
PORT DICKSON – Sesi perbualan santai menerusi ruang ‘Sembang Kopi’ antara Dr Azam Rauzan dan jurubicara politik Syed Rosli di Tasik Villa Resort, Port Dickson, mencetuskan persoalan hangat berhubung strategi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan.
Dalam sesi tersebut, kedua-dua penganalisis politik berkenaan memfokuskan perbincangan terhadap fenomena “lompat kawasan” yang sering berlaku dalam kalangan pemimpin politik tanah air.
Dr Azam membangkitkan persoalan mengenai tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun, yang bertindak berpindah dari kawasan DUN Sikamat—yang disandangnya selama empat penggal—ke DUN Linggi.
”Ratusan pemilih Melayu di Sikamat kini melepasi 80 peratus. Kenapa secara tiba-tiba MB mahu berpindah ke DUN Linggi yang dikenali sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN)?” soal Dr Azam dalam sesi tersebut.
Beliau mengulas lanjut bahawa perubahan demografi dan kebangkitan gelombang sokongan rakyat mungkin menjadi punca ketakutan pemimpin terbabit untuk terus bertahan di kawasan lama. Menurut Dr Azam, perpindahan ke kawasan baharu seperti Linggi—yang mempunyai kira-kira 40 peratus pengundi Cina—mungkin dilihat sebagai strategi selamat, walaupun landskap politik pengundi bukan Melayu juga sudah mula menunjukkan perubahan.
Sementara itu, Syed Rosli berpendapat tindakan sering bertukar kawasan DUN atau Parlimen boleh merugikan masyarakat setempat.
”Apabila seseorang wakil rakyat kerap berpindah kawasan, khidmat kepada rakyat akan terjejas. Perkhidmatan terbaik tidak dapat diberikan secara penuh kerana pemimpin baharu memerlukan masa sekurang-kurangnya satu hingga dua tahun hanya untuk mengenali komuniti dan pemimpin setempat,” jelas Syed Rosli.
Selain itu, sesi perbualan tersebut turut menyentuh aspek keperluan latar belakang pendidikan formal dalam politik, di mana Syed Rosli menegaskan bahawa politik bersifat sangat subjektif dan kejayaan seseorang wakil rakyat lebih bergantung kepada kebolehan membina hubungan serta memenuhi keperluan rakyat pada masa yang tepat.
#BeritaAAC #PRNNSembilan #SembangKopi #PolitikMalaysia #DUNLinggi
