
RAWANG, 24 Februari 2026 – Yayasan Kubra menegaskan pendiriannya untuk mempertahankan hak sebagai pemilik berdaftar tanah yang dijamin Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara, susulan pencerobohan berterusan oleh pihak tidak bertanggungjawab sejak 2018.
Dalam kenyataan media hari ini, Yayasan Kubra memaklumkan tindakan pembersihan binaan haram di atas tanah miliknya akan dilaksanakan selepas tamat tempoh yang diberikan kepada penceroboh sehingga jam 11.59 malam ini.
Menurut Yayasan Kubra, pihaknya sebelum ini telah memberikan tempoh ihsan selama 14 hari bermula 11 Februari hingga 24 Februari 2026 bagi membolehkan penceroboh mengosongkan binaan haram di Lot PT 19501, PT 19502 dan PT 19503 Mukim Rawang, Daerah Gombak.
Tempoh itu diberikan hasil pertemuan dua hala bersama IPD Gombak, malah Yayasan Kubra turut memanjangkan tempoh asal tujuh hari kepada 14 hari sebagai tanda keprihatinan dan kerjasama dengan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, Yayasan Kubra melahirkan rasa dukacita apabila pihak penceroboh kini didakwa memainkan naratif mungkir janji serta menuduh kononnya mereka diugut dan dipaksa keluar oleh pihak berkuasa — satu dakwaan yang bercanggah dengan persetujuan bersama sebelum ini.
Persetujuan tersebut turut disahkan oleh William Leong Jee Keen menerusi hantaran Facebook beliau pada 11 Februari 2026.
Yayasan Kubra menegaskan, sekiranya penceroboh gagal mengosongkan kawasan terbabit sehingga tempoh akhir malam ini, segala kerja pembersihan akan diteruskan tanpa notis lanjut, dan semua kos berkaitan akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak penceroboh.

Dalam masa sama, Yayasan Kubra menjemput pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam untuk menyertai gotong-royong pembersihan tapak pada 25 Februari 2026 jam 5.00 petang di kawasan tanah berkenaan.
Menurut Yayasan Kubra, pencerobohan selama hampir lapan tahun telah menghalang pelaksanaan amanah utama mereka iaitu membangunkan rumah asnaf bagi golongan memerlukan.
Yayasan Kubra turut menegaskan prinsip syarak “Laisa li ‘irqin zalimin haqq” (tiada hak bagi penceroboh zalim) dan “Ad-Dhararu Yuzal” (kemudaratan mesti dihilangkan), sambil menekankan bahawa binaan haram tersebut merupakan mudarat besar yang wajib dihapuskan demi memastikan tanah wakaf itu dapat dimanfaatkan mengikut tujuan asal.
Kenyataan itu diakhiri dengan seruan tawakal kepada Allah SWT dalam mempertahankan amanah serta hak yang sah.


#YayasanKubra #IsuPencerobohanTanah #PertahanHakPemilik #RumahAsnaf #Gombak #Rawang #BeritaAAC #SuaraRakyat #IsuSemasa #KeadilanUntukAsnaf