KUALA LUMPUR – Gelombang serangan bertubi-tubi terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, disifatkan sebagai satu usaha terancang yang bertujuan melemahkan institusi penguatkuasaan negara ketika tindakan membanteras rasuah sedang diperkasakan.
Penganalisa politik merangkap Pengerusi Biro Kepimpinan serta Pentadbiran Negara Majlis Perundingan Melayu, Shahbudin Embun, berkata persoalan utama yang perlu dijawab rakyat ialah mengapa serangan ini berlaku sekarang — ketika SPRM dilihat semakin agresif menyiasat kes-kes berprofil tinggi tanpa memilih bulu.
Menurut beliau, di bawah kepimpinan Tan Sri Azam Baki, pendekatan penguatkuasaan telah menyentuh bukan sahaja “ikan bilis”, malah “jerung besar” termasuk tokoh bertaraf Tun dan Tan Sri, pemimpin korporat, ahli politik merentasi parti, bekas Perdana Menteri serta individu daripada institusi keselamatan negara.
“Ini antara tempoh paling berani dalam sejarah moden Malaysia. Prinsip yang ditegaskan jelas — tiada siapa mengatasi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Shahbudin, di peringkat antarabangsa, komitmen Malaysia terhadap reformasi institusi turut menerima penilaian positif, termasuk dalam aspek pencegahan pengubahan wang haram dan pemulihan aset oleh Financial Action Task Force (FATF).
Beliau turut menekankan bahawa berbilion ringgit dana awam yang sebelum ini diseleweng berjaya dikesan dan dipulihkan untuk dikembalikan kepada negara — satu pencapaian besar yang secara langsung menjejaskan kepentingan pihak tertentu yang berpengaruh dan berkuasa.
Mengulas isu pembelian saham yang dikaitkan dengan Tan Sri Azam, Shahbudin menegaskan bahawa pelaburan saham bukan satu jenayah di Malaysia, dan penjawat awam dibenarkan melabur selagi mematuhi prosedur pengisytiharan. Tan Sri Azam sebelum ini menyatakan saham berkenaan telah diisytiharkan serta dilupuskan dalam tahun yang sama.
“Setakat ini tiada sabitan jenayah rasuah atau salah guna kuasa terhadap beliau. Namun persepsi seolah-olah beliau telah bersalah terus dimainkan,” katanya.
Beliau mengingatkan rakyat agar tidak terperangkap dengan “mahkamah media”, sebaliknya memberi ruang kepada mekanisme kerajaan dan jawatankuasa berkaitan untuk menjalankan siasatan secara adil dan telus.
Dalam masa sama, Shahbudin turut memuji kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim atas komitmen memerangi rasuah, termasuk kejayaan membawa pulang kira-kira RM15.5 bilion wang rampasan ke dalam negara setakat ini.
“Apa yang berlaku hari ini bukan sekadar serangan terhadap seorang individu, tetapi cubaan melemahkan benteng utama negara menentang rasuah. Jika pemimpin penguatkuasaan yang tegas dijatuhkan melalui perang persepsi, mesejnya amat berbahaya,” tegasnya.
Menurut Shahbudin, usaha memerangi rasuah adalah perjuangan jangka panjang demi agama, bangsa dan tanah air, dan institusi penguatkuasaan mesti diperkukuh, bukan dilemahkan.

#AzamBaki #SPRM #PerangRasuah #JerungBesar #IntegritiNegara #BeritaAAC #MalaysiaBersih #NoOneAboveTheLaw #PolitikMalaysia #PerangPersepsi