
KUALA LUMPUR, 25 Februari 2026 – Aktivis sosial, Dato’ Dr. Kalaivanar, merakamkan penghargaan kepada Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, atas komitmen pantas kementerian dalam menangani isu pendatang asing tanpa izin (PATI) susulan penularan video tular melibatkan warga asing yang dipercayai bekerja secara haram.
Menurut beliau, susulan video berkenaan yang mencatat hampir satu juta tontonan di pelbagai platform termasuk TikTok dan media tempatan, pihak Jabatan Imigresen Malaysia telah menjemput beliau bersama rombongan untuk satu pertemuan rasmi selama hampir sejam bersama barisan pengurusan operasi agensi tersebut.
Beliau berkata, pertemuan itu membuka ruang kerjasama strategik antara pihak berkuasa dan pertubuhan masyarakat sivil bagi mempertahankan maruah negara daripada ancaman PATI serta aktiviti ekonomi haram yang semakin berleluasa.
“Dalam pertemuan itu, kita bersetuju untuk berkolaborasi secara berhemah. Kita tidak mengugut sesiapa, sebaliknya mendekati warga asing secara beradab sambil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa. Matlamat kita satu — mempertahankan kedaulatan negara,” katanya kepada media.
Dato’ Dr. Kalaivanar turut membangkitkan isu lambakan pelarian di sekitar Selayang, termasuk dakwaan sebahagian mereka menjalankan perniagaan walaupun status kemasukan adalah atas dasar suaka. Menurut pihak Imigresen, individu yang memiliki kad United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) perlu disahkan melalui sistem agensi antarabangsa tersebut sebelum sebarang tindakan lanjut dapat diambil.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan hasil risikan bersama pihak Imigresen dan JPJ selepas satu operasi “terjah” berjaya membawa kepada penahanan 13 warga asing melibatkan lima warga Pakistan, tujuh warga India dan seorang warga Nepal. Beberapa buah lori turut disita oleh JPJ untuk siasatan lanjut.
Mengulas isu majikan yang menggaji pekerja tanpa dokumen sah, beliau menegaskan tindakan tegas wajar diambil termasuk mengeluarkan saman terhadap pihak kilang yang terlibat.
Tambah beliau lagi, gerakan masyarakat akan terus diperkasakan dengan sokongan netizen dan media sebagai tekanan moral agar penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara konsisten.
“Kita akan terus maksimum turun padang. Negara ini tidak boleh diceroboh sesuka hati,” tegasnya.
#BeritaAAC #PATI #ImigresenMalaysia #TerjahPATI #Kalaivanar #KeselamatanNegara #ViralMalaysia #KDNMalaysia #NetizenBangkit #SolidaritiRakyat