
GOMBAK , 8 Ogos 2026 – UMNO Bahagian Gombak digesa untuk terus mengukuhkan perpaduan dalaman serta mempergiat usaha menyantuni ahli dan pengundi di peringkat akar umbi bagi memastikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dapat dikembalikan.
Ketua UMNO Bahagian Gombak, Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin menegaskan bahawa walaupun perpaduan di peringkat kepimpinan dan ahli secara fizikalnya tidak mempunyai sebarang masalah, eratan hubungan itu perlu sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
”Pertama sekali, kesatuan dalam kalangan ahli perlu dieratkan. Walaupun secara fizikalnya tiada masalah di peringkat kepimpinan mahupun akar umbi, ia tetap perlu dieratkan lagi.
”Perkara kedua yang paling penting ialah menjadikan usaha menyantuni ahli-ahli yang tegar sebagai keutamaan. Bukan sahaja ahli, malah keluarga mereka juga penting untuk kita santuni,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gombak, di sini.
Mengulas lanjut mengenai peta politik di Parlimen Gombak yang kini mempunyai lebih 240,000 pengundi, Megat Zulkarnain mendapati terdapat cabaran di kawasan penempatan berpagar (gated area) yang sukar ditembusi.
Justeru, beliau menekankan pentingnya untuk fokus kepada pengundi di kawasan kampung-kampung tradisi yang dianggap sebagai ‘deposit tetap’ (fixed deposit) buat UMNO dan BN.
”Kawasan kampung tradisi ini terdiri daripada pengundi-pengundi tegar Barisan Nasional. Jika kita terus menyantuni mereka secara berterusan, tidak mustahil sokongan akan kembali secara penuh kepada Barisan Nasional di Parlimen Gombak,” tambah beliau lagi.
#BeritaAAC #UMNO #Gombak #MegatZulkarnain #BarisanNasional
