
KUALA LUMPUR , 6 Ogos 2026 – “Saya bukan berasal daripada orang kaya, saya asal budak flat.”
Demikian kata Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar yang berkongsi nostalgia serta kenangan lama ketika hadir menyempurnakan Program Edaran Pek Sajian Kasih di Pasar Malam Flat PKNS Jalan Kuching, di sini.
Menurut beliau, lokasi berkenaan amat istimewa di hatinya kerana beliau merupakan anak jati kawasan berkenaan serta individu yang bertanggungjawab mengikhtiarkan pembukaan pasar malam tersebut sejak tahun 1995.
”Hari ini rasa cukup istimewa kerana saya dibesarkan di Flat PKNS Jalan Kuching ini. Hampir 30 tahun lalu saya yang ikhtiarkan pasar malam di sini, malah dulu setiap minggu saya yang mengutip lesen perniagaan di sini.
”Sebab itu hari ini saya turun bukan sahaja untuk beri bantuan, tetapi turut menyokong peniaga tempatan dengan membeli barangan mereka untuk diinfakkan semula kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui pemberita.
Tambah Datuk Gulam, kepulangannya ke kawasan berkenaan turut mengimbau kembali hubungan eratnya bersama penduduk setempat yang kebanyakannya sudah dikenali sejak sekian lama.
Mengulas mengenai program agihan tersebut, beliau memaklumkan program sumbangan ikhlas itu akan diteruskan di dua lagi lokasi esok, iaitu di Pekan Batu 5 serta Masjid / Surau Jumaat Darul Kifayah, Taman Koperasi Polis 1.
Sementara itu, apabila diajukan soalan mengenai desas-desus atau pandangan ramai yang menganggap beliau sangat sesuai untuk dicalonkan sebagai Wakil Rakyat (YB) di kawasan Batu, Datuk Gulam menjawabnya secara ringkas dan rendah diri.
”Jangan buat kerja Tuhan. Itu semua adalah ketentuan dan takdir daripada Allah SWT,” ujarnya secara berseloroh namun sarat mesej mendalam.
#BeritaAAC #GulamMuszaffar #UMNOBatu #FlatPKNSJalanKuching #PekSajianKasih
