KUALA LUMPUR , 21 Februari 2026 – Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) dan Nambikkai Malaysia hari ini mendakwa berlaku satu lagi kes “penindasan bank” membabitkan seorang peminjam rumah, V. Selvaraju, apabila kediamannya didakwa telah dilelong serta akaun pembayaran ansuran disekat ketika beliau cuba membuat bayaran bulanan.
Dato’ Dr Kalaivanar berkata, sidang media diadakan bagi membangkitkan isu yang menurutnya sering menimpa pembeli rumah yang membuat pinjaman dengan institusi perbankan, termasuk dakwaan caj dan bayaran yang didakwa tidak selari dengan apa yang dijanjikan dalam perjanjian asal.
Menurut beliau, Selvaraju dan isterinya, Tulasi, mengambil pinjaman perumahan sebanyak RM84,500 pada tahun 2001 melalui MBF, dengan ansuran bulanan sekitar RM680 hingga RM700.
Namun, beliau mendakwa pinjaman tersebut sepatutnya selesai sekitar Januari 2023, tetapi sehingga tahun 2026, Selvaraju masih diminta meneruskan pembayaran.
“Yang menjadi persoalan, selepas 22 tahun bayar, hutang masih dikatakan kekal seperti jumlah asal. Ini tidak masuk akal,” katanya.
Dato’ Dr Kalaivanar turut mendakwa selepas MBF diambil alih oleh sebuah institusi perbankan lain, mangsa terus membuat bayaran seperti biasa.
Namun apabila Selvaraju meminta penyata penuh pembayaran sejak 2001, pihak bank dikatakan hanya memberikan rekod sekitar 10 tahun pertama dan mendakwa dokumen selebihnya tiada.
Beliau menambah, apabila mangsa terus menuntut penjelasan jumlah baki sebenar, sistem pembayaran ansuran didakwa disekat. Dalam perkembangan sama, SBKN mendakwa rumah Selvaraju telah dilelong tanpa pengetahuan keluarga terbabit dan proses pertukaran nama sedang berlaku.
Bagi menghalang pertukaran hak milik, pihak keluarga bersama peguam telah memfailkan kaveat persendirian ke atas hartanah berkenaan sebagai langkah segera sementara menuntut jawapan serta dokumen lengkap daripada bank.
Dato’ Dr Kalaivanar turut mempersoalkan peranan pihak berkuasa berkaitan termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) dan kementerian yang terlibat, yang didakwa masih gagal bertindak tegas walaupun banyak aduan mengenai kes pinjaman rumah telah berulang kali dibangkitkan.
Beliau juga mengkritik kos guaman yang didakwa dikenakan ke atas peminjam, termasuk caj surat tuntutan yang boleh mencecah RM400 hingga RM600, dan menyifatkannya sebagai tidak adil kepada rakyat.
Dalam sidang media sama, beliau mendakwa SBKN sebelum ini telah membantu menyelamatkan 28 rumah daripada dilelong melibatkan pelbagai bank, dan menyeru mangsa lain tampil mendapatkan bantuan serta segera mengambil langkah undang-undang bagi melindungi rumah kediaman masing-masing.
“Rumah bukan barang dagangan. Jangan biarkan rakyat hilang rumah tanpa pembelaan. Salah siapa?” tegas beliau.
#BeritaAAC #TindasanBank #KesSelvaraju #SelamatkanRumahRakyat #SBKN #NambikkaiMalaysia #KeadilanUntukRakyat #StopLelongRumah #HakPeminjam #SuaraRakyat