
KUALA LUMPUR, 1 Mac 2026 – Aktivis sosial, Dato’ Dr Kalaivanar mendakwa berlaku ketidakadilan terhadap seorang peniaga generasi ketiga di Pasar Awam Kuala Kubu Baru yang dikatakan tidak diberikan ruang serta pembaharuan lesen selepas kerja pengubahsuaian pasar dijalankan sejak Oktober 2024.
Dalam sidang media bersama wakil keluarga terbabit, termasuk Yap Tung Fah dan anaknya, beliau mendakwa Majlis Perbandaran Kuala Kubu Baru gagal bertindak secara profesional apabila tidak mengadakan proses pengundian petak niaga serta tidak memperbaharui lesen perniagaan walaupun peniaga tersebut telah berniaga turun-temurun sejak sebelum merdeka.

Menurutnya, selepas isu itu dibawa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, pihak majlis hanya menyediakan ruang sementara berbumbungkan kanvas di bahagian hadapan pasar. Namun, dakwanya, penyelesaian itu bersifat sementara dan tidak disertakan lesen sah.
“Lebih setahun empat bulan mereka menunggu. Lesen dibatalkan, ruang tetap tidak diberi. Mereka hanya mahu kebenaran sah untuk berniaga ayam dan sayur, bukan minta dana atau pampasan,” katanya.
Beliau turut mendakwa peniaga berkenaan pernah ditempatkan berhampiran gerai penjualan daging babi, yang menurutnya menjejaskan keyakinan pelanggan majoriti Muslim. Selain itu, beliau mempersoalkan aspek kebersihan dan sistem saliran pasar yang didakwa tidak mempunyai sistem penapisan sisa sempurna.
Memorandum berhubung isu tersebut telah diserahkan kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming. Namun, menurut beliau, sehingga kini tiada maklum balas rasmi diterima.
Turut disentuh ialah peranan wakil rakyat kawasan berkenaan serta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang didakwa gagal membantu menyelesaikan isu tersebut.
Sehubungan itu, Dato’ Dr Kalaivanar memaklumkan pihaknya akan membawa memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong pada Khamis ini sebagai usaha terakhir mendapatkan pembelaan.
“Kami percaya institusi diraja adalah payung keadilan untuk seluruh rakyat tanpa mengira bangsa. Ini bukan isu perkauman, ini isu hak mencari rezeki,” tegasnya.
Setakat ini, pihak Majlis Perbandaran Kuala Kubu Baru belum mengeluarkan kenyataan balas terhadap dakwaan tersebut.
#IsuPasarKualaKubu #HakPeniaga #KeadilanUntukYap #SPRM #Selangor #BeritaAAC #IsuRakyat #PayungKeadilan #DaulatTuanku #PeniagaTempatan