
SEREMBAN , 30 Julai 2026 – Tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan berpindah kerusi DUN dari Sikamat ke Linggi disifatkan sebagai satu ‘silap langkah’ dan bukannya sebuah strategi politik yang kukuh.
Penganalisis/Pemerhati Politik, Dr. Norman Sapar berkata, dapatan serta tinjauan beliau bersama penduduk tempatan di kawasan berkenaan menunjukkan timbul persoalan besar berhubung keyakinan MB untuk mempertahankan kerusi di kawasan asal.
”Dari sudut logik, tempat seperti Sikamat tidak pernah kalah sebelum ini. Jadi kenapa perlu berpindah? Adakah beliau tidak yakin di Sikamat, atau lebih yakin boleh menang di DUN Linggi yang kita sedia maklum merupakan kubu kuat UMNO?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam sesi temubual Sembang Kopi baru-baru ini.
Dr. Norman menambah, hasil pemerhatian dan tinjauan di lapangan mendapati rata-rata penduduk berpandangan bahawa keputusan tersebut bukan sahaja berisiko tinggi, malah berkemungkinan akibat menerima nasihat yang kurang tepat.
”Saya sendiri telah menelusuri kawasan di Linggi. Saya tidak katakan MB akan kalah di situ, tetapi persaingan sememangnya amat sengit dan agak sukar untuk beliau mencapai kemenangan mudah.”
”Saya yakin peralihan kerusi ini bukan satu strategi politik yang mantap, sebaliknya lebih kepada salah langkah dan mungkin berpunca daripada salah nasihat oleh penasihat-penasihat beliau,” tegasnya lagi.
Peralihan kerusi ini dijangka terus menjadi topik panas dan tumpuan utama pemerhati politik menjelang saingan pilihan raya yang akan datang.
#BeritaAAC #SembangKopi #PolitikNS #PRN #BarisanNasional #PerikatanNasional
