
KUALA LUMPUR , 26 Julai 2026 – Ketua UMNO Bahagian Seputeh merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Mohd Razlan Rafii menyelar tindakan pihak tertentu yang didakwa sengaja membangkitkan semula isu Tabung Haji semata-mata untuk kepentingan politik menjelang pilihan raya.
Menurut Razlan, tindakan tersebut dilihat sebagai percubaan untuk mengalihkan perhatian umum daripada isu-isu utama seperti dakwaan rasuah, isu kerugian pelaburan ARM bernilai RM1 bilion yang tidak memberi keuntungan kepada kerajaan serta isu RM200 juta yang melibatkan KWAP.
Beliau menegaskan bahawa pihak Barisan Nasional (BN) sebelum ini mengambil sikap berdisiplin dan tidak mengusik mana-mana pihak sepanjang tiga tahun setengah tempoh pentadbiran, namun terpaksa tampil mempertahankan diri apabila terus dituduh dan dilemparkan dengan pelbagai andaian negatif.
Mengulas mengenai dakwaan penyelewengan dalam Tabung Haji, Razlan mempersoalkan tindakan melengahkan kes berkenaan sekiranya benar wujud sebarang kesalahan jenayah.
“Kalau ada penyelewengan, itu kesalahan jenayah. Buat saja pendakwaan, tidak ada masalah. Tapi dah lapan tahun mereka simpan dan tidak membangkitkannya, tiba-tiba menjelang pilihan raya baharu nak dibangkitkan untuk memburuk-burukkan kawan sendiri. Pada pandangan saya, itu tidak profesional,” tegasnya ketika ditemui.
Tambah beliau lagi, tindakan memomokkan isu kebangkitan atau kebankrapan Tabung Haji seperti yang pernah berlaku pada tahun 2018 hanya menjejaskan pasaran saham dan pelaburan institusi tersebut, sekali gus memberi dampak negatif kepada ekonomi masyarakat Melayu.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar semua pihak menghentikan tetingkah politik yang memanipulasi institusi agama dan Melayu demi meraih kemenangan politik, sebaliknya bersama-sama menjaga keharmonian dan kepentingan rakyat.
#BeritaAAC #RazlanRafii #IsuTabungHaji #UMNOBahagianSeputeh #PolitikMalaysia
