
LINGGI , 28 Julai 2026 – Fenomena ‘Gelombang Biru’ yang melanda landskap politik tanah air disifatkan sebagai satu realiti dan bukannya sekadar omongan kosong atau ‘memokkan’.
Ketua UMNO Bahagian Bangi merangkap Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Dato’ Dr Zaidi Md Zain berkata, keyakinan itu berpandukan kejayaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya di Johor sebelum ini yang menyaksikan kemenangan besar 48 kerusi.
Menurut beliau, momentum berkenaan kini dilihat semakin berkembang dan mula melanda Negeri Sembilan dengan unjuran mampu meraih sekurang-kurangnya dua pertiga majoriti.
”Gelombang biru ini semakin lama semakin hebat dan bakal meranapkan harapan Pakatan Harapan (PH). Kita dapat rasakan semangat yang cukup tinggi daripada jentera serta penerimaan yang sangat baik daripada semua lapisan pengundi tanpa mengira kaum—Sama ada Melayu, Cina, India mahupun masyarakat Orang Asli,” katanya.
Tambah beliau, kerjasama serta sokongan saling melengkapi antara penyokong Barisan Nasional dan Perikatan Nasional (PN) khususnya PAS di kawasan bertanding akan menjadi pemangkin utama kekuatan gelombang ini.
Dato’ Dr Zaidi optimis bahawa perkembangan positif ini bukan sahaja mampu mencipta kejayaan di Negeri Sembilan, malah berpotensi menjadi ‘tsunami politik’ yang akan dibawakannya ke negeri-negeri lain seterusnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.
#BeritaAAC #GelombangBiru #BarisanNasional #PerikatanNasional #PolitikMalaysia
