
KUALA LUMPUR — Sekretariat Gabungan Ikhlas Malaysia tampil memberi peringatan keras kepada Democratic Action Party (DAP) susulan kenyataan parti itu yang dilaporkan akan membuat keputusan pada Julai ini sama ada mahu kekal dalam kerajaan atau sebaliknya.
Pengerusi Sekretariat Gabungan Ikhlas Malaysia, Ridzuan Ikhlas berkata, tindakan DAP yang dilihat seolah-olah meletakkan syarat politik disifatkan sebagai tidak wajar dan berpotensi menjejaskan kestabilan negara.
“Sebagai parti dalam kerajaan, sepatutnya mereka bekerjasama dan membantu Perdana Menteri, bukannya asyik mencari kelemahan. Kalau tak suka duduk dalam kerajaan, keluar terus,” katanya ketika ditemui media.
Beliau turut menggesa DAP supaya tidak menunjukkan sikap angkuh atau bermain sentimen perkauman, sebaliknya menjalankan tanggungjawab sebagai sebahagian daripada kerajaan yang perlu menjaga kepentingan semua kaum.
Ridzuan menegaskan, kerajaan hari ini diterajui oleh Anwar Ibrahim, dan semua parti komponen wajar memberi sokongan penuh bagi memastikan pentadbiran negara berjalan lancar.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan matlamat sebenar DAP apabila parti itu dilihat sering mengeluarkan kenyataan berbentuk ugutan politik.
“Apa sebenarnya yang mereka mahu? Jadi pembangkang pun meragam, jadi kerajaan pun meragam. Ini boleh merosakkan perpaduan kaum dalam negara,” katanya.
Mengulas kemungkinan punca ketegangan, Ridzuan tidak menolak isu pengiktirafan UEC antara faktor yang mencetuskan rasa tidak puas hati, selain isu-isu dalaman gabungan pemerintah yang menurutnya hanya diketahui oleh PM sendiri.
Beliau juga menyentuh dakwaan kegagalan sesetengah pemimpin DAP mendengar aduan rakyat, termasuk isu melibatkan pemandu lori yang menyerahkan memorandum namun didakwa tidak dilayan secara profesional.
Dalam kenyataan paling keras, Ridzuan turut mengkritik beberapa pemimpin DAP termasuk Anthony Loke, yang menurutnya memberi imej buruk kepada parti, selain mengaitkan ketegangan dalaman Pakatan Harapan dengan konflik melibatkan Rafizi Ramli.
“Sekarang ini bukan masalah pembangkang. Ini masalah dalaman kerajaan sendiri. Jadi hentikan drama politik dan fokus kepada rakyat,” tegasnya.
Beliau mengakhiri kenyataan dengan menyeru semua pihak agar memberi ruang kepada Perdana Menteri menamatkan penggal pentadbiran, demi kestabilan negara dan keharmonian masyarakat majmuk.
#BeritaAAC #PolitikMalaysia #DAP #PMX #IsuUEC #PerpaduanNegara #SuaraRakyat #TrendingMalaysia #Semasa #AACEksklusif