KUALA LUMPUR, 7 Februari 2026 — Peguam, Hanif Khatri, menegaskan bahawa perhimpunan yang dirancang pada hari ini tetap akan diteruskan seperti dijadualkan, meskipun terdapat kenyataan media Polis Kuala Lumpur yang mendakwa himpunan berkenaan dihalang.
Menurut beliau, kenyataan polis tersebut adalah tidak sah, bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta tidak selari dengan undang-undang sedia ada, sekali gus merupakan satu bentuk salah guna kuasa.
“Dari sudut perlembagaan, tiada keperluan untuk mendapatkan kebenaran polis bagi mengadakan perhimpunan aman, dan pihak polis juga tidak mempunyai kuasa untuk menghalang perhimpunan yang mematuhi undang-undang,” katanya ketika ditemui media.
Hanif menjelaskan perkara itu telah diputuskan dalam keputusan Mahkamah Persekutuan pada 1 Julai tahun lalu, selain disokong oleh beberapa kes terdahulu termasuk keputusan Mahkamah Tinggi pada tahun 2016 yang menegaskan bahawa hak berhimpun adalah hak perlembagaan rakyat dan tidak boleh diatasi oleh kepentingan lain.
Beliau turut merujuk kepada kes melibatkan dua perhimpunan besar di Dataran Merdeka suatu ketika dahulu, di mana mahkamah memutuskan bahawa polis dilarang menghalang kedua-dua perhimpunan walaupun terdapat bantahan pihak tertentu, termasuk peniaga.
Mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Hanif menegaskan bahawa Perdana Menteri hanya menyatakan tindakan akan diambil sekiranya perhimpunan menggugat ketenteraman awam, bukannya mengharamkan perhimpunan tersebut lebih awal.
“Perhimpunan ini belum pun bermula. Bagaimana boleh terus dilabel sebagai mengganggu ketenteraman awam? Datang dahulu, dengar dahulu. Jika ada pelanggaran undang-undang, tangkaplah,” tegasnya.
Dalam sidang media sama, Hanif turut menawarkan dirinya sebagai jurucakap perhimpunan, dan mencabar pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sekiranya beliau melanggar undang-undang ketika berucap.
“Kalau saya salah, tangkap saya dan saya akan mempertahankan diri di mahkamah. Tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan untuk membatalkan perhimpunan dari awal,” katanya.
Beliau juga menggesa Perdana Menteri supaya memberikan penjelasan yang jelas kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, dan Ketua Polis Negara, agar pihak polis tidak tersalah tafsir arahan kerajaan sehingga bertindak melampaui batas.
“Polis tidak boleh bertindak seperti gangster untuk menghalang perhimpunan awam. Negara ini ada perlembagaan dan undang-undang,” katanya lagi.
#BeritaAAC #HimpunanAman #HakPerlembagaan #HanifKhatri #RuleOfLaw #SuaraRakyat #KebebasanBerhimpun #IsuSemasa #MalaysiaMadani #UndangUndang