KUALA LUMPUR, 18 Februari 2026 – Aktivis masyarakat, Ridzuan Ikhlas tampil menegur tindakan YB Rafizi Ramli yang didakwa berpotensi mengganggu usaha Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam memperhebat agenda pembanterasan rasuah di negara ini.
Menurut Ridzuan, isu dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak seharusnya mencetuskan polemik sehingga menjejaskan tumpuan kerajaan terhadap agenda utama negara, khususnya dalam usaha memerangi rasuah secara menyeluruh dan konsisten.
Beliau menegaskan bahawa sebagai sebuah NGO yang telah lama memperjuangkan isu integriti dan ketelusan sejak era pentadbiran Najib Razak, Abdullah Ahmad Badawi dan Mahathir Mohamad, pihaknya komited menyokong penuh segala inisiatif Perdana Menteri dalam membanteras rasuah tanpa kompromi.
“Perjuangan membanteras rasuah bukan agenda bermusim atau bermotif politik. Ia adalah tanggungjawab nasional yang perlu didukung semua pihak tanpa mengira parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ridzuan turut mengingatkan semua pihak supaya mengambil maklum titah Sultan yang menekankan kepentingan memerangi rasuah tanpa memilih kedudukan atau pangkat, selaras dengan prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang.
Beliau berkata, tindakan mencampuradukkan isu politik dalaman parti dengan agenda pentadbiran negara hanya akan melemahkan keyakinan rakyat serta memberi ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk memanipulasi keadaan.
“Fokus kerajaan mesti kekal kepada kepentingan rakyat dan kestabilan negara. Jangan sampai isu dalaman parti menjadi batu penghalang kepada agenda reformasi yang sedang berjalan,” tegasnya.
Ridzuan dalam masa sama menyeru semua pemimpin politik agar bersikap matang serta mengutamakan kepentingan nasional berbanding polemik dalaman yang boleh mengganggu momentum reformasi institusi.
#BeritaAAC #PolitikMalaysia #PerangiRasuah #PMX #IntegritiNegara #IsuPKR #ReformasiInstitusi #MalaysiaMadani #FokusNegara #RakyatPantau