Month: July 2026

​SEREMBAN, 29 Julai 2026 – Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan semakin menghampiri kemuncaknya dengan suhu politik yang dilaporkan kian hangat serta diwarnai pelbagai dinamik baharu di lapangan.

​Bercakap dalam sesi Sembang Kopi, Tokoh Politik / Penganalisis, Dr. Azam Rauzan berkongsi pemerhatian beliau selepas menghabiskan beberapa hari berkempen di Negeri Sembilan menjelang hari pengundian pada Sabtu ini.

​Menurut beliau, suasana kempen masa kini dipenuhi pelbagai insiden serta taktik politik termasuk provokasi, kenyataan berbentuk ‘black ops’, hinggalah kepada dakwaan pelbagai imbuhan di lapangan.

​”Keadannya semakin rancak, panas, dan macam-macam berlaku. Ada isu duit jatuh dari langit, pelbagai provokasi, serta kenyataan-kenyataan black ops. Namun, saya yakin rakyat Negeri Sembilan adalah pengundi yang matang,” katanya.

​Dr. Azam turut menyuarakan keyakinan bahawa ‘Gelombang Biru’ dan sentimen perubahan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) bakal terselak sebaik sahaja keputusan pilihan raya diumumkan.

​Mengulas mengenai hala tuju pentadbiran, beliau mengimbat rekod pentadbiran Barisan Nasional (BN) selama 62 tahun di negeri itu sebelum terhenti pada 2018. Bagi beliau, tempoh kegagalan atau kelemahan lalu memberi pengajaran berguna kepada rakyat untuk menilai keupayaan sebenar parti-parti yang bertanding.

​Di samping itu, beliau menyentuh mengenai penampakan kerjasama baharu atau pergerakan taktikal antara Barisan Nasional dan Perikatan Nasional di sesetengah kawasan. Beliau mengingatkan semua pihak agar tidak terlalu ghairah atau sibuk berebut jawatan seperti Menteri Besar atau Perdana Menteri.

​”Siapa yang bakal jadi Perdana Menteri atau Menteri Besar Negeri Sembilan, itu bukan kerja kita, itu kerja Allah. Apa yang penting, kita sabar, nikmati proses ini, dan lakukan post-mortem selepas pilihan raya untuk melihat kebaikan serta kelemahan kerjasama yang berlaku,” tegas beliau.

​Mengakhiri perkongsiannya, Dr. Azam menyeru seluruh rakyat Negeri Sembilan supaya kekal tenang dan menyerahkan keputusan akhir kepada ketentuan ilahi serta kuasa memilih di tangan rakyat.

#PRNNegeriSembilan #GelombangBiru #SembangKopiAAC #PolitikMalaysia #BeritaAAC

PORT DICKSON — Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Lenggeng, Dato’ Haji Asna, disifatkan sebagai seorang figura politik yang unik dan serba boleh selepas berjaya menarik perhatian serta sokongan pelbagai lapisan masyarakat di kawasan berkenaan.

​Dalam satu sesi Sembang Kopi bersama Dr. Azam Rauzan dan Syed Rosli, kriteria serta latar belakang calon nombor dua DUN Lenggeng itu menjadi topik perbincangan hangat, khususnya mengenai penerimaan masyarakat setempat dan kebolehan peribadinya.

​Menurut Syed Rosli, dalam siri walkabout dan program turun padang di Lenggeng, beliau menyaksikan sendiri bagaimana kempen BN berjaya menembusi kawasan Pantai—wilayah yang sebelum ini disifatkan sebagai “kubur kuat” PAS dan sukar diakses oleh UMNO.

​”Sebelum ini, UMNO memang sukar untuk masuk ke kawasan itu. Namun, menerusi ukhuwah dan semangat perpaduan bersama rakan-rakan Perikatan Nasional (PN) dan PAS, kita kini diterima baik, malah dapat bersemuka serta berceramah bersama ahli-ahli mereka,” katanya.

​Selain liputan politik, keistimewaan peribadi Dato’ Haji Asna turut menjadi perhatian. Beliau difahamkan mempunyai kebolehan perubatan tradisional untuk membantu individu yang mengalami gangguan sihir atau saka, selain sifat dermawannya yang banyak menyalurkan peruntukan peribadi untuk membantu rakyat ketika pandemik COVID-19.

​Dari segi latar belakang pendidikan dan kepimpinan, Dato’ Haji Asna merupakan Pengarah Urusan bagi dua buah kolej teknikal, iaitu Kolej Ibnu Sina Teknikal dan Kolej Teknikal Bumiputera. Visi dan misinya yang jelas dalam memperkasa pendidikan Bumiputera menjadikannya calon yang komited dan berwawasan.

​Sementara itu, Dr. Azam Rauzan menegaskan bahawa strategi pemilihan calon berasaskan kualiti, daya tarikan (flair), dan kebolehan memenangi hati rakyat—bukan sekadar hirarki parti—adalah kunci utama kejayaan politik masa kini.

​Tambah mereka, sambutan positif daripada masyarakat Tionghua di kawasan Kampung Baru Cina berhampiran Seremban juga memberi petanda awal kewujudan ‘gelombang biru’ yang kini mula melanda dari Johor ke Negeri Sembilan.

#DUNLenggeng #PRNNS #SembangKopi #BeritaAAC #PolitikMalaysia

​LINGGI, 28 Julai 2026 — Kempen Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dilihat lebih mudah berbanding siri pilihan raya terdahulu ekoran peningkatan kesedaran rakyat serta respon positif daripada pengundi di lapangan.

​Ketua UMNO Bahagian Damansara, Datuk Mohamad Azli Mohamed Saad berkata, perubahan tersebut jelas terlihat melalui bahasa badan (body language) dan sikap pengundi yang kini lebih terbuka untuk mendekati jentera parti.

​”Sebenarnya kempen BN kali ini nampak lebih mudah kerana kesedaran rakyat semakin meningkat. Melalui body language sahaja kita sudah tahu penerimaan mereka.

​”Jika dahulu ada yang enggan mendekati jentera apabila melihat baju BN, kali ini berbeza — mereka sendiri yang datang menegur dan menyapa kita,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

​Mengulas lanjut mengenai peluang kemenangan, Mohamad Azli menyuarakan keyakinan bahawa BN berpotensi meraih keputusan yang lebih cemerlang, khususnya di Negeri Sembilan.

​Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan jentera BN supaya tidak leka dan terus menguruskan isu-isu tempatan serta isu semasa yang dimainkan pihak lawan dengan teliti.

​”Kempen kali ini secara keseluruhannya lebih lancar berbanding dahulu. Cuma fokus kita sekarang adalah untuk menjaga dan mengurus isu-isu tertentu yang dimainkan.

​”Insya-Allah, saya yakin BN mampu meraih kemenangan yang lebih besar di Negeri Sembilan,” jelas beliau lagi.

#BeritaAAC #BarisanNasional #UMNO #PRNNegeriSembilan #PerikatanNasional #BNPN

LINGGI, 28 Julai 2026 — Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Dato’ Sri Jamal Md Yunos menyuarakan keyakinan tinggi bahawa pengundi di Negeri Sembilan bakal membuat kejutan dengan memilih gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya akan datang.

​Menurut beliau, keyakinan itu bersandarkan kepada reaksi serta ‘bahasa badan’ (body language) pengundi dan penduduk setempat yang dinilai sepanjang suasana kempen berlangsung.

​Beliau mendakwa, rata-rata pengundi di Negeri Sembilan kini mula menunjukkan corak penolakan terhadap Pakatan Harapan (PH) berikutan pelbagai sentimen semasa.

​”Kalau lihat daripada suasana kempen dan body language penduduk atau pengundi di Negeri Sembilan, saya amat yakin mereka akan memilih BN dan Perikatan Nasional serta menolak PH,” katanya ketika ditemui media.

​Mengulas lanjut, Jamal mendakwa sentimen umum yang kedengaran di lapangan ketika ini adalah kegelisahan pengundi terhadap pengaruh DAP di dalam Pakatan Harapan.

​”Mereka kata, undi PH dapat DAP. Jadi insya-Allah, pada 1 Ogos nanti, Barisan Nasional bersama dengan Perikatan Nasional akan dapat membentuk kerajaan di Negeri Sembilan ini,” katanya lagi.

​Kenyataan berkenaan dijangka menambah kehangatan suhu politik semasa, khususnya dalam persaingan merebut sokongan pengundi Melayu di negeri berkenaan.

#BeritaAAC #JamalYunos #PRNNS #PolitikMalaysia #BarisanNasional #PerikatanNasional #BNPN

LINGGI , 28 Julai 2026 – Fenomena ‘Gelombang Biru’ yang melanda landskap politik tanah air disifatkan sebagai satu realiti dan bukannya sekadar omongan kosong atau ‘memokkan’.

​Ketua UMNO Bahagian Bangi merangkap Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Dato’ Dr Zaidi Md Zain berkata, keyakinan itu berpandukan kejayaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya di Johor sebelum ini yang menyaksikan kemenangan besar 48 kerusi.

​Menurut beliau, momentum berkenaan kini dilihat semakin berkembang dan mula melanda Negeri Sembilan dengan unjuran mampu meraih sekurang-kurangnya dua pertiga majoriti.

​”Gelombang biru ini semakin lama semakin hebat dan bakal meranapkan harapan Pakatan Harapan (PH). Kita dapat rasakan semangat yang cukup tinggi daripada jentera serta penerimaan yang sangat baik daripada semua lapisan pengundi tanpa mengira kaum—Sama ada Melayu, Cina, India mahupun masyarakat Orang Asli,” katanya.

​Tambah beliau, kerjasama serta sokongan saling melengkapi antara penyokong Barisan Nasional dan Perikatan Nasional (PN) khususnya PAS di kawasan bertanding akan menjadi pemangkin utama kekuatan gelombang ini.

​Dato’ Dr Zaidi optimis bahawa perkembangan positif ini bukan sahaja mampu mencipta kejayaan di Negeri Sembilan, malah berpotensi menjadi ‘tsunami politik’ yang akan dibawakannya ke negeri-negeri lain seterusnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.

#BeritaAAC #GelombangBiru #BarisanNasional #PerikatanNasional #PolitikMalaysia

LINGGI, 28 Julai 2026 — Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin meluahkan rasa syukur dan keyakinan bahawa sokongan pengundi di Negeri Sembilan kini menunjukkan isyarat positif menjelang hari pengundian kelak.

​Menurut beliau, angin perubahan dan gelombang sokongan yang pernah dirasai di Johor kini jelas mula dirasai di bumi Negeri Sembilan.

​”Saya amat bersyukur kerana dapat merasakan gelombang yang berlaku di Johor kini sampai ke Negeri Sembilan. Saya yakin gelombang ini akan diterjemahkan melalui kertas undi pada hari pengundian kelak,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau proses pengundian awal.

​Mengulas mengenai trend pengundian awal, Megat Zulkarnain terharu melihat petunjuk awal di media sosial yang menyaksikan rata-rata pengundi memberikan isyarat sokongan kepada Barisan Nasional.

​”Walaupun tidak dimaklumkan secara terbuka, mesej yang disampaikan jelas bahawa mereka telah mengundi ‘biru’. Kita dapat rasakan ‘vibes’ tersebut terutamanya daripada pengundi Melayu yang mahukan penyatuan ini benar-benar membawa kejayaan di Negeri Sembilan,” tambah beliau.

​Dalam pada itu, beliau turut menepis kerisauan sesetengah pihak terutamanya pengundi bukan Melayu mengenai persefahaman politik yang dibentuk. Beliau menegaskan bahawa pengalaman BN mentadbir negara lebih 60 tahun membuktikan tiada mana-mana kaum yang pernah ditindas.

​”Pengundi bukan Melayu tidak perlu risau. BN mempunyai pengalaman luas mengurus pelbagai kaum dan agama. Rekod kita membuktikan kesemua pihak terbela di bawah pentadbiran BN,” jelasnya.

​Ketika ditanya mengenai masa depan kerjasama politik antara BN dan Perikatan Nasional (PN) di peringkat negeri lain seperti Melaka mahupun persediaan ke Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Megat Zulkarnain berharap model kerjasama ini terus kukuh.

​Beliau menegaskan bahawa keputusan PRN Negeri Sembilan bakal menjadi suara keramat rakyat yang mahukan kestabilan politik, ekonomi, sosial serta pemeliharaan adat istiadat tempatan.

​”Langkah terbaik untuk memastikan kestabilan adalah dengan memberikan mandat penuh kepada BN dan rakan persefahaman (PN). Kita mahu sebuah kerajaan yang stabil bukan sahaja dari sudut politik dan ekonomi, malah mempertahankan sandaran adat yang telah wujud ratusan tahun di Negeri Sembilan,” katanya.

#BeritaAAC #PRNNegeriSembilan #MegatZulkarnain #BarisanNasional #PerikatanNasional

SEREMBAN, 28 Julai 2026 – Barisan Nasional (BN) memilih untuk kekal berendah diri dan menganggap gabungan itu sebagai ‘underdog’ dalam saingan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini.

​Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian tersebut penting bagi memastikan jentera parti tidak bersikap mendabik dada atau overconfident, sekali gus mengelakkan sebarang kekhilafan sepanjang tempoh kempen yang berbaki.

​” kita memang underdog dalam perkara ini. Sebagai parti gabungan yang underdog, kita bekerja dengan penuh rendah diri dan merayu kepada para pengundi di seluruh Negeri Sembilan agar memberikan peluang semula kepada kami.

​”Pegangan sebagai underdog ini penting untuk jentera parti supaya tidak terlepas pandang mana-mana kumpulan sasaran, biarpun sekecil mana kumpulan itu,” katanya pada sidang media, di sini.

​Ahmad Zahid turut mengulas laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai peratusan keluar mengundi awal yang sangat tinggi melebihi 88 peratus. Beliau menyifatkan ia sebagai petanda positif dan berharap trend tersebut berterusan pada hari pengundian kelak.

​Mengulas mengenai sasaran kerusi serta desas-desus bakal calon Menteri Besar Negeri Sembilan, beliau menegaskan keutamaan BN ketika ini adalah untuk melepasi garis kemenangan terlebih dahulu.

​”Sebagaimana yang dinyatakan Setiausaha Agung UMNO, kita ada calon-calon yang berwibawa. Namun, kita akan kemukakan yang terbaik apabila kita melintasi jambatan itu kelak (when we cross the bridge),” jelasnya.

​Dalam pada itu, beliau mengulang janji manifesto BN untuk menawarkan 50,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh lima tahun serta pemerkasaan latihan TVET bagi membolehkan tenaga kerja muda menerima gaji premium di Negeri Sembilan.

#BeritaAAC #PRNNegeriSembilan #ZahidHamidi #BarisanNasional

PORT DICKSON – Sesi perbualan santai menerusi ruang ‘Sembang Kopi’ antara Dr Azam Rauzan dan jurubicara politik Syed Rosli di Tasik Villa Resort, Port Dickson, mencetuskan persoalan hangat berhubung strategi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan.

​Dalam sesi tersebut, kedua-dua penganalisis politik berkenaan memfokuskan perbincangan terhadap fenomena “lompat kawasan” yang sering berlaku dalam kalangan pemimpin politik tanah air.

​Dr Azam membangkitkan persoalan mengenai tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun, yang bertindak berpindah dari kawasan DUN Sikamat—yang disandangnya selama empat penggal—ke DUN Linggi.

​”Ratusan pemilih Melayu di Sikamat kini melepasi 80 peratus. Kenapa secara tiba-tiba MB mahu berpindah ke DUN Linggi yang dikenali sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN)?” soal Dr Azam dalam sesi tersebut.

​Beliau mengulas lanjut bahawa perubahan demografi dan kebangkitan gelombang sokongan rakyat mungkin menjadi punca ketakutan pemimpin terbabit untuk terus bertahan di kawasan lama. Menurut Dr Azam, perpindahan ke kawasan baharu seperti Linggi—yang mempunyai kira-kira 40 peratus pengundi Cina—mungkin dilihat sebagai strategi selamat, walaupun landskap politik pengundi bukan Melayu juga sudah mula menunjukkan perubahan.

​Sementara itu, Syed Rosli berpendapat tindakan sering bertukar kawasan DUN atau Parlimen boleh merugikan masyarakat setempat.

​”Apabila seseorang wakil rakyat kerap berpindah kawasan, khidmat kepada rakyat akan terjejas. Perkhidmatan terbaik tidak dapat diberikan secara penuh kerana pemimpin baharu memerlukan masa sekurang-kurangnya satu hingga dua tahun hanya untuk mengenali komuniti dan pemimpin setempat,” jelas Syed Rosli.

​Selain itu, sesi perbualan tersebut turut menyentuh aspek keperluan latar belakang pendidikan formal dalam politik, di mana Syed Rosli menegaskan bahawa politik bersifat sangat subjektif dan kejayaan seseorang wakil rakyat lebih bergantung kepada kebolehan membina hubungan serta memenuhi keperluan rakyat pada masa yang tepat.

#BeritaAAC #PRNNSembilan #SembangKopi #PolitikMalaysia #DUNLinggi

LABU,  27 Julai 2026 – Barisan Nasional (BN) yakin mampu merealisasikan sasaran pelaburan RM30 bilion secara konsisten setiap tahun di Negeri Sembilan sekiranya diberi mandat semula untuk menerajui pentadbiran negeri.

​Pengerusi BN Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan berkata, sasaran tersebut tidak mustahil untuk dicapai memandangkan Malaysia kini menjadi antara destinasi pelaburan utama pilihan pelabur luar di rantau Asia Tenggara berikutan krisis kestabilan di beberapa wilayah lain di dunia.

​”Kedudukan Negeri Sembilan amat strategik kerana terletak berhampiran Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dan mempunyai kemudahan infrastruktur yang baik. Justeru, tidak susah untuk kita memasarkan Negeri Sembilan.

​”Apa yang kita gariskan dalam manifesto adalah sesuatu yang boleh dicapai dan merupakan kesinambungan kerja-kerja yang tergendala sebelum ini,” katanya ketika ditemui semasa tinjauan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tiroi, DUN Labu (N20), hari ini.

​Mengulas mengenai fokus pembangunan ekonomi, beliau menekankan kepentingan menarik pelaburan berasaskan teknologi tinggi bagi mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi melebihi RM3,000 sebulan kepada anak tempatan.

​”Anak-anak kita majoritinya graduan IPTA dan IPTS, takkan kita mahu mereka bekerja di industri yang menawarkan gaji RM800 hingga RM1,000 sahaja. Kita perlukan industri seperti pembuatan komponen penerbangan dan automotif berteknologi tinggi seperti mana yang pernah kita bawa ke Sendayan TechValley sebelum ini,” tambahnya.

​Bagi kawasan yang jauh dari kawasan perbandaran dan pelabuhan pula, beliau menjelaskan pendekatan khusus seperti merancakkan sektor agropelantikan dan agropelancongan akan dilaksanakan mengikut kesesuaian daerah.

​Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepada para pengundi awal dalam kalangan pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepada BN bagi memastikan kestabilan pentadbiran dan keselamatan negeri terus terjamin.

​Mengenai spekulasi pelantikan jawatan Menteri Besar sekiranya BN menang, beliau menegaskan keutamaan ketika ini adalah memastikan kemenangan parti terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan dengan perkenan Tuanku Canselor/YAM Undang Yang Empat.

#BeritaAAC #TokMat #PRNNSembilan #BarisanNasional #DUNLabu

​SEREMBAN, 25 Julai 2026 – Penganalisis politik, Dr. Azam Rauzan meramalkan bakal berlaku tiga ‘kejutan’ besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan, berikutan gelombang penolakan rakyat terhadap kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang semakin meluas.

​Menurut beliau dalam sesi temubual Sembang Kopi, sentimen penolakan terhadap PH kini bukan sahaja melibatkan pengundi Melayu, malah turut merangkumi pengundi kaum Cina yang terkesan dari segi ekonomi dan kestabilan politik.

​Dr. Azam mendakwa, kerusi DUN Chennah, Sikamat, dan Linggi bakal menyaksikan peralihan sokongan yang ketara dan berpotensi memberikan kejutan kepada gabungan kerajaan.

​”Momentum menyampah dan meluat kepada PH sedang melanda negara, dan tsunami ini akan merebak ke Negeri Sembilan. Kaum Cina adalah peniaga yang mahukan kestabilan ekonomi. Apabila perniagaan terganggu akibat masalah kepimpinan PH, kesannya dapat dirasai di mana-mana,” katanya.

​Mengulas mengenai saingan di DUN Chennah, beliau berpandangan calon Barisan Nasional (BN), John Chu mempunyai kelebihan kerana fasih berbahasa Melayu dan diterima baik oleh penduduk tempatan.

​Manakala bagi DUN Sikamat pula, pertarungan tiga penjuru dijangka memberi kelebihan berikutan isu-isu semasa yang melibatkan sentimen penjawat awam serta pasukan keselamatan negara.

​Selain itu, Dr. Azam turut mempersoalkan tindakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang berpindah bertanding di DUN Linggi. Beliau mendakwa tindakan tersebut menggambarkan kepimpinan sedia ada mula hilang keyakinan di kubu asal mereka.

​”Bila sudah terlalu lama dan tidak boleh meyakinkan pengundi di tempat lama, mereka lari ke kawasan baru. Namun, saya yakin rakyat di Linggi dan Negeri Sembilan secara keseluruhannya mahu memberikan mesej jelas kepada PH,” ujarnya.

​Mengakhiri temubual, Dr. Azam secara berseloroh menyatakan PH seolah-olah ‘lebih selesa’ berada di blok pembangkang berbanding mengemudi kerajaan.

​”PH ini dahi mereka dah serasi jadi pembangkang. Jadi, apa yang rakyat perlu buat ialah pulangkan balik mereka ke tempat asal sebagai pembangkang,” katanya.

#BeritaAAC #PRNNegeriSembilan #SembangKopi #PolitikMalaysia #BarisanNasional #PerikatanNasional