
LINGGI, 28 Julai 2026 — Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Dato’ Sri Jamal Md Yunos menyuarakan keyakinan tinggi bahawa pengundi di Negeri Sembilan bakal membuat kejutan dengan memilih gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya akan datang.
Menurut beliau, keyakinan itu bersandarkan kepada reaksi serta ‘bahasa badan’ (body language) pengundi dan penduduk setempat yang dinilai sepanjang suasana kempen berlangsung.
Beliau mendakwa, rata-rata pengundi di Negeri Sembilan kini mula menunjukkan corak penolakan terhadap Pakatan Harapan (PH) berikutan pelbagai sentimen semasa.
”Kalau lihat daripada suasana kempen dan body language penduduk atau pengundi di Negeri Sembilan, saya amat yakin mereka akan memilih BN dan Perikatan Nasional serta menolak PH,” katanya ketika ditemui media.
Mengulas lanjut, Jamal mendakwa sentimen umum yang kedengaran di lapangan ketika ini adalah kegelisahan pengundi terhadap pengaruh DAP di dalam Pakatan Harapan.
”Mereka kata, undi PH dapat DAP. Jadi insya-Allah, pada 1 Ogos nanti, Barisan Nasional bersama dengan Perikatan Nasional akan dapat membentuk kerajaan di Negeri Sembilan ini,” katanya lagi.
Kenyataan berkenaan dijangka menambah kehangatan suhu politik semasa, khususnya dalam persaingan merebut sokongan pengundi Melayu di negeri berkenaan.
#BeritaAAC #JamalYunos #PRNNS #PolitikMalaysia #BarisanNasional #PerikatanNasional #BNPN
