
KUALA LUMPUR, 24 Februari 2026 – Seorang usahawan, Encik Musa Mohamed, 60, mendakwa menjadi mangsa penyelewengan pampasan insurans selepas sistem elektrik dan kemudahan bangunan miliknya rosak teruk akibat banjir, namun bayaran yang dijanjikan gagal diselesaikan sepenuhnya sehingga hari ini.
Menurut Musa, keseluruhan sistem elektrik voltan rendah (LV) di premisnya tenggelam akibat banjir, memaksa beliau mengeluarkan modal sendiri bagi membaik pulih kemudahan penting termasuk sistem air dan perlindungan kebakaran demi memastikan operasi dapat berjalan semula.
“Dalam masa tujuh hari kami berjaya pulihkan operasi sepenuhnya. Insurans pada awalnya enggan bayar, tetapi selepas saya nyatakan kemungkinan tutup sistem api, mereka bayar RM200,000. Namun baki bayaran sampai sekarang masih tertunggak – sudah empat tahun,” katanya.
Beliau turut mendakwa pihak pengurusan bangunan sering memberi alasan berulang kali, malah menyatakan pampasan telah dibayar sepenuhnya oleh syarikat insurans, walaupun Musa tidak pernah menerima baki tersebut.

Isu itu dibangkitkan dalam sidang media yang turut dihadiri Dato’ Dr Kalaivanar dari Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara dan Nambikkai Malaysia, yang memaklumkan bahawa Mahkamah Sesyen telah mengeluarkan penghakiman pada 7 Julai 2025, mengarahkan pihak defendan membayar RM270,400 kepada Musa.
Menurut beliau, mahkamah menetapkan bayaran RM150,400 perlu dijelaskan sebelum atau pada 7 Julai 2025, manakala baki RM120,000 dibayar melalui enam ansuran. Namun sehingga kini, perintah mahkamah tersebut didakwa tidak dipatuhi.
“Ini jelas satu bentuk cabaran terhadap penghakiman mahkamah. Bila mahkamah sudah putuskan, semua pihak wajib patuh. Kalau ingkar, itu boleh dianggap sebagai contempt of court,” tegasnya.
Dato’ Dr Kalaivanar turut mendedahkan bahawa Musa kini menghidap penyakit buah pinggang tahap lima dan terpaksa menggunakan wang simpanan syarikat sendiri untuk menampung kos pembaikan serta perbelanjaan guaman sepanjang proses mahkamah.
Beliau memberi tempoh tujuh hari kepada pihak pengurusan bangunan untuk menyelesaikan bayaran tertunggak, sebelum tindakan lanjut diambil termasuk aduan rasmi kepada Pesuruhjaya Bangunan (COB) serta penyerahan memorandum kepada Ketua Hakim Negara.
“Ini bukan soal kompromi. Ini soal hak orang yang dizalimi. Penghakiman sudah ada, hitam putih sudah jelas. Kalau dalam tujuh hari ini tidak diselesaikan, kami akan teruskan tindakan undang-undang,” katanya.
Dalam masa sama, Musa mendakwa beliau turut dihalang memasuki bangunan tersebut selepas berlaku pertukaran pengerusi, walaupun syarikat pengurusan masih kekal sama.
Kes ini sekali lagi membangkitkan persoalan serius mengenai ketelusan pengurusan pampasan insurans serta keberkesanan penguatkuasaan perintah mahkamah, khususnya melibatkan mangsa bencana yang sudah pun terbeban dari segi kewangan dan kesihatan.
#BeritaAAC #KeadilanUntukMusa #MangsaBanjir #IsuInsurans #ContemptOfCourt #HakRakyat #Penyelewengan #SuaraRakyat #KeadilanSosial #BelaMangsa