa terkilan apabila isu-isu sensitif seperti pelarian Rohingya, isu Palestin, sentimen agama dan perkauman sering dimanipulasi oleh pihak tertentu semata-mata untuk meraih sokongan politik, sebelum ditinggalkan apabila menimbulkan kemarahan publik.
Bagi mengukuhkan pendekatan calon bebas, beliau mencadangkan agar forum dan sesi dialog berterusan diadakan bersama masyarakat marhaen di kawasan-kawasan bertanding. Langkah ini penting bagi membolehkan rakyat menilai sendiri kewibawaan dan kebolehan calon sebelum diberi mandat pada pilihan raya.
#BeritaAAC #ForumCalonBebas #SuaraRakyat #PolitikMalaysia #Kalaivanar
