
LINGGI, 28 Julai 2026 — Kempen Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dilihat lebih mudah berbanding siri pilihan raya terdahulu ekoran peningkatan kesedaran rakyat serta respon positif daripada pengundi di lapangan.
Ketua UMNO Bahagian Damansara, Datuk Mohamad Azli Mohamed Saad berkata, perubahan tersebut jelas terlihat melalui bahasa badan (body language) dan sikap pengundi yang kini lebih terbuka untuk mendekati jentera parti.
”Sebenarnya kempen BN kali ini nampak lebih mudah kerana kesedaran rakyat semakin meningkat. Melalui body language sahaja kita sudah tahu penerimaan mereka.
”Jika dahulu ada yang enggan mendekati jentera apabila melihat baju BN, kali ini berbeza — mereka sendiri yang datang menegur dan menyapa kita,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai peluang kemenangan, Mohamad Azli menyuarakan keyakinan bahawa BN berpotensi meraih keputusan yang lebih cemerlang, khususnya di Negeri Sembilan.
Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan jentera BN supaya tidak leka dan terus menguruskan isu-isu tempatan serta isu semasa yang dimainkan pihak lawan dengan teliti.
”Kempen kali ini secara keseluruhannya lebih lancar berbanding dahulu. Cuma fokus kita sekarang adalah untuk menjaga dan mengurus isu-isu tertentu yang dimainkan.
”Insya-Allah, saya yakin BN mampu meraih kemenangan yang lebih besar di Negeri Sembilan,” jelas beliau lagi.
#BeritaAAC #BarisanNasional #UMNO #PRNNegeriSembilan #PerikatanNasional #BNPN
