
KUALA LUMPUR , 4 Ogos 2026 — Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara mengecam tindakan pimpinan DAP yang didakwa sering menggunakan taktik ugutan untuk keluar daripada Kerajaan Persekutuan demi kepentingan politik parti itu.
Bercakap dalam satu sidang media selepas Forum Calon Bebas Malaysia 2026, Setiausaha/Wakil Sekretariat, Dato’ Dr. Kalaivanar menegaskan bahawa tindakan DAP membangkitkan isu persetujuan dan promosi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta mengancam untuk mengadakan mesyuarat bagi mempertimbangkan kedudukan mereka dalam kerajaan adalah satu ‘taktik kotor’ yang berulang.
”DAP selalu bermain taktik sedemikian. Dulu begini, sekarang pun sama. Mereka sering mengugut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seolah-olah memegang ‘tali hayat’ atau tekanan politik terhadap beliau,” katanya.
Menurut Dr. Kalaivanar, pimpinan kerajaan khususnya Perdana Menteri tidak sepatutnya tunduk kepada sebarang bentuk desakan atau ugutan sedemikian demi mengekalkan kuasa semata-mata.
Sehubungan itu, beliau mencabar Perdana Menteri untuk mengambil langkah berani dan Budiman (gentleman) sekiranya DAP terus menggunakan ancaman keluar kerajaan.
”Jangan asyik mengugut mahu keluar kerajaan. Jika Anwar berani, katakan ‘Okey, kita bubar Parlimen dan adakan pilihan raya’. Itu barulah tindakan seorang gentleman,” tegas beliau lagi.
Kenyataan tersebut hadir susulan timbulnya keresahan di pihak DAP berhubung beberapa isu pentadbiran awam yang menurut mereka perlu diteliti semula di peringkat tertinggi parti.
#PolitikMalaysia #KrisisDAPAnwar #PRU2026 #BubarParlimen #BeritaAAC
