
LINGGI, 28 Julai 2026 — Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin meluahkan rasa syukur dan keyakinan bahawa sokongan pengundi di Negeri Sembilan kini menunjukkan isyarat positif menjelang hari pengundian kelak.
Menurut beliau, angin perubahan dan gelombang sokongan yang pernah dirasai di Johor kini jelas mula dirasai di bumi Negeri Sembilan.
”Saya amat bersyukur kerana dapat merasakan gelombang yang berlaku di Johor kini sampai ke Negeri Sembilan. Saya yakin gelombang ini akan diterjemahkan melalui kertas undi pada hari pengundian kelak,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau proses pengundian awal.
Mengulas mengenai trend pengundian awal, Megat Zulkarnain terharu melihat petunjuk awal di media sosial yang menyaksikan rata-rata pengundi memberikan isyarat sokongan kepada Barisan Nasional.
”Walaupun tidak dimaklumkan secara terbuka, mesej yang disampaikan jelas bahawa mereka telah mengundi ‘biru’. Kita dapat rasakan ‘vibes’ tersebut terutamanya daripada pengundi Melayu yang mahukan penyatuan ini benar-benar membawa kejayaan di Negeri Sembilan,” tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menepis kerisauan sesetengah pihak terutamanya pengundi bukan Melayu mengenai persefahaman politik yang dibentuk. Beliau menegaskan bahawa pengalaman BN mentadbir negara lebih 60 tahun membuktikan tiada mana-mana kaum yang pernah ditindas.
”Pengundi bukan Melayu tidak perlu risau. BN mempunyai pengalaman luas mengurus pelbagai kaum dan agama. Rekod kita membuktikan kesemua pihak terbela di bawah pentadbiran BN,” jelasnya.
Ketika ditanya mengenai masa depan kerjasama politik antara BN dan Perikatan Nasional (PN) di peringkat negeri lain seperti Melaka mahupun persediaan ke Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Megat Zulkarnain berharap model kerjasama ini terus kukuh.
Beliau menegaskan bahawa keputusan PRN Negeri Sembilan bakal menjadi suara keramat rakyat yang mahukan kestabilan politik, ekonomi, sosial serta pemeliharaan adat istiadat tempatan.
”Langkah terbaik untuk memastikan kestabilan adalah dengan memberikan mandat penuh kepada BN dan rakan persefahaman (PN). Kita mahu sebuah kerajaan yang stabil bukan sahaja dari sudut politik dan ekonomi, malah mempertahankan sandaran adat yang telah wujud ratusan tahun di Negeri Sembilan,” katanya.
#BeritaAAC #PRNNegeriSembilan #MegatZulkarnain #BarisanNasional #PerikatanNasional
