Month: July 2026

​SEREMBAN — Penganalisis Politik, Dr. Azam Rauzan menggesa semua jentera dan kepimpinan parti politik agar tidak terperangkap dengan pelbagai provokasi luaran serta spekulasi media sosial menjelang pilihan raya, sebaliknya memberikan tumpuan penuh untuk mencapai kemenangan terlebih dahulu.

​Mengulas mengenai desas-desus pembentukan kerjasama ‘Perikatan Barisan Nasional’ (PBN) yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Hamzah Zainuddin, beliau menyifatkan dakwaan berkenaan tidak lebih daripada sekadar taktik kempen (tactical move) dan gerakan saraf (black ops) untuk memprovokasi pelbagai pihak.

​”Dalam dunia politik, tiada yang kekal atau confirm. Jangan kita terlalu mengangkat diri sendiri. Istilah PBN ini hanyalah semangat kempen yang keterlaluan. Kita tidak perlu terlalu sensitif atau terus bereaksi, sebaliknya kekal tenang, senyum dan fokus kepada kerja,” katanya ketika ditemui dalam program Sembang Kopi baru-baru ini.

​Beliau turut mengulas mengenai penularan hantaran di media sosial yang mendakwa wujud pakatan melantik Timbalan Menteri Besar daripada PAS sekiranya Barisan Nasional (BN) menang di Negeri Sembilan. Menurutnya, isu berkenaan adalah perkara ‘merapu’ yang bertujuan melagakan parti.

​”Isu siapa jadi Menteri Besar atau Timbalan, kita sapu tepi dulu. Menanglah dahulu baru kita pilih. Malah PAS sendiri sudah memberi kenyataan tidak mengejar sebarang jawatan, dan itu satu sikap yang perlu dihormati,” tambahnya.

​Dalam pada itu, Dr. Azam turut memberikan amaran mesra kepada calon-calon bertanding agar tidak sesekali menyentuh isu sensitif berkaitan adat dan institusi Raja semata-mata untuk menjadi ‘hero’ politik.

​Pengalaman lebih 30 tahun dalam arena politik mengajar beliau untuk memahami watak dan riak manusia. Justeru, beliau mengingatkan seluruh ahli dan jentera BN agar terus setia kepada kepimpinan utama parti.

​”Dalam BN, kita ikut arahan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Beliau adalah kapten kita dan tiada kapten lain. Kepada mereka yang berlainan nada di belakang tetapi ‘cium tangan’ di depan, beringatlah bahawa dalam era kecerdasan buatan (AI) sekarang, tiada apa yang boleh disembunyikan,” tegas beliau.

​Membuat andaian mengenai keputusan pilihan raya akan datang, Dr. Azam menzahirkan keyakinan bahawa BN mampu meraih sekurang-kurangnya 20 daripada 25 kerusi yang ditandingi, manakala perikatan berkenaan berpotensi memenangi sekurang-kurangnya lima kerusi sasaran.

​”Jaga jentera, jaga ukhuwah. Lupakan perkara yang tidak perlu dan teruskan bekerja demi rakyat,” katanya mengakhiri bicara.

#BeritaAAC #DrAzamRauzan #PolitikMalaysia #BarisanNasional #PerikatanNasional

LINGGI, 25 Julai 2026 — Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N32 Linggi, Datuk Faizal Ramli, memohon agar para pengundi di kawasan berkenaan terus memberikan mandat kepada beliau untuk menggalas tanggungjawab pada penggal akan datang.

​Menurut bekas penyandang kerusi DUN Linggi itu, tempoh perkhidmatannya selama dua tahun lapan bulan sebelum ini agak singkat untuk beliau memberikan khidmat yang terbaik secara menyeluruh kepada segenap lapisan masyarakat di situ.

​”Selama dua tahun lapan bulan ini, ia bukanlah satu masa yang mencukupi untuk saya memberikan khidmat yang terbaik kepada semua pengundi di kawasan Linggi ini. Insya-Allah, jika diberi kepercayaan sekali lagi, saya akan buat yang lebih baik,” katanya ketika ditemui dalam satu sesi temubual bersama Dr. Azam Rauzan.

​Menyentuh mengenai persaingan tiga penjuru yang berlaku di DUN Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, Faizal menegaskan beliau bersiap sedia dan bersikap terbuka untuk berdepan dengan mana-mana calon.

​Jelas beliau, Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi yang memberi ruang dan kebebasan kepada mana-mana pihak untuk bertanding di kawasan pilihan mereka.

​”Saya secara terbuka dan berlapang dada akan menentang sesiapa sahaja. Sebagai penyandang, saya akan memastikan Barisan Nasional kekal menang di Linggi. Kita bersaing secara sihat dan saya yakin sesiapa yang terpilih kelak akan berkhidmat yang terbaik untuk masyarakat,” tambah beliau lagi.

​Dr. Azam turut menambah bahawa kuasa menentukan kepimpinan kawasan tersebut terletak sepenuhnya di tangan rakyat yang akan menentukan masa depan DUN N32 Linggi.

#BeritaAAC #PRNNismilan #DUNLinggi #BarisanNasional

JELEBU – Penduduk Orang Asli Kampung Tohor di sini menyatakan ikrar sokongan penuh kepada Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya, sambil mengenang pelbagai sumbangan dan pembangunan yang pernah dibawakan oleh gabungan tersebut di kawasan mereka.

​Menurut seorang wakil penduduk tempatan, Angkong, 30-an, sokongan masyarakat Orang Asli di situ tidak pernah berganjak berasaskan rekam jejak BN yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan penduduk minoriti.

​Malah, beliau secara terbuka meluahkan rasa terhutang budi kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak — yang mesra disapa ‘Bossku’ — atas bantuan asas seperti pembinaan rumah dan premis infrastruktur jalan raya yang dinikmati penduduk sehingga kini.

​”Sebab dulu memanglah kita kenang, walaupun beliau sudah kena penjara, beliau tetap ‘Bossku’ kami. Saya ini tidak bersekolah, tidak pandai membaca, tetapi saya tahu apa yang betul.

​”Dia banyak membantu kampung kami — dapat rumah, jalan raya dibaiki, semuanya ada semasa pentadbiran dulu,” katanya ketika ditemui dalam satu wawancara khas.

​Bercakap mengenai sejarah penempatan, Angkong memberitahu bahawa struktur rumah papan di kampung tersebut telah dibina seawal tahun 1985 lagi di bawah pentadbiran kerajaannya.

​Mengulas harapan penduduk setempat sekiranya BN kembali diberi mandat, Angkong menegaskan bahawa isu utama yang perlu diberi perhatian segera ialah penambahan lot tanah adat dan tanah pertanian.

​Jelasnya, pertambahan bilangan isi rumah menyebabkan kawasan rizab sedia ada semakin padat dan tidak mencukupi untuk generasi muda menampung kelangsungan hidup.

​”Bila menang nanti, kami betul-betul minta keutamaan diberikan kepada tanah adat atau tanah perkebunan. Penduduk kampung bergantung hidup kepada hasil pertanian.

​”Sekarang sudah ada peraih dan tauke yang datang membeli hasil seperti pucuk ubi dan sayur-sayuran, jadi jika ada tanah tambahan, ia dapat meningkatkan taraf ekonomi kami di sini,” tambah Angkong.

#BeritaAAC #OrangAsliKgTohor #SuaraMasyarakat #PilihanRayaN9 #TanahAdat

KUALA LUMPUR, 26 Julai 2026 – Barisan Nasional (BN) optimis dan yakin mampu mendapat mandat bagi membentuk Kerajaan Negeri di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

​Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Malaysia merangkap Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mohd Razlan Rafii menyatakan keyakinan tersebut sambil berharap BN sekurang-kurangnya berjaya meraih majoriti mudah (simple majority).

​”Di Negeri Sembilan, kita yakin kita dapat menubuhkan kerajaan, insya-Allah. Kita bukanlah mahu mendabik dada atau sebaliknya, cuma kita mendoakan dan berharap kita dapat menubuhkan kerajaan.

​”Majoriti mudah pun insya-Allah, alhamdulillah. Kita doakan kejayaan Barisan Nasional,” katanya ketika ditemui dalam satu wawancara khas baru-baru ini.

​Keyakinan itu menyuarakan harapan serta fokus utama parti dalam memastikan kestabilan politik dan pentadbiran di negeri berkenaan demi kesejahteraan rakyat.

#BeritaAAC #BarisanNasional #PRNNismilan #NegeriSembilan #UMNO

​KUALA LUMPUR , 26 Julai 2026 — Keikhlasan Pakatan Harapan (PH) dalam menjalin kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) kini dipersoalkan oleh pimpinan UMNO peringkat bahagian.

​Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim (Datuk Tom) menganggap ketegangan atau rasa tidak puas hati yang timbul dalam kalangan pemimpin UMNO terhadap PH adalah wajar dan berasas.

​Mengulas mengenai rasa geram yang disuarakan oleh rakan seperjuangannya, Datuk Roslan, beliau menegaskan bahawa sebuah ikatan kerjasama atau persahabatan politik seharusnya dibina atas dasar keikhlasan yang tulen.

​”Memang patut geramlah, sebab kita rasa ‘kawan’ itu tidak ikhlas dan ada yang menimbulkan tanda soal,” katanya ketika ditemui.

​Menurut beliau, prinsip persahabatan yang sejati perlu dipertahankan sekiranya mahu sesuatu kerjasama itu kekal untuk jangka masa panjang.

​”Kata orang, kalau nak berkawan kita kena kawan secara ikhlas… kawan betul-betul. Barulah persahabatan itu akan kekal. Kesetiaan dalam kawan itu sangat penting,” tegasnya.

​Ulasan tersebut memberi gambaran bahawasanya masih terdapat riak-riak ketidakpuasanjatian di peringkat akar umbi berhubung dinamik hubungan dan kesetiaan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan hari ini.

#BeritaAAC #UMNO #KerajaanPerpaduan #PolitikMalaysia #PakatanHarapan

KUALA LUMPUR , 26 Julai 2026 – Ketua UMNO Bahagian Seputeh merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Mohd Razlan Rafii menyelar tindakan pihak tertentu yang didakwa sengaja membangkitkan semula isu Tabung Haji semata-mata untuk kepentingan politik menjelang pilihan raya.

​Menurut Razlan, tindakan tersebut dilihat sebagai percubaan untuk mengalihkan perhatian umum daripada isu-isu utama seperti dakwaan rasuah, isu kerugian pelaburan ARM bernilai RM1 bilion yang tidak memberi keuntungan kepada kerajaan serta isu RM200 juta yang melibatkan KWAP.

​Beliau menegaskan bahawa pihak Barisan Nasional (BN) sebelum ini mengambil sikap berdisiplin dan tidak mengusik mana-mana pihak sepanjang tiga tahun setengah tempoh pentadbiran, namun terpaksa tampil mempertahankan diri apabila terus dituduh dan dilemparkan dengan pelbagai andaian negatif.

​Mengulas mengenai dakwaan penyelewengan dalam Tabung Haji, Razlan mempersoalkan tindakan melengahkan kes berkenaan sekiranya benar wujud sebarang kesalahan jenayah.

“Kalau ada penyelewengan, itu kesalahan jenayah. Buat saja pendakwaan, tidak ada masalah. Tapi dah lapan tahun mereka simpan dan tidak membangkitkannya, tiba-tiba menjelang pilihan raya baharu nak dibangkitkan untuk memburuk-burukkan kawan sendiri. Pada pandangan saya, itu tidak profesional,” tegasnya ketika ditemui.


​Tambah beliau lagi, tindakan memomokkan isu kebangkitan atau kebankrapan Tabung Haji seperti yang pernah berlaku pada tahun 2018 hanya menjejaskan pasaran saham dan pelaburan institusi tersebut, sekali gus memberi dampak negatif kepada ekonomi masyarakat Melayu.

​Sehubungan itu, beliau menggesa agar semua pihak menghentikan tetingkah politik yang memanipulasi institusi agama dan Melayu demi meraih kemenangan politik, sebaliknya bersama-sama menjaga keharmonian dan kepentingan rakyat.

#BeritaAAC #RazlanRafii #IsuTabungHaji #UMNOBahagianSeputeh #PolitikMalaysia

​SEREMBAN – Suara pengundi peringkat akar umbi di DUN Ampangan terus menjadi tumpuan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN). Dalam satu bualan mesra bersama Dr. Azam di sebuah kelab makan tempatan di Ampangan, pandangan menarik telah dikongsikan oleh seorang pengundi veteran tempatan, Ibu Noliza Baharuddin, 70.

​Ibu Noliza, yang dilahirkan di Seremban dan kini menetap di Ampangan, menzahirkan pandangannya mengenai senario politik semasa. Sebagai penyokong tegar Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama, beliau berharap pimpinan baharu kelak mampu mengembalikan kebangkitan dan membawa perubahan yang lebih baik demi kebaikan masyarakat setempat.

​”Kita mahu bangkit semula, buat benda yang baik, dan ubah apa yang perlu demi generasi akan datang, terutamanya untuk orang Melayu dan Islam kita,” kata Ibu Noliza. Beliau turut menyeru seluruh rakyat Negeri Sembilan agar membuka minda dan memilih pimpinan yang benar-benar ikhlas serta berkhidmat demi kemakmuran bersama.

​Mengulas mengenai pentadbiran pentas politik Negeri Sembilan kini, beliau mengakui keharmonian negeri sentiasa terpelihara, namun mengharapkan wakil rakyat yang bakal dipilih di DUN Ampangan nanti lebih sensitif dan kerap mendampingi masyarakat akar umbi.

​Pertemuan santai tersebut turut diserikan dengan petua kesihatan daripada Ibu Noliza yang kekal bertenaga pada usia 70 tahun dengan mengamalkan minum air suam, selain pesanan penuh hikmah agar kepimpinan akan datang sentiasa mengutamakan kerendahan diri dan amanah dalam mentadbir.

#PRNNegeriSembilan #DUNAmpangan #SuaraAkarUmbi #BeritaAAC #PolitikMSIA

AMPANGAN , 25 Julai 2026– Kerjasama di antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai langkah taktikal (tactical move) bersifat sementara mengikut keperluan negeri, bukannya gabungan kekal secara menyeluruh.

​Penganalisis politik / pemerhati, Dr. Azam Rauzan menegaskan bahawa bentuk kerjasama sedemikian merupakan apa yang dihajatkan oleh rakyat, khususnya masyarakat Melayu yang mahukan kesatuan dan ukhuwah dalam perjuangan politik.

​”Ia bukan satu gabungan atau kolaborasi kekal, tetapi satu tactical move—kerjasama sementara atas dasar negeri ke negeri. Inilah sebenarnya yang diharapkan oleh rakyat Malaysia dan orang Melayu, iaitu kesatuan ukhuwah,” katanya dalam sesi temubual Sembang Kopi.

Chennah Bakal Buat Kejutan

Mengulasmengenai suasana kempen pilihan raya di Negeri Sembilan, Dr. Azam yang sempat turun ke perkampungan Orang Asli di Kampung Toha, Chennah meluahkan rasa optimis terhadap moral serta jentera kerja BN dan PN di kawasan berkenaan.

​Beliau meramalkan DUN Chennah yang kini disandang oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH), Anthony Loke, berpotensi menampilkan kejutan hasil kesepakatan jentera BN-PN.

​”Dengan semangat dan jentera kerja antara BN dan PN yang mula berputik, saya rasa Chennah akan membuat satu kejutan,” katanya.

Elak Tamak dan ‘Puji Diri’

Dalam pada itu, Dr. Azam turut mengingatkan para pemimpin dan jentera parti agar tidak bersikap tamak, mementingkan diri, atau terlalu megah dengan peranan masing-masing dalam membina kerjasama tersebut.

​Beliau menegaskan bahawa niat utama dalam politik sepatutnya berteraskan perjuangan dan takdir, bukannya semata-mata mengejar posisi sebagai calon atau menteri.

​”Jangan tamak, jangan puji diri sendiri kononnya kita jadi ‘jambatan’. Orang tak suka. Yang penting ialah kejujuran, keikhlasan dan menjaga tutur kata. Siapa yang dapat menjaga mulut dan berdisiplin, mereka yang akan berjaya,” tambah beliau.

#BeritaAAC #SembangKopi #PRN2026 #PolitikMalaysia #BNPN

SEREMBAN, 24 Julai 2026– Ahli dan penyokong parti Barisan Nasional (BN) kini berada pada tahap keyakinan tertinggi menjelang hari pengundian, berikutan maklum balas positif yang diterima daripada pelbagai lapisan masyarakat di Negeri Sembilan.

​Presiden Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Datuk Seri Syed Ibrahim menyatakan bahawa hasil tinjauan dan gerak kerja turun padang mendapati para pengundi di negeri itu kini semakin sedar akan kepentingan memilih sebuah pentadbiran yang stabil.

​Menurut beliau, dapatan di lapangan menunjukkan rakyat merindui serta mahukan pentadbiran Barisan Nasional kembali mengukuhkan pentadbiran di Negeri Sembilan.

“Alhamdulillah, kita dapat lihat pengundi-pengundi pun dah sedar dan mereka sanggup untuk mengundi ‘biru’ kali ini. Mana-mana kita pergi pun, mereka sokong Barisan Nasional kerana mahukan satu pentadbiran yang kekal dan stabil,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

​Tambah Syed Ibrahim, perubahan dapat dirasakan apabila rakyat mula membandingkan suasana pentadbiran terdahulu dengan situasi semasa, sekali gus mahukan perubahan demi menjamin kesejahteraan rakyat di Negeri Sembilan.

​Apabila ditanya mengenai peluang kemenangan, beliau optimis bahawa sokongan terhadap BN tidak hanya terhad kepada satu-satu kaum, sebaliknya merangkumi seluruh masyarakat majmuk.

“Daripada pandangan saya selepas turun padang dan berjumpa pelbagai kelompok pengundi, jawapannya memang positif. Gelombang biru ini bukan sahaja dirasai oleh masyarakat Melayu, malah masyarakat India dan Cina juga memberikan maklum balas yang sangat baik,” jelas beliau lagi.

​Beliau berharap agar momentum ‘Gelombang Biru’ ini dapat diterjemahkan kepada kertas undi seterusnya membawa kestabilan politik di Negeri Sembilan.

#BeritaAAC #PRNNSembilan #BarisanNasional #GelombangBiru #PolitikMalaysia

SEREMBAN, 24 Julai 2026 – Parti Makkal Sakhti Malaysia menyuarakan sokongan padu terhadap pelancaran manifesti Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sambil menegaskan komitmen untuk meneruskan agenda pembangunan di negeri tersebut.

​Presiden Makkal Sakhti Malaysia, Datuk Sri Thanenthiran berkata, pelancaran manifesti tersebut merupakan satu langkah penting untuk memastikan kesinambungan pelbagai projek berimpak tinggi yang telah dan sedang dilaksanakan di bawah pentadbiran BN.

​Menerusi satu temubual ringkas, beliau memberi tumpuan kepada usaha pembaharuan struktur pentadbiran dan pembangunan yang disifatkan sebagai proses “menukar bumbung” dan bukannya merobohkan binaan asal yang sudah kukuh.

“Kita bukannya mahu merobohkan, sebaliknya kita mahu membuat penukaran bumbung. Dengan kejayaan ini, kita yakin Negeri Sembilan akan mendapat satu pembaharuan dari segi kemajuan dan juga peningkatan ekonomi,” ujar beliau.


​Mengulas lanjut mengenai pencapaian sedia ada, Thanenthiran menyorot projek-projek strategik seperti Malaysia Vision Valley (MVV) dan Lembah Pendidikan di Sendayan yang terbukti memberi impak positif kepada pemodenan fizikal serta sosioekonomi penduduk tempatan.

​Beliau turut menekankan bahawa agenda pembaharuan di bawah BN bakal membuka puluhan ribu peluang pekerjaan baharu serta melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan rakyat tempatan, sekaligus menangani isu kekurangan peluang pekerjaan dan pengangguran.

​Sehubungan itu, Makkal Sakhti menaruh harapan tinggi agar Barisan Nasional terus diberi mandat untuk menerajui dan memimpin pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.

#BeritaAAC #PRNNSembilan #BarisanNasional #MakkalSakhti #PembangunanNS